Monday, 20 May 2013

ULASAN KARYA AGUNG


Bahasa Melayu Klasik- Hikayat Abdullah

1.0 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan

Zaman pengunaan bahasa Melayu Klasik melingkungi zaman antara abad ke – 14 hingga abad ke – 19 Masihi. Zaman permulaannya ditandai dengan prasasti Terengganu ( Batu Besurat Terengganu ) yang bertarikh pada 702 H. bersamaan dengan tahun 1303 M. Zaman bahasa Melayu klasik menempuh kemajuan yang pesat berbanding dengan zaman bahasa Melayu kuno. Pada masa ini perkembangan ilmu pengetahuan dan kegiatan intelektual dalam bahasa Melayu mencapai tahap yang tinggi. Pada akhir abad yang ke-16 M, umpamanya, sudah lahir hasil-hasil karya falsafah tasawwuf dalam bahasa Melayu. Bahkan pada awal abad ilmu-ilmu agama yang lain khususnya seperti polemik yang dilakukan oleh Hamzah Fansuri, Syamsudin Pasai, Nurudin Al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Kelahiran hasil-hasil karya yang bersifat intelektual ini berpunca daripada pengaruh Islam yang meresap ke dalam bahasa dan budaya Melayu.

Banyak hasil karya yang berbahasa Melayu yang bersifat falsafah dan agama setelah wujud pengaruh Islam. Dari sejak itu perkembangan ilmu pengetahuan terutama tentang agama dan pentadbiran begitu pesat berkembang dalam bahasa Melayu. Lantara itulah maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara untuk urusan pengembangan agama Islam bahkan ia menjadi salah satu di antara enam bahasa dunia Islam iaitu Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi.

1.2 Definisi Bahasa Melayu Klasik Mengikut Pendapat Sarjana

Istilah Klasik merangkumi makna lama, tradisional dan klasik itu sendiri. Menurut Holman :
…. Belonging to established tradition; used especially to designate the Literature or culture of Greece and Roman or later literature which partakes of its qualities … it may mean literature that has gained a lasting recognition, or it may mean literature that exhibits the qualities of classicism. When it is used to describe the attributes of a literary work it usually impies objectivity in the choice and handling of the theme, simplicity of style, clarity, restraint, and formal structure.
      ( Holman, 1972: 99 )
1.3 Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik

Terdapat beberapa ciri khusus bahasa Melayu klasik. Antaranya adalah seperti berikut ;
 Menggunakan tulisan Jawi. Tulisan atau aksara ini dipinjam
daripada bahasa Arab, kemudian ditambah dengan huruf baru seperti pa ( ف), nga ( غ ), ga ( ک ), nya ( ث ) dan ca ( چ ).

 Bahasa Melayu klasik telah menerima beberapa fonem Arab : kh ( ) seperti Khamis, Z ( ) seperti pada zakat, Sy ( ) seperti pada syarat dan lain-lain.

 Bahasa Melayu klasik telah menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti dalam bidang ilmu kegamaan, undang-undang, kesusasteraan, pemerintahan dan pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum unstuk bahasa umum.

 Sebelum wujud sistem ejaan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab yang digunakan itu dengan menggunakan tanda-tanda baris. Contohnya seperti;
( maka ) ﻣَﮓ
( dia ) ِﺩﻱَ

Kemudian tanda-tanda baris itu dihilangkan menjadi;
( maka ) ﻣﮏ
)dia ) ﺪﻱ

Setelah itu baru timbul sistem ejaan pengaruh Melayu. Sistem ini mengandungi dua tahap. Tahap pertama dengan membubuh huruf saksi ( vokal) dan tahap kedua dengan membubuh huruf saksi ( vokal ) pada kedua-dua suku kata.

 Frasa dan ayat pengaruh Arab terutamanya dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti frasa “ Ketahuilah olehmu” atau pada ayat “ Sunat berbuka atas tamar” dan lain-lain. Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil daripada terjemahan harfih daripada teks-teks bahasa Arab.

 Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam beberapa banyak tulisan Melayu seperti dalam bidang Ilmu Kalam, Tasawuf, Ilmu Aqa’id al-Iman dan lain-lain. Ini berbeza dengn bahasa Melayu zaman kuno atau Hindu.

 Beberapa genre sastera Islam mula meresap ke dalam bahasa Melayu seperti syair, nazam, ruba’i, tasmil, ibarat dan lain-lain.

 Pengaruh kesusteraan Islam terutamanya dari Arab dan Farsi banyak didapati dalam zaman bahasa Melayu klasik seperti cerita-cerita Nabi dan para sahabat, sastera agama, sastera sejarah, sastera undang-undang dan pemerintahan dan lain-lain.

1.5 Peranan Bahasa Melayu Klasik

Selain daripada mempunyai ciri-ciri tertentu seperti di atas bahasa Melayu Klasik juga memberi sumbagan pada zaman kegemilangannya. Antaranya ialah;

i. Kebudayaan
- untuk memperkembangkan sesuatu kebudayaan yang
dimiliki oleh sesuatu bangsa.
ii. Peranan Kemasyarakatan
- sebagai lambang jati diri bangsa dan sebagai alat penyatuan sesuatu bangsa atau kaum.
iii. Pendidikan
- sebagai alat untuk pengajaran, panduan dan tatacara.
- sebagai alat untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang agama, kesusesteraan dan perundangan.

2.0 KARYA YANG DIPILIH DAN BIODATA PENULISNYA.
2.1 Hikayat Abdullah

Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi dapat dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden, berdasarkan karya-karyanya yang terkenal, iaitu Syair Singapura Terbakar (1830), Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Abdullah (1849), Dewa-ul-kulub (1883), dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah (1920). Beliau membawa perubahan dalam tema, plot, latar cerita, dan sudut pandangan, yang ketara perbezaannya dengan karya-karya sastera sebelumnya, walaupun masih dalam gaya bahasa lama.

Abdullah dilahirkan pada tahun 1796 di kampong Pali, Melaka daripada keluarga India Muslim keturunan Arab. Sejak kecil lagi “ Munsyi” ini memperlihatkan keistimewaannya sebagai pelajar yang bijak dan gigih mencari ilmu. Beliau mempunyai minat yang mendalam mempelajari pelbagai bahasa selain bahasa Melayu. Beliau dilantik menjadi jurutulis dan penterjemah kepada Raffles dan pembesar-pembesar Inggeris, menyebabkan hubungannya begitu rapat dan mesra dengan orang-orang Inggeris. Keadaan ini mempengaruhi pemikiran dan tindakannya.

Abdullah seorang pemerhati yang teliti terhadap keadaan zamannya. Kritikannya kepada orang Melayu melalui karya-karyanya terasa sangat pedas. Beliau begitu lantang mengkritik sikap raja-raja Melayu. Beliau mencuba membuka pemikiran orang Melayu ke arah kebaikan dan kemajuan secara membandingkannya dengan orang Inggeris. Sikap berat sebelah inilah yang sering dipersoalkan dalam perbincangan mengenai ketokohannya.

Abdullah Munsyi meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1854 dalam perjalanannya menunai fardhu haji.

3.0 ANALISIS KANDUNGAN KARYA [ASPEK BUDAYA DAN KEMASYARAKATAN

Karangan Abdullah jauh berbeza dengan karangan orang yang terdahulu daripadanya atau sezaman dengannya seperti Thufata’n-Nafis (1865) karangan Raja Ali Haji yang berkisar tentang raja-raja.
Pendeta Za’ba dalam karangannya “ Moden Development” menyatakan bahawa “ kesusasteraan Melayu moden bermula dengan Abdullah bin Abdul Kadir” ( Hassan, 1988:236). Kenyataan ini didasarkan daripada karya-karya Abdullah yang tidak lagi menulis tentang dongeng, alam ghaib dan ajaib. Gagasan utama dalam karya-karyanya ditimba daripada pengamatan, pengalaman dan pengetahuan. Dengan pemikiran yang kritis semuanya diolah hingga menjadi karya autobiografi yang penting. Karyanya dicipta sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Ini adalah ciri sastera baru yang bersifat individualistik.
Dalam karya autobiografinya memang terlihat ciri-ciri sastera moden seperti intelek, emosi, imiginasi, dan teknik. Sehubungan dengan itu Zuber Usman (1966:9) menyebut;

“Abdullah ialah pemgarang Melayu yang mula-mula keluar dari kebiasaan lama, yang melanggar dan memetahkan tradisi yang sudah turun-temurun, yang memelingkan penanya dari menceritakan kisah-kisah yang ghaib-ghaib atau khayal ke dunia kenyataan.”

Sesebuah karya bukan hanya sebagai bahan hiburan, tetapi juga sebagai bahan untuk pembaca merenung dan memikir serta mendapatkan panduan dan pengetahuan daripadanya. Pemikiran yang menyentuh soal-soal masyarakat, agama, politik, ekonomi dan moral ditimbulkan dan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menyentuh hal-hal tersebut. Contohnya pada halaman 119 Hikayat Abdullah yang menjelaskan sikap masyarakat Melayu terhadap bahasa Inggeris pada waktu itu;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Selain daripada contoh diatas dalam buku yang sama halaman 348, Abdullah membuat kesimpulan bahawa adat yang diamalkan orang Melayu dikatakan tidak cerdik dan tidak menambah ilmu kerana tidak mahu membuang karut-marut.
Berbeza dengan adat-adat yang diamalkan orang-orang bukan Melayu yang ditemui semasa belayar ke Judah. Dia hanya menyebut adapt itu tanpa memberi sebarang kritikan. Seperti kebiasaan yang dilihatnya (Kassim, (peny.) 1960):

Maka adalah yang pertama menjadikan ajaib kepadaku sebab melihatkan adap orang dalam negeri itu, tiadalah menjadi aib bagi mereka itu segala perampuan beratus-ratus dan beribu-ribu semuanya bertelanjang, yakni dengan tiada memakai baju sekali-kali, kuntal-kantil sahaja susunya, baik yang muda yang tua; iaitu semuanya perampuan Hindu.

Dia tidak mengkritik perbuatan tersebut, hanya menceritakan apa yang dilihatnya. Dalam buku yang sama pada halaman 141 pula disebutkan;

Maka adalah adat negeri itu terlalu aib, iaitu tiada berjamban; semua orang pergi buang air ketepi laut berbnjar-banjar duduk dengan tiada bermalu seorang dengan seorang.


Abdullah membuat sedikit ulasan bahawa adat ini sesuatu yang aib dan memalukan. Walaupun persoalan mengutuk dan menganggap bodoh adat dan kepercayaan orang Melayu tidak banyak dikemukakan tetapi ia memberi kesan yang jelas kepada pembaca.

Tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan-kemajuan barat telah meresap ke dalam diri Abdullah lantas membuatkan dia mencela budaya Melayu. Oleh itu dalam karyanya perbandingan antara timur dan barat adalah menjadi persoalan yang penting dan secara tidak lansung mendedahkan kemunduran-kemunduran orang-orang Melayu, antara lain disebabkan oleh kepercayaan dan budaya yang terdapat dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

4.0 ASPEK BAHASA DAN TULISAN
i. Jenis Aksara

Dalam memperkatakan bahasa Melayu Klasik ini tidak dapat seseorang itu mengimbas kembali teks Melayu lama yang tertulis dalam bentuk puisi, prosa, surat perdagangan, surat perjanjian, batu bersurat, batu nisan dan sebagainya. Dalam melihat pada sudut aksara dan sistem ejaan yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah pengkaji hanya dapat berpegang kepada ciri-ciri khusus bahasa Melayu klasik iaitu menggunakan tulisan Jawi. Tulisan atau aksara ini dipinjam daripada bahasa Arab, kemudian ditambah dengan huruf baru seperti pa ( ف), nga ( غ ), ga ( ک ), nya ( ث ) dan ca ( چ ).Ini beerti tulisan tersebut mesih dalam bentuk asalnya dengan menggunakan tulisan dan sistem ejaan Jawi. Berikut adalah beberapa contoh aksara yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sistem Ejaan

Sebelum wujud sistem ejaan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab yang digunakan itu dengan menggunakan tanda-tanda baris. Contohnya seperti;
( maka) ﻣَﮓ
( dia ) ِﺩﻱَ
Kemudian tanda-tanda baris itu dihilangkan menjadi;
( maka ) ﻣﮏ
)dia ) ﺪﻱ
Setelah itu baru timbul sistem ejaan pengaruh Melayu. Sistem ini mengandungi dua tahap. Tahap pertama dengan membubuh huruf saksi ( vokal) dan tahap kedua dengan membubuh huruf saksi ( vokal ) pada kedua-dua suku kata.
Daripada beberapa contoh aksara asal Hikayat Abdullah diatas dapat dilihat beliau tidak menggunkan tanda-tanda baris pada tulisannya.

4.1 Aspek bahasa
i. Morfologi

Morfologi adalah bidang yang mengkaji proses pembentukan kata-kata dalam sesuatu bahasa. Ia meliputi penggolongan perkataan atau kata-kata dalam sesuatu bahasa. Sebagai contohnya dari aspek imbuhan, penulisan karya Hikayat Abdullah telahpun menggunakan imbukan meN-. Hal ini dapat diperhatihan pada petikan karya Hikayat Abdullah seperti dibawah;

Contoh 1

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Contoh 2

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.” (Halaman 119)

Selain daripada aspek penggunaan imbuhan meN-, banyak lagi aspek morfologi yang terdapat dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sintaksis

Daripada pemerhatian yang dibuat adakalanya Abdullah gemar menggunakan ayat yang panjang-panjang dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya. Ayat-ayat daripada hikayatnya ini boleh dijadikan contoh;

Contoh 1

Maka jikalau sekiranya tiada suluh itu tanganku, dan cermin mata itu kupakai, nescaya banyak kali sudah aku terperosok ke dalam limbah dan parit yang penuh pada tiap-tiap lorong dan jalan; seperti kecuali kebanyakan kelakuan orang yang tiada memegang suluh itu terperosok ia kesana ke mari, jatuh bangun coreng-coreng berlumur dengan Lumpur dan orang, dan patah riuk kaki tangannya di hadapanku.
( halaman 16)

Contoh 2

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Ayat-ayat yang panjang begini mengganggu pemahaman pembaca kerana ada watunya pembaca terpaksa mengulangi pembacaan. Jelas dari segi bahasa (ayat) Abdullah masih lagi tidak membawa apa-apa pembaharuan.

iii. Semantik

Secara umum kita berpendapat bahawa makna sesuatu bahasa akan mudah difahami apabila dalam bentuk ayat. Andaian ini tidak selamanya tepat kerana kehadiran ayat yang dibina daripada kata dan kelompok kata, dan tidak semuanya hanya memiliki satu makna. Dalam bahasa Melayu seringkali apa yang kita ucapkan atau tuliskan tidak serupa dengan pa yang dimaksudkan.

Dapat diperhatikan dalam karya Hikayat Abdullah maksud atau pun perkara yang disampaikan melalui makna tersurat. Makna tersurat yang dimaksudkan ialah makna yang diperolehi semata-mata daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan sahaja. Dimana dalam penulisannya banyak menyatakan terus atau secara lansung apa yang hendak disampaikan kepada masyarakat Melayu ketika itu. Umpamanya ;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Dari contoh diatas perkara pokok disampaikan secara terus tanpa menggunakan sebarang simbolik ataupun kiasan.

iv. Kosa Kata
a) Kata asli

Sebagai karya di peringkat awal, Abdullah masih tidak dapat melepaskan penggunaan kata asli dalam tulisannya. Bukan sahaja bahasa yang digunakan itu bahasa lama tetapi struktur ayatnya juga masih seperti cerita hikayat. Sebagai contoh dalam Hikayat Abdullah pada halaman 9 dan 10;

Maka beberapa lamanya dalam hal yang sedemikian, maka datanglah seorang orang Arab Syaid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Haddad, maka adalah ia itu aulia, mak sangatlah dipermulia orang akan dia dalam Melaka; maka segala laki-laki dan perampuan pun pergilah berguru kepadanya darihal perkara agama Islam. Maka bondaku juga tiada pergi, sentiasa duduk menangis terkenangkan anak-anaknya yang mati itu. Maka adalah rumahku itu berhadapan dengan rumah tempat tuan itu tinggal; maka disuruhnya panggil bapaku, diperiksanya akan hal bondaku itu duduk menangis-nangis. Maka oleh bapaku segala hal anak-anaknya habis mati itu; maka kata tuan itu, “ Baiklah, pergi engkau katakan kepada isterimu janganlah ia menangis, insya-Allah nanti diberi Allah kepadanya seorang anak laki-laki; maka apabila beranak kelak, engkau namakan dengan namaku.” Maka pulanglah bapaku serta mengatakan kepada bondaku akan segala perkataan tuan itu; maka bondaku pun berhentilah daripada menangis dan dukacita.

Struktur ayat lama ini dikutkan lagi dengan penggunan kata-kata asli seperti ‘maka’, ‘beberapa lamanya’, ‘maka adalah’, ‘akan dia’ dan ‘maka apabila. Dalam Hikayat Abdullah banyak terdapat kata nasihat. Hal ini menunjukkan bahwa Abdullah masih terikut-ikut struktur penulisan sastera lama. Begitu juga apabila dia menggunakan pentun dan syair dalam karyanya. Penggunaan perkataan hikayat itu sendiri membayangkan bahawa Abdullah masih cenderung meneruskan tradisi penulisan lama.

b) Kata pinjaman

Daripada penelitian yang dibuat dalam penghasilan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menggunakan kata pinjaman Bahasa Inggeris, misalnya dalam Hikayat Abdullah digunakan diksi character (halaman 5), enjineer (halaman 6), secretaries governments (halaman 6), electricity (halaman 115), arithmetic (halaman 117), commission (halaman 165).

Selain daripada penggunaan kata pinjaman Bahasa Inggeris terdapat juga penggunan kata pinjaman bahasa Arab dalam penulisan karyanya, misalnya perkataan syaaban (halaman 1), khatib ( halaman 4 ), sayid (halaman 35) dan banyak lagi.

5.0 Kesimpulan
5.1` Penutup

Abdullah Munsyi menggunakan bentuk laporan dalam membina karya-karyanya. Dia melaporkan apa saja yang terjadi pada dirinya, yang dilihat dan dialami. Walau bagaimanpun, dia bukanlah seperti wartawan kerana dia juga mengemukakan cadangan dan nasihat dalam karya-karyanya. Bentuk penulisan kritikan juga terlihat dalam karyanya terutama kritik terhadap raja-raja Melayu. Seperti karya cereka, Abdullah juga menggunakan dialog dalam penceritaan di samping diksi watak-watak bagi menyampaikan maksud atau persoalan yang dikemukakan.

Diteliti karya-karya Abdullah Munsyi, dapat dibuat kesimpulan bahawa Abdullah telah jauh meninggalkan bentuk penulisan sastera lama. Ini tergambar pada persoalan atau tema yang dikemukakan, pada plot cerita, perwatakan, latar cerita dan sudut pandangan. Hanya gaya bahasa yang masih kekal seperti gaya bahasa sastera lama. Buah tangannya ini boleh dijadikan bahan rujukan dan bahan dokumentasi yang penting.

ANALISIS KARYA AGUNG


“RELEVANKAH SULALATUS SALATIN DINILAI BERDASARKAN CIRI PENSEJARAHAN MODEN. BINCANGKAN.”

1.0 PENDAHULUAN:

Kajian kali ini adalah berkaitan dengan teks Salalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Saya akan mendiskusikan teks ini dalam kadar yang serelevan mungkin. Bagi mencapai maksud itu, saya akan membuat penilaian dan kajian terhadap teks ini berdasarkan pelbagai aspek. Aspek yang akan ditekankan dalam kajian teks ini adalah berkaitan dengan penggunaan pandangan dan kaedah pensejarahan barat terhadap teks Salalatus Salatin ini. Persoalannya kini, layakkah karya pensejarahan tradisional umumnya dan Salalatus Salatin khususnya dinilai dan dikaji dengan mengaplikasikan teori-teori dan kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh para sarjana barat. Oleh yang demikian, kajian ini akan mengupas perihal ini dengan lebih lanjut untuk mencapai solusi yang bernas dalam menjawab persaolan ini.

2.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN MODEN:

Penggunaan konsep pensejarahan yang lebih saintifik dilihat bermula hasil daripada cetusan idea yang dicanang-canangkan oleh Bapa Pensejarahan Moden iaitu Leopold von Ranke pada abad ke-19.[1] Konsep yang agak sinonim dengan diri beliau dalam dunia pensejarahan ialah konsep yang berbunyi “Saya hanyalah berhajat semata-mata untuk memperlihatkan bagaimana keadaannya yang sebenar” (wie es eigentlich gewesen).[2] Menurut Profesor Leonard Krieger, Ranke merupakan seorang yang memulakan sains tentang sejarah yang berdasarkan kajian yang lebih kritikal terhadap sumber-sumber. Beliau juga telah memperkenalkan beberapa lagi konsep pengkajian sejarah. Antaranya ialah konsep “Historicism” dan “Quellinkritik”.[3]

Selain itu, sejarah yang dikatakan sebagai suatu displin ilmu yang ilmiah menurut pandangan R.G.Collingwood haruslah mempunyai empat ciri. Pertama, sejarah yang bersifat ilmiah ialah sejarah yang bersifat saintifik iaitu bermula dengan mengemukakan pelbagai persoalan. Persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh ahli sejarah adalah bertujuan mencari jawapan terhadap setiap perkara yang dikaji oleh mereka. Kedua, sejarah juga perlulah merupakan suatu bidang tentang kemanusiaan iaitu mengemukakan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada waktu-waktu tertentu pada masa lalu. Ketiga, sejarah perlulah merupakan suatu bidang kajian yang rasional dan memerlukan bukti-bukti tertentu dalam penyelidikannya. Akhirnya, sejarah juga perlulah bersifat menjelaskan diri iaitu dapat memberi pengetauhan dan penerangan tentang sesuatu perkara yang telah berlaku dan mungkin berlaku.

Selanjutnya, sejarah sebagai sains juga memperlu mempunyai empat ciri yang tertentu iaitu berdasarkan penyelidikan, menunjukkan kebenaran, membantu dalam membuat ramalan dan perlu bersifat objektif.[4]Selain itu juga, isu pengadilan moral juga ditekankan dalam bidang pensejarahan moden. Menurut Kasim Ahmad, pengadilan moral ialah perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun mengenakan penilaian tertentu kepada peristiwa sejarah atau kepada seorang pelaku dalam sejarah.[5] Semua teori dan kaedah ini diaplikasikan dalam bidang pensejarahan bertujuan memastikan sejarah yang ditulis itu benar-benar objektif dan berdasarkan konsep saintifik. Perkara inilah yang mencetuskan sedikit permasalahan dalam mengkaji karya pensejarahan tradisional di negara ini. Hal ini kerana, kebanyakan isi kandungan yang tersurat dalam teks-teks ini sememangnya mempunyai percanggahan yang agak lebar umpama “langit dan bumi”. Justeru itu, timbullah persoalan iaitu adakah layak karya-karya pensejarahan tradisional Melayu dinilai dan dikaji berdasarkan teori-teori dan kaedah-kaedah ini.

3.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN TRADISIONAL:

Terdapat beberapa ciri khusus dalam karya pensejarahan tradisional. Kebanyakan ciri yang terkandung dalam karya pensejarahan tradisional kelihatannya begitu bertentangan dengan ciri-ciri pensejarahan moden. Menurut Ismail Hussein, pensejarahan tradisional ialah sejarah atau historiografi yang berdasarkan dakyah politik untuk diperturunkan kepada generasi akan datang dan mengandungi unsur-unsur kesusasteraan. Unsur-unsur sasteranya dilihat dalam bentuk puisi, syair, mitos, lagenda dan sebagainya.[6] Selain itu, pensejarahan tradisonal juga dipengaruhi oleh unsur penaungan iaitu kebanyakan penulisnya menulis dalam keadaan yang tidak bebas kerana dikongkong oleh kuasa pemerintah. Ciri lain pula ialah terdapatnya unsur anakronistik iaitu kesilapan atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[7] Seterusnya, unsur mitos, lagenda, dongeng merupakan unsur yang kerapkali mewarnai karya-karya pensejarahan tradisional yang akhirnya menyebabkan karya-karya ini dihurungi pelbagai konterversi jika dilihat berdasarkan konsep pensejarahan moden.

4.0 KELEMAHAN SULALATUS SALATIN UNTUK BERDIRI SEBAGAI SUMBER SEJARAH:

Antara faktor yang menyukarkan karya Salalatus Salatin untuk berdiri sebagai sumber sejarah ialah kerana karya ini tidak mempunyai ciri-ciri sebuah hasil penulisan yang bercorak sejarah. Menurut R.G. Collingwood, sebuah hasil penulisan sejarah perlu merangkumi empat ciri iaitu bersifat saintifik, bersifat kemanusiaan atau mengemukakan perkara-perkara yang tertentu pada masa yang lalu, bersifat rasional dengan berdasarkan kepada bukti yang sahih dan perlu bersifat menjelaskan diri.[8]

Kaedah penulisannya yang dikatakan tidak rasional adalah disebabkan pengarangnya mengaplikasikan pelbagai unsur magis yang bercorak mitos, dongeng dan lagenda dalam karyanya. Hal ini berlaku kerana pengarangnya menulis bukan atas maksud untuk menghasilkan karya yang bersifat ilmiah bahkan hanya untuk menyukakan kuasa sang pemerintah. Hal ini dapat difahami berdasarkan petikan ini:

“Setelah fakir allazi murakabun ‘ala jahili (mendengar titah yang Maha Mulia itu), maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia, syahdan memohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan sani’il alam, dan minta huruf kepada Nabi sayyidil-anam, dan minta ampun kepada sahabat yang akram; maka fakir karanglah hikayat ini, kama sami’tuhu min jaadi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini “Sulalatus Salatin”, yakni pertuturan segala raja-raja, hazihi durratul-akhbar wal-amsal, inilah mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya. Maka barang siapa membaca dia, jangan dibicarakan dengan sempurna bicara….”[9]

Berdasarkan wacana ini, “sudah terang lagi bersuluh” bahawa motif utama penulisan Tun Seri Lanang adalah semata-mata untuk menyukakan hati pemerintah Johor yang pada ketika itu di bawah pimpinan Sultan Alauddin Riayat Syah. Memang bangsa Melayu pada ketika itu sangat berpegang kuat pada konsep taat, setia dan patuh kepada segenap suruhan pemerintah. Hal ini diwarnai lagi dengan pengamalan konsep daulat dan tulah dalam suasana persekitaran masyarakat Melayu lama.

Selain itu, antara isu yang mencetuskan konterversi terhadap karya ini adalah disebabkan penggunaan kaedah pensejarahan yang dipraktikkan oleh penulisnya. Persoalannya kini, adakah Tun Seri Lanang mengaplikasikan lunas-lunas kaedah pensejarahan seperti yang kebanyakan sejarahwan fahami masa kini?. Ternyata Tun Seri Lanang hanya menggunakan sumber bertulis dan sumber lisan dalam skop penulisannya. Antara sumber bertulis paling pokok yang digunakan ialah teks Sejarah Melayu induk sendiri yang dibawa dari Goa. Hikayat ini kemudiannya diperbaiki dan disunting semula sehingga akhirnya teks ini dinamakan dengan istilah ‘Sulalatus Salatin”.[10] Sumber lain yang digunkan ialah Hikayat Iskandar Dzulkarnain yang berkaitan tentang tradisi dan naratif Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hmazah yang mengisahkan Raja Suran yang mendirikan negeri di benua Keling dan Hikayat Raja-Raja Pasai tentang kerajaan tua Pasai. Selain sumber ini, pengarang juga menggunakan kaedah sumber lisan. Penggunaan kaedah ini sememangnya popular pada abad ke-16 dan abad ke-17.[11] Penggunaan sumber lisan ini ternyata mempunyai pelbagai kelemahan kerana kaedah ini secara lazimnya mudah dicemari dengan unsur-unsur tokok-tambah yang akhirnya mencemarkan sifat sejarahnya. Hal inilah yang menyukarkan karya ini untuk layak berdiri sebagai sumber sejarah. Sedangkan “Bapa Sejarah Dunia” iaitu Herodotus juga seringkali dikecam oleh beberapa sarjana tentang gelarannya sebagai pelopor sejarah dunia walaupun beliau telah menjalankan beberapa kaedah penyelidikan iaitu kaedah temuduga dan pemerhatian dalam penghasilan karya beliau yang berjudul “Sejarah Perang Parsi”.[12] 

Selanjutnya, persoalan mungkin boleh ditimbulkan dalam nada yang berbunyi adakah Tun Seri Lanang membuat kaedah kritikan luaran dan kritikan dalaman sewaktu penghasilan penulisan beliau. Jika beliau dikatakan ada mengaplikasikan kaedah tersebut, sudah sepastinya unsur-unsur yang berbentuk magis dan anankronistik tidak akan wujud dalam karya tersebut. Disamping itu, untuk sesuatu sumber itu diiktiraf sebagai sumber sejarah perlulah dijalankan aktiviti penafsiran sumber berdasarkan logik akal bagi menentukan kewarasan sumber tersebut.

Sementelahan itu, Salalatus Salatin juga dilihat hanya mampu berdiri sebagai sebuah karya sastera. Salalatus Salatin adalah sebuah hasil sastera sejarah iaitu sebuah karya ciptaan berjasadkan sejarah. “Sejarah” yang dipaparkan dibentuk oleh matlamat-matlamat di luar sejarah dan dibungai dengan pelbagai gejala yang mencairkan sifat kesejarahannya.[13] Menurut Ahmad Mahmood Musanif, Salalatus Salatin hanya layak dilihat sebagai hasil sastera sejarah. Hal ini dapat difahami berdasarkan petikan ini.

“Sejarah Melayu hanya lebih sesuai diklafikasikan dalam kategori hasil sastera sejarah kerana karya ini hanya mengambil bahan-bahannya dari peristiwa-peristiwa sejarah, baik sejarah mengenai sebuah negeri maupun sejarah mengenai seseorang pahlawan atau raja serta kandungannya pula dipenuhi oleh unsur dongeng dan puisi yang indah.”[14]

Kelihatannya, faktor utama yang menyebabkan sesetengah sarjana agak sukar untuk mengiktiraf Sulalatus Salatin sebagai sumber penulisan sejarah adalah disebabkan isi kandungannya yang lebih kerap menampilkan elemen-elemen kesuasasteraan seperti puisi yang bercorak pantun, gurindam dan syair. Kandungan Sulalatus Salatin mempunyai pengaruh sastera dan budaya asing iaitu Hindu dan Islam. Pengarang Sulalatus Salatin telah memperpadukan kedua-dua unsur seperti unsur emas dan unsur perak yang merupakan unsur Hindu dengan unsur tempatan iaitu padi.[15] Keadaan sama juga muncul pada nama-nama tempat dan watak yang digunakan seperti Malini dalam bahasa Sanskrit yang berertti mengulungkan bunga.[16] Selain itu, Bat dalam tradisi agama Hindu merujuk kepada suatu upacara mensucian seseorang Brahmin.[17] Namun terdapat perubahan yang ditonjolkan dalam teks Salalatus Salatin iaitu Bat digamnbarkan sebagai seorang manusia suci yang lahir daripada muntah lembu putih untuk memahkotakan kelahiran Parameswara. Walaupun terdapat perubahan yang ditonjolkan, namun konsep yang digunapakai masih lagi sama. Selain itu, contoh lain yang adalah seperti penggunaan konsep devaraja. Penggunaan konsep devaraja telah diubahsuai dan digantikan dengan penggunaan konsep khalifah.[18] Dengan cara ini, Tun Seri Lanang telah mengambarkan unsur-unsur keislaman dalam karya beliau. Bukan itu sahaja, pemaparan upacara waadat sememangnya mempunyai serba sedikit persamaan dengan konsep baiah dalam ajaran Islam. Baiah dalam Islam diaplikasikan sewaktu perlantikan seseorang khalifah. Maka mungkin kerana ini terdapat sesetengah sarjana yang lebih berpendapat bahawa Sulalatus Salatin yang bermaksud Salasilah Raja-Raja atau Jurai Keturunan Raja-Raja lebih layak untuk dilabelkan sebagai Kisah Raja-Raja Melayu seperti Kisah Raja-Raja Pasai. [19]

Seterusnya, sebab utama yang menyebabkan karya ini kurang layak untuk berdiri sebagai sumber sejarah adalah kerana isi kandungannya yang lebih banyak mengandungi percampuran unsur-unsur mitos, lagenda, khayalan dan hiburan. Menurut R.O.Winstedt, Wilkinson, John Crowfort mengatakan: “Sejarah Melayu adalah karya dimana pengarangnya telah mengkahwinkan keadaan semasa dengan dongeng-dongeng dan legenda-legenda yang terdapat dalam cerita dewa-dewi”.[20] Manakala J.C.Bottom pula mengatakan, “…history as the Malay has seen it – a mixture of truth and legend, fantasy and fact, entertainment and instruction.”[21] J.C.Bottom menyatakan bahawa sejarah bagi orang Melayu bukanlah sains atau kesenian tetapi adalah hiburan oleh penulis sastera yang berbentuk sejarah yang tidak mengutamakan penyusunan fakta dan konkrit.[22] Ternyata, pandangan ini mempunyai kerelevanannya yang tersendiri. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan petikan ini: “… a demon with eyes as red as flame, with creel- like matted hair and a beard down to his waist”.[23] Petikan memaparkan bahawa Badang telah berdepan dengan sejenis makhluk yang mempunyai paras rupa yang menakutkan. Persoalannya, adakah benar-benar wujud makhluk yang sedemikian rupa atau hanya sekadar tokok-tambah daripada sang penulis.

Selain itu, tiada konsep pentarikhan yang tepat dalam teks Salalatus Salatin. Ada yang berpendapat bahawa Salalatus Salatin dikarang pada hari Khamis iaitu yang terdapat dalam pendahuluan hikayat yang berbunyi “…seribu dua puluh satu tahun kepada tahun Dal, pada dua belas haribulan Rabi’ul Awal kepada hari Khamis…” iaitu bersamaan 13hb Mei 1612.[24] Tetapi ada juga tokoh yang mengatakan Salalatus Salatin dikarang pada hari Ahad. Selain itu juga, sesuatu peristiwa yang berlaku mestilah mengikut kronologi. Namun begitu, dalam teks ini, perkara yang mengikut kronologinya adalah sesuatu peristiwa yang berlaku tetapi masa dan juga tahun sesuatu peristiwa yang berlaku tidak dapat diperoleh. Kronologi sejarah juga dikaitkan dengan rentetan peristiwa yang teratur mengikut urutan masa dari awal hingga yang terakhir.[25] Misalnya seperti kisah pelayaran Sri Tri Buana dari Bentan ke Temasik yang tarikhnya tidak dicatatkan. Maka tanpa kewujudan tarikh dalam peristiwa, sesuatu peristiwa itu sukar untuk dianggap sebagai sumber sejarah. Teks Salalatus Salatin juga mengandungi unsur anankronistik iaitu kesilapan atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[26]

5.0 KEBENARAN DAN KEUNIKAN YANG TERSELINDUNG DISEBALIK SULALATUS SALATIN:

Sulalatus Salatin walaubagaimanapun menyemat 1001 macam kebenaran dan keunikannya yang tersendiri. Kebenaran dan keunikannya perlu dikaji dan diselidiki dalam pelbagai aspek yang meluas dan universal. Hal ini kerana, keunikan dan kebenarannya terselindung disebalik isinya yang tersurat. Antara peranan penting yang dimainkan oleh karya ini adalah bertindak sebagai salah satu rujukan penting dalam mengkaji perihal suasana kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu terutamanya pada abad ke-14 dan ke-15. Hal ini kerana, jika menulis berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu berdasarkan sumber barat terutamanya sumber yang dihasilkan oleh sarjana kolonial seperti R.O.Winstedt, Frank Swettenhem dan lain-lain lagi sepastinya akan menimbulkan masalah. Hal ini kerana, kebanyakan tafsiran ataupun interpretasi yang dikemukakan oleh sarjana ini lazimnya berdasarkan kaca mata barat. Kebanyakan mereka dilihat memanipulasikan soal entosentrisme. Entnosentrisme secara mudahnya ialah kepercayaan bahawa kebudayaan sendiri lebih unggul, tinggi nilainya dari kebudayaan lain.[27] Konsep ini juga mendorong kepada menilai kebudayaan lain berdasarkan kepada standard kebudayaan sendiri. Contohnya, seperti orang Eropah yang melihat masyarakat Asia dengan persepsi yang ganjil apabila masyarakat Asia makan dengan menggunakan tangan dan memasuki rumah mereka tanpa alas kaki sedangkan kebanyakan masyarakat Eropah makan dengan menggunakan sudu dan garpu serta memasuki rumah mereka dengan menggunakan alas kaki. Oleh sebab itulah, terdapat sarjana seperti Zainal Abidin Wahid yang menekankan pensejarahan peribumi ditulis oleh penulis peribuminya kerana hanya masyarakat peribumi itu sahaja yang dapat memahami suasana kehidupan masyarakatnya. Hal inilah yang membawa kepada kemunculan konsep Malaysia-sentrik iaitu karya sejarah atau apa-apa karya yang mempunyai nilai sejarah tentang negara ini atau satu bahagian yang dahulunya terangkum dalam entiti Melayu. Berdasarkan konsep ini, hanya sarjana tempatan sahaja dilihat lebih layak menulis tentang sejarah Malaysia. Menurut Zainal Abidin Wahid lagi :

“Sejarah Melayu benar-benar merupakan satu sumber terpenting bagi pengkajian Sejarah Alam Melayu umumnya dan Melaka khususnya pada zaman sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Tidak ada buku atau manuskrip lain yang boleh menggambarkan masyarakat Melaka dengan cara yang lebih baik dan jelas dari Sejarah Melayu”.[28]

Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya. Kita dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri.[29] Mereka mampu berfikir melalui bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif. Jikalau kita belajar daripada sejarah budaya dan tamadun bangsa Melayu itu, kita akan dapati bahawa tiga akar tunjang iaitu bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam itulah “model” yang membentuk pandangan dan jati diri atau identiti Melayu sebagai suatu bangsa yang bebas, berdaulat, bermaruah, berakal budi, bijaksana dan bermoral tinggi sepanjang zaman. Selama lebih 430 tahun dunia Melayu-Indonesia berada dalam zaman globalisasi penjajahan yang dibawa oleh tiga kuasa Barat, Portugis, Belanda dan Inggeris. Hal yang sangat menakjubkan ialah bangsa Melayu itu masih mengekalkan kedaulatan bangsanya kekal hingga hari ini. Kita tidak menjadi suku kaum yang lemah seperti suku kaum peribumi di Amerika yang tamadun mereka, budaya mereka dan bahasa mereka dimusnahkan oleh kuasa penjajah dari Eropah. Orang Melayu terus dapat berkembang menjadi bangsa atau nation yang mempunyai kerajaan, agama, budaya dan kesusasteraan yang tinggi.

Sementelahan itu, kajian terhadap karya pensejarahan tradisional perlu dilihat berdasarkan kajian yang tersirat. Kajiannya tidak boleh dilihat secara mata kasar sahaja kerana kebenarannya tersirat disebalik yang tersurat. Contohnya seperti membincangkan tentang faktor yang memudahkan masyarakat Tanah Melayu memeluk Islam walaupun kepercayaan Hindu-Buddha telah lama menapak dalam hati dan sanubari mereka. Dalam isu ini, kita dapat melihat bahawa betapa terbukanya minda Melayu.[30] Kita melihat apabila budaya Hinduisme dan Islam yang datang secara aman, tidak melalui paksaan, tidak melalui pedang dan peperangan, maka budaya dan kepercayaan ini mudah berkembang di rantau ini. Keterbukaan orang Melayu dapat dilihat apabila orang Melayu sanggup melakukan suatu proses tranformasi budaya, tamadun dan pemikiran yang cukup revolusioner. Namun, apabila budaya atau tamadun dari luar itu cuba dipaksakan kepada orang Melayu melalui keganasan, peperangan dan penjajahan, maka mereka akan menolaknya. Orang Melayu menolak budaya Portugis kerana bangsa Eropah datang secara agresif; mereka memerangi orang Melayu dan merampas kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Itulah sebabnya mengapa orang Melayu “tidak masuk Kristian” dan tidak menerima bahasa Portugis dan budaya mereka, padahal Portugis memerintah di Melaka selama lebih seratus tahun (hingga tahun 1641).

Selanjutnya, kita juga akan melihat bahawa lokasi-lokasi yang dinyatakan dalam teks Sulalatus Salatin seperti Temasik atau Singapura, Palembang, Pulau Bentan, Tanjung Bemban, Minangkabau, Tanjung Pura, Srivijaya, Majapahit, Siam dan lain-lain lagi masih wujud sehingga kini. Berdasarkan hujah ini, ternyata menilai karya pensejarahan tradisional Melayu berdasarkan kaca mata barat adalah suatu kesilapan. Hal ini didorong oleh beberapa faktor seperti faktor perbezaan budaya, tujuan penulisan teks dan kaedah penulisan. Pensejarahan moden yang menggunakan rujukan atau sumber barat tidak sesuai untuk menilai karya pensejarahan tradisional. Hal ini hanya mendorong kepada isu berat sebelah dan akhirnya pensejarahan baratlah yang akan mendominasi pensejarahan tradisional. Selain itu, perbezaan tujuan penulisan yang berbeza juga menyebabkan pensejarahan tradisional tidak relevan dinilai berdasarkan kaca mata barat. 

Karya pensejarahan tradisional lazimnya bertujuan memaparkan sejarah keagungan negara,pemerintah dan bangsanya sedangkan pensejarahan moden ditulis dengan tujuan untuk memaparkan penulisan sejarah yang bersifat saintifik. Seterusnya, kaedah dan gaya penulisan juga berbeza. Kebanyakan karya pensejarahan tradisional diwarnai dengan unsur-unsur kesusasteraan seperti sajak,puisi,gurindam dan mitos.[31] Unsur-unsur ini diaplikasikan untuk memenuhi sifat masyarakat yang menyanjung raja. Unsur-unsur tersebut juga penting sebagai hiburan atau penarik serta kritikan terhadap pihak tertentu secara sinis, halus tetapi penuh simbolik. Namun, jika isu ini dilihat berdasarkan sudut pandangan barat, ternayta ia sungguh bercanggah sekali. Menurut Leopold von Ranke, sejarah mestilah berlandaskan bukti sahih dan buannya daya imaginasi semata-mata seperti mana yang dilakukan oleh penulis-penulis beraliran sastera.[32] Seterusnya, penulisan sejarah pada hari ini yang dianggap moden dan saintifik mungkin juga akan dianggap sebagi ketinggalan zaman dan tidak saintifik pada masa akan datang.


6.0 KESIMPULAN:

Jelasnya, karya pensejarahan tradisional umunya dan karya Sulalatus Salatin khususnya tidak layak untuk diukur atau dinilai berdasarkan kaca mata barat. Hal ini kerana, terdapat perbezaan yang amat ketara antara pensejarahan tradisional dengan pensejarahan moden yang dibentuk barat. Justeru itu, karya pensejarahan tradisional sememangnya layak untuk dijadikan sumber dalam penulisan sejarah kerana kandungannya yang lebih memaparkan dan memahami suasana kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam berbanding dengan sumber asing yang kebanyakannya ditulis oleh para sarjana kolonial. Hal ini kerana, kebanyakan para sarjana kolonial menulis dengan persepsi yang kurang menyenangkan terhadap suasana kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam dan akhirnya hal ini membawa kepada unsur berat sebelah kepada sejarah masyarkat peribumi. Jelasnya, untuk mengenepikan karya pensejarahan tradisional sebagai rujukan sejarah adalah suatu perkara yang tidak relevan walaupun kebanyakannya isi kandungannya bercanggah dengan konsep dan teori pensejarahan moden.



BIBLIOGRAFI.
BUKU:

Ahmad Mahmood Musanif. 1992. Pemahaman dan Penghayatan Sejarah Melayu.
Selangor: Masa Enterprise.
Ali Ahmad. 1987. Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arbai'yah Mohd Noor.2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Brown, C.C. 1970. Sejarah Melayu or Malay Annals (terj.). London: Oxford University Press.
Flaron bin Daud. 1985. Sejarah Melayu: Satu Kajian Dari Aspek Pensejarahan Budaya. Bangi: Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhd. Yusoff Hashim. 1988. Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber, Penghayatan Masalah dan Tafsiran Naskah-Naskah Terpilih Sejarah Melayu. Singapura: Gaints Prints Sdn. Bhd.
Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarahwan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheikh Othman bin Sheikh Salim (eds.). 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suntharalingam, R. 1985. Pengenalan kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Marican.
Suntharalingam, R. 1987. Pensejarahan Barat. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
The Colombia Encyclopedia, 6th Edition. 2001. Colombia: University Press.
Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh. 1978. Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heineman Educational Book (Asia) Ltd.

ARTIKEL:

Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. "Sejarah Melatyu: Antara dan Dakyah". Kajian Malaysia, Jilid III, NO.2.
Bottom, J.C. 1962. "Malay Historical Works" dalam K.G.Tregonning (ed.). Singapore: Malaysian Historical Sources.
Hassan Ahmad. 2007. "Makna Sebuah Kedaulatan: Pandangan Melayu Terhadap Dirinya", dalam Dewan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Thilagavathi Gunalan, V. 2005. "Dari Bukit SiGuntang ke Bukit Larangan: Parameswara dalam teks Sejarah Melayu" dalam Prof.Emeritus Dato’Dr. Mohd Yusoff Hashim (penyt.), Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) GRAHA IKSEP.
Yusoff Iskandar. 1986. "Sejarah Melayu Sastera yang Bercorak Sejarah", dalam Zahrah Ibrahim (penyt.), Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


SULALATUS SALATIN SEBAGAI PEMBERI NASIHAT


Pelbagai nasihat diterapkan oleh penulis Sulalatus Salatin untuk tatapan pembaca. Penulis bijak menggunakan watak-watak untuk menyampaikan nasihat. Antara nasihat yang boleh diambil seperti kesetiaan, menepati janji dan juga keberanian. Masyarakat Melayu begitu sinonim dengan kesetiaan kepada raja. Hal ini digambarkan melaui watak  Hang Tuah sememangnya terkenal dengan sifat semula jadinya yang mempunyai ketaatan kepada raja yang mendalam. Aspek kesetiaan ini memang banyak dipaparkan terutamanya melalui watak Hang Tuah. Hang Tuah sebagai hulubalang dan juga laksamana Melaka memang terkenal dengan kesetiaan kepada raja.


Hang Tuah sentiasa mencurahkan segala daya dan nyawa demi kesetiaannya kepada raja. Lazimnya, beliau sanggup menjadi pelindung kepada raja pada setiap masa terutamanya apabila raja mengalami kesusahan ataupun nyawanya berada dalam keadaan berbahaya. Segala perintah raja tidak pernah diingkarinya, tidak membantah ataupun melawan segala perintah raja biarpun hampir meragut nyawanya. Pengorbanan yang paling besar yang dicurahkan oleh Hang Tuah dalam hikayat ini ialah beliau sanggup membunuh saudara dan juga sahabat sendiri iaitu Hang Jebat.

Manakala sifat menepati janji pula digambarkan melalui watak diantara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Perjanjian ini dilakukan disebabkan Seri Teri Buana telah jatuh hati kepada anak perempuan Demang Lebar Daun. Hasrat Seri Teri Buana telah diketahui oleh Demang Lebar Daun yang kemudiannya telah bersetuju untuk memenuhi hasrat tersebut. Namun begitu, Demang Lebar Daun memohon Seri Teri Buana berjanji supaya tidak menhalau anaknya dari istana apabila mendapati anaknya itu mengalami penyakit yang ganjil.

Seri Teri Buana bersetuju ke atas permintaan tersebut dan memohon kepada agar hamba Melayu tidak akan menderhaka sekiranya keturunannya kelak memerintah dengan kejam dan zalim dan berharap tiada berlakunya pertumpahan darah di dalam negeri yang berada di bawah pemerintahan baginda dan keturunannya kelak.

Sifat keberanian pula ditonjolkan melalui watak Hang Jebat yang terlalu sedih dan baginya kematian Hang Tuah mesti dibelai Beliau sanggup mengabaikan kepentingan sendiri termasuklah mengorbankan nyawa sendiri demi mencari keadilan. Kesetiaan Hang Jebat kepada raja benar-benar tergugat apabila Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh secara mendadak oleh raja Melaka. Hal ini menyebabkan Hang Jebat menderhaka kepada raja demi untuk membalas dendam ke atas kematian Hang Tuah.

Beliau sanggup menderhaka kepada raja kerana ingin membela kematian Hang Tuah disebabkan beliau memegang kepada pepatah “raja alim raja disembah, raja zalim raja disanggah.”  Hang Jebat tetap berani untuk menuntut bela atas kematian sahabatnya walaupun beliau tahu perbuatannya itu adalah menderhaka kepada raja. Namun demikian, diatas sikapnya untuk menuntut keadilan keatas sahabatnya, beliau teruskan jua. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Hang Jebat merupakan seorang yang berani walaupun apa jua rintangan yang bakal dihadapinya disebabkan tindakannya itu.

Nilai-nilai yang diterapkan oleh penulis melalui watak-watak seperti Hang Tuah, Hang Jebat dan Demang Lebar Daun dapat dijadikan pengajaran kepada masyarkat Melayu hari ini. Kesetiaan kepada pemimpin perlu dititikberatkan oleh rakyat untuk menjamin kesejahteraan bersama. Manakala nilai menepati janji pula lebih menjurus kepada individu kepada individu. Janji yang diberikan perlu ditepati untuk mendapatkan kepercayaan orang lain. Nilai menepati janji sering kali diabaikan oleh masyarakat Melayu hari ini sehingga menyusahkan diri sendiri. Nilai Keberanian pula perlu diterapkan dalam diri setiap individu supaya setiap kebenaran dapat dipertahankan. “berani kerana benar, takut kerana salah” merupakan slogan yang perlu ditekankan dalam diri masyarakat Melayu supaya kita tidak ditindas dan dipermainkan oleh orang lain.

SULALATUS SALATIN SEBAGAI SINDIRAN DAN KIASAN


Karya Sulalatus Salatin juga mempunyai unsur-unsur sindiran secara kiasan.Hal ini bertepatan dengan budaya Melayu yang sering menggunakan bahasa halus untuk menyindir seseorang. Perkara ini juga lebih beradab berbanding sindiran secara terus yang boleh menjatuhkan maruah seseorang. Dalam hal ini, masyarakat Melayu begitu menjaga maruah seseorang. Tidak hairanlah sekiranya sindiran-sindiran yang diberikan lebih besifat sembunyi-sembunyi.Dalam Sulalatus Salatin terdapat juga unsure sindiran yang diselitkan melalui watak-watak lucu seperti peristiwa Tun Mai Ulat Bulu belajar mengaji pada Makhdum Sadar Jahan menyindir golongan pendidik yang tidak sabar dalam menyampaikan pengajaran kepada murid -muridnya. Pengajaran yang bersifat gopoh ini member kesan kepada anak didik untuk mengikuti setiap ajaran guru. Perancangan yang sistematik perlu dirancang supaya proses pengajaran berlangsung dengan berkesan.

           Selain itu, peristiwa Hang Hussain Cengang melanggar adab-adab makan nasi hadapan pula menyindir adat itu sendiri yang melanggar tuntutan Islam. Hal ini bertepatan dengan ajaran islam yang melarang umatnya membazir. Makanan yang merupakan rezeki kurniaan Allah tidak harus dibazirkan sebegitu.Sulalatus Salatin mempunyai sifat kreatif dalam mengutarakan percakapan dengan menyelitkan unsur-unsur tertentu supaya percakapan mereka tidak menyinggung perasaan orang lain secara terus. Ini menunjukkan masyarakat zaman dahulu mempunyai nilai-nilai kemelayuan yang tinggi jika dibandingkan dengan masyarakat pada zaman sekarang.

               Gambaran corak hidup masyarakat biasa juga diberi penekanan dalam teks Sulalatus Salatin iaitu memberikan gambaran tentang realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman silam yang tepu dengan kisah suka dan duka. Setiap peristiwa yang berlaku dalam Sulalatus Salatin mempunyai pelbagai makna tersirat. Pengajaran-pengajaran yang diketengahkan perlu diambil iktibar untuk meneruskan kelangsungan warisan nenek moyang kita.





DUNIA PERSILATAN MELAYU

Seni mempertahankan diri atau “silat” telah muncul sejak berabad lamanya. Silat selain daripada mempertahankan diri juga merupakan aktiviti yang dapat menyihatkan badan. Usia silat tidak dapat dipastikan dengan jelas kerana terdapat pelbagai tanggapan yang telah dibuat berkaitan usia ilmu persilatan ini.Ilmu persilatan ini diwarisi dari generasi ke generasi. Senjata yang digunakan pesilat adalah seperti keris, badik, kerambit, parang,lading dan banyak lagi. Silat terbahagi kepada dua jenis iaitu silat bersenjata dan juga silat tempur tangan kosong. Bagi pesilat yang masih baru belajar, kebiasaanya akan diajar silat tempur tangan kosong sebelum menggunakan senjata. Pergerakan silat terbahagi kepada bunga iaitu pergerakan seolah-olah tarian dan buah iaitu pukulan. Silat juga terbahagi kepada dua iaitu silat tempur dan silat persembahan. Perbezaan kedua-dua ini adalah silat tempur digunakan untuk pertempuran manakala silat persembahkan kebiasaanya dipersembahkan ketika majlis keramaian atau majlis perkahwinan.
Dalam Sulalatus Salatin ilmu persilatan ini digambarkan melalui Watak Hang Tuah dan Hang Jebat yang dikatakan mempunyai guru yang sama dan telah menjadi sahabat karib hasil dan mempelajari ilmu persilatan dari guru yang sama. Keris juga merupakan senjata utama yang digunakan oleh Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Tuah telah menjadi laksama Melaka disebabkan oleh kemahiranya dalam ilmu persilatan. Dalam peperangan antara Melaka menentang musuh ketika diserang juga menggunakan silat dalam pertempuran. Ketika amukan Hang Jebat ketika mengetahui kematian sahabatnya Hang Tuah juga membuktikan ilmu persilatan dan alam Melayu tidak dapat dipisahkan. Hingga hari ini, ilmu persilatan masih kekal menjadi warisan yang berharga kepada masyarakat Melayu. Hal ini diteruskan oleh kerajaan yang telah mengiktirah silat sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di peringat dalam dan luar Negara.

PEMBENARAN (PENTAHQIQKAN) SOROTAN PERSILATAN ZOHIRIAH - SILAT LAKSAMANA HANG TUAH.

Berdasarkan gambaran oleh pengarang cerita Hang Tuah tentang ilmu dan teknik persilatan Hang Tuah ini bolehlah dianggap Silat Hang Tuah ini menjadi salah satu induk atau tonggak utama kepada keberkesanan seni beladiri Melayu bagi pelbagai teknik dan resam silat silat Melayu asli yang ada pada hari ini di Nusantara Melayu dengan berbagai namanya dan berbagai corak serta kaedah persilatannya. Namun Silat Melayu yang betul-betul asli mengikut kaedah Silat Hang Tuah ialah mana-mana silat yang menggunakan senjata-senjata yang pernah digunakan Hang Tuah dalam pembelajaran persilatannya seperti pisau, parang, keris pendek (keris pendua), keris Panjang (keris Utama), kapak, tombak, pedang, lembing – seligi dan panah walaupun persilatannya tidak menyamai taraf kehebatan Pahlawan Agong Melayu itu. Namun begitu boleh juga dianggap bahawa Hang Tuah tetap handal berlawan dengan teknik tangan kosong walaupun dalam cerita-cerita pertempurannya atau pergelutan beliau dengan para lawannya dalam hikayat ini tiada sekali pun menyatakan beliau berlawan atau bergelut dengan menggunakan tangan kosong sahaja kerana sudah lumrah dan ma`alum kepada semua bahawa dalam persilatan Melayu jika seseorang boleh bertempur dengan menggunakan senjata tradisional maka secara mudahnya pula ia boleh berlawan atau menguasai teknik menggunakan tangan kosong. Hal ini terbukti Hang Tuah ada menari tarian silat bertangan kosong dalam beberapa majlis keraian di istana sama ada di Melaka atau di Majapahit. Dengan hujah ini tidaklah boleh dianggap jika sesebuah perguruan persilatan Melayu yang ada hari ini tidak mengajar bagaimana cara menggunakan senjata senjata tradisional Melayu sebagai bukan silat Melayu yang asli. Namun berdasarkan sorotan ini, silat Laksamana Hang Tuah melalui gambaran hikayatnya, penggunaan senjata senjata tradisi dalam persilatan Melayu asli adalah suatu perkara pepakan malai terutama bagi silat Melayu asli yang berasal dari benih Silat Laksamana Hang Tuah sendiri.

Gambaran sebenar teknik ilmu persilatan Melayu Asli zaman Laksamana Hang Tuah dapat dikesani dari riwayat semua babak-babak pertarungan bersenjata atau pergelutan Hang Tuah secara perseorangan ataupun babak pertarungan beliau bersama empat sahabatnya dengan musoh-musoh mereka yang ingin membunoh mereka atau yang ingin memusnahkan misi para pahlawan Melayu itu iaitu sebagai seorang panglima dan Laksamana dan sebagai hulubalang hulubalang Melayu zaman kemuncak kegemilangan Empayer Laut Melayu Melaka di zaman pemerintahan Sultan Mansyur Shah dan Zaman bermula kejatuhan Melaka ke tangan Portugis (tahun 1511M) iaitu di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

Para sarjana timur dan barat ramai yang berpendapat Hikayat Hang Tuah bahagian pertama iaitu bahagian pertarungan (perlawanan) kerana melaksanakan misi dan zaman menuju puncak kegemilangan kerajaan Melaka adalah ditulis oleh seorang pengarang tertentu dan bahagian kedua iaitu bahagian pengembaraan Hang Tuah ke negara-negara besar zamannya seperti Siam, India, Cina, Turki dan Rom adalah dikarang oleh seorang pengarang yang lain. Walau bagaimanapun bahagian pengembaraan Hang Tuah ke India dan Siam masih boleh dianggap ianya ditulis oleh pengarang bahagian pertama juga kerana gambaran teknik persilatan Hang Tuah dan pertarungan pedang yang cukup dramatik, mahir dan hebat oleh Hang Tuah menentang pendekar `Benua Keling` (India) dan menentang pendekar Jepun (Samurai?) lebih kurang sama dengan kaedah persilatan Laksamana Hang Tuah bahagian pertama hikayat Hang Tuah ini. Cerita bahagian Pertarungan Hang Tuah dengan musoh-musoh beliau berkemungkinan besar ditulis selepas sahaja serangan Portugis ke atas Melaka. (Sila rujuk bahasannya pada buku Hang Tuah. DBP, Ogos 1963 atas tajuk:Pengenalan ms Xii ).

Melalui bahasan itu dapatlah kita membuat suatu rumusan bahawa pengarang Hikayat Hang Tuah bahagaian pertama adalah seorang yang arif dalam ilmu persilatan Melayu zamannya (Zaman hikayat bahagian pertama ini ditulis) sebab gambaran kehebatan persilatan Hang Tuah yang digambarkan beliau mungkin suatu khayalan minda sedar penulisannya yang memang dipengaruhi ilmu atau teknik persilatan sama ada yang pernah dialaminya, dipelajarinya atau yang pernah dilihatnya sendiri atau pun diceritakan orang di zamannya kepada beliau. Seseorang tidak dapat menulis dengan baik dan tepat akan sesuatu perkara tampa ada unsur-unsur pengalaman diri seperti perkara yang tersebut itu. Mengikut sasterawan Negara, Kassim Ahmad dalam aluan kata pengenalan dalam buku Hang Tuah keluaran DB. 1963 tersebut mengenai kekaliberan pengarang Hikayat Hang Tuah mengenai ilmu persilatan Melayu seperti berikut:

“…Dan sesungguhnya, boleh dikatakan semua temasha2 pertikaman antara Hang Tuah atau Hang Tuah dan teman temannya di satu pehak dengan musoh2 Melaka di pehak yang lain dilukiskan dengan gaya yang amat menghairahkan. Bukan saja dalam melukiskan temasha2 pertikaman pengarang ini handal, tangannya tidak kurang hidup mengendalikan peristiwa yang lebih biasa (luar biasa-p).” (ms. xiv)

Jelas kepada kita sekarang gambaran teknik persilatan Hang Tuah dan para sahabatnya zaman 500 tahun yang lampau itu adalah gambaran Seni Silat Melayu Asli yang sejati oleh pengarangnya kerana pada zaman itu boleh dikatakan belum ada lagi sebarang pengaruh seni beladiri asing (jika ada) yang dikhuatiri mempengaruhi teknik dan palsafahnya dalam seni beladiri Melayu iaitu Seni Silat. Oleh yang demikian gambaran sebenar teknik dan palsafah Seni Silat Melayu Asli yang sejati seperti zaman Hang Tuah dapat kita ketahui melalui beberapa sudut kajian terhadap babak-babak pertarungan Hang Tuah dan sahabat-sahabat beliau dengan para pencabar yang ingin membunuhnya seperti berikut;

BEBERAPA SOROTAN TERHADAP SILAT LAKSAMANA HANG TUAH

ASAS PERSILATAN HANG TUAH LIMA BERSAHABAT

Pada ketika usia meraka baru belasan tahun telah bermula suatu pengalaman kependekaran oleh Hang Tuah bersama empat orang sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu keluar mengembara di sekitar Selat Melaka. Beliau dan sahabat sahabatnya telah dibekalkan oleh bapa bapa mereka senjata dengan sebilah keris dan sebilah parang. Hal ini andaian yang boleh dibuat ialah Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya telah pun diajar oleh bapa masing-masing ilmu persilatan kampungan. Jikalau ilmu silat belum diajar kepada mereka bagaimana keris dan parang yang dibekalkan itu hendak digunakan menentang musoh? Tentulah menjadi lebih merbahayakan diri sendiri kalau tidak pandai menggunakan senjata yang dibawa. Sudah menjadi resam tradisi masyarakat Melayu lama pula seseorang pemuda tidak akan meninggalkan kampong halamannya mengembara tampa sedikit sebanyak belajar terlebih dahulu ilmu persilatan sebagai bekal menjaga diri dari ancaman musoh diperantauan.

A. SILAT TARI HANG TUAH (SILAT BUNGA – SILAT TANGAN KOSONG

Silat Tari Hulubalang Melayu atau Silat Bunga Hang Tuah. Pada zaman ini di utara dan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu corak silat yang semacam ini disebut juga Silat Pulut atau Seni Silat Tangan kosong. Pada kebiasaanya Silat Tari ini dipersembahkan di majlis-majlis keraian dalam istana Raja dengan iringan bunyi-bunyian muzik khas. Seperti mana sekarang ini dipersembahkan dalam majlis-majlis perasmian atau keraian tertentu dalam masyakat Melayu Nusantara sebagai suatu budaya tradisi Melayu. Tetapi di zaman ketika dan setelah Negeri-Negeri Melayu Nusantara dijajah oleh kuasa kuasa barat persembahan Bunga Tari Silat Pendekar Melayu Asli ini agak berubah sedikit tekniknya kepada menjadi lebih lembut daripada yang di zaman teradisi Hang Tuah. Ini kerana para pesilat semasa penjajahan kuasa-kuasa barat dilarang oleh penjajah memakai senjata semasa persembahan silat walaupun sekurang-kurangnya ada terselit sebilah keris di pinggang masing-masing ketika pesilat mempamerkan aksi-aksi silat masing-masing dalam majlis keraian tersebut. (zaman penjajahan untuk bersilat tangan kosong saja pun mestilah mendapat kebenaran pihak mata-mata kerajaan (polis) terlebih dahulu. Lalu tradisi begini (kaedah dan gaya tidak memakai senjata dipinggang ini) di warisi generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. (Sila lihat artikel Silat Lembing-Tombak Panji Alam Pendekar laman web http://geraksejati.co.cc sebagai perbincangan tambahan)

TEKS:

1. DI MELAKA-TANAH MELAYU

Hang Tuah digambarkan sangat mahir dengan tarian silat dalam majlis keraian di istana. Salah satu contohnya lihatlah petikan berikut di mana Hang Tuah menarikan tarian silat bunga ini (Bunga Tari Silat Pendekar Hulubalang Melayu) semasa menghadiri majlis keraian `Menduduki Istana baru` oleh adinda Sultan Melaka iaitu Sang Jaya Nantaka;

“Maka Tun Tuah pun menyembah kepada raja muda lalu berbangkit serta memegang ulu keris panjang tempa Melaka itu (yang diselitkan pada pinggangnya-p) terlalu baik (cantik dan hebat-p) sikapnya (tingkah dan gerakan-p) menari itu (bersilat tari dengan kedua tangan dan gerakan tubuh dan kaki itu-p), lalu di-lompatkan dengan lompatan pertikaman (ya`ni cara lompatan beserta aksi menikam-p), serta menyembah lalu dudok. (Di sini walaupun keterangan yang diberi pendek tetapi gambaran Tarian silatnya dinamik dan mempunyai klimaksnya – pada babak penyudah tarian-p). Maka raja muda pun suka melihat dia (Bersilat itu-p), tiada jemu pada mata baginda (mata melihat sangat tertarik – hati tertawan), maka dalam hati baginda, sunggoh–lah Tun Tuah ini hulubalang, manis laku-nya (ya`ni hebatnya perawakan seorang hulubalang). Sa-telah itu maka Tun Jebat pun menyembah raja muda lalu menari. Maka Hang Lekir, Hang Lekiu pun mengambil piala daripada tangan orang mengisi piala itu…” (ms.66)

2. DI MAJAPAHIT-TANAH JAWA.

Semasa di Majapahit Hang Tuah juga ada menari tarian Silat Bunga Hulubalang Melayu Asli ini dalam majlis-majlis keraian diraja dalam istana Betara Majapahit. Contohnya seperti petikan berikut:

“Maka rebana (berserta alatan bunyian dan gendang, gong, serunai dan yang lain lagi-p) berbunyilah. Maka segala raja-raja itu pun berasa khayal-lah lalu
berbangkit menari beranggap-anggapan terlalu ramai…”

“..Maka titah Seri Betara, `Menari apa-lah Kiyai Tuah. Ingin-lah kita hendak melihat-mu menari.` Maka sembah Tun Tuah, `Daulat tuanku andika, ini menari cara hulubalang-lah` (tari silat-p). Maka Tun Tuah pun menyembah Seri Betara dan Raja Melaka lalu bangun menari, serta di-singsing-nya tangan baju-nya lalu di-pegang hulu keris panjang-nya (yang di selitkan di pinggangnya-p). Maka tangan kanan di-kedang2-nya (dimainkan bunga tari silat serta gerak pancungan, tikaman, parasan, tetakan, tangkisan dan lain-lain-p). Apabila tangan-nya kanan memegang hulu keris panjang-nya, maka tangan-nya kiri di-kedang2kannya, lalu dilompatkan-nya.” (Ms.126)

3. “Maka titah seri Betara, `Hai kiai Pateh, anggapkan (unjuk sambil mengajak-p) kepada Laksamana, kerana kita hendak melihat Laksamana menari, kerana kita dengar Laksamana pandai menari (menari silat kaedah seni tari hulubalang Melayu-p) cara Melayu. `Maka Pateh pun bangun menari, serta di-sinsing-nya tangan baju-nya, maka di-anggapkan-nya pada Laksamana. Maka Laksamana pun menyembah lalu bangun menari, serta di-sinsing tangan baju-nya, memegang hulu keris panjang-nya (yang di selitkan pada pinggangnya-p). Sa-telah itu maka di–kedang2kan tangan-nya apabila ia melompat ka-kiri dan ka-kanan, serta memekis, kata-nya, `Cheh! Mana-tah penjurit Majapahit ? Mari-lah berhadapan dengan aku..” (ms.245)

ULASAN SILAT : TARI DAN JURUS

Berdasarkan kisah Hang Tuah dalam petikan di atas, jelaslah kepada kita sekarang bahawa Seni Silat Tari Melayu atau Silat BungaTari Melayu atau pun jenis Silat Pulut itu adalah juga silat Melayu Asli semenjak Zaman Hang Tuah atau sebelumnya beribu tahun lagi. Cuma Silat Tari atau Silat Bunga oleh Hang Tuah ada memakai keris dipinggangnya dan menari sebelah tangan pada permulaan gerak serta memegang hulu keris sebelah tangan yang lain (teks 2 dan 3). Lalu menari dengan kedua-dua tangan selepas memegang ulu keris pada permulaan geraknya (teks 1). Maka jika Silat Tari Melayu Asli hari ada yang memulakan gerak tari tangan kosongnya dengan satu tangan diletakkan di paras pinggang seolah-olahnya memegang hulu keris dan tangannya yang satu lagi dihulurkan ke hadapan dengan gerak tari yang memberi ma’ana serangan dan belaan – tangkisan dan sebagainya kemungkinan besar benih asalnya (Bapanya) ialah Silat Hang Tuah. Satu hal lagi adalah jelas sekali method atau teknik lompatan amat popular kepada beliau (Hal ini ia itu teknik lompatan-jarang di guna dalam kebanyakan silat pulut pada hari ini tetapi bukannya mesti tidak ada – Jika benih silat tari atau silat bunga tertentu itu benihnya berasal dari Silat Hang Tuah tandanya ialah ada aksi lompatannya pada gerakan penyudah. Sama ada tinggi atau pun rendah lompatannya pasti ada walau pun tidaklah sehebat lompatan Hang Tuah-p). Namun tarian ini bukanlah pada praktiknya digunakan untuk bertempur-perang, tetapi untuk keraian atau perasmian majlis-majlis tertentu. Maka Silat Tari atau Silat Bunga yang benihnya berasal dari cara Hang Tuah itu sebenarnya lah sejenis kaedah tarian hulubalang Melayu zaman dahulu. Tarian ini diajar dari generasi ke generasi untuk memenuhi fungsi-fungsi keraian majlis tertentu tersebut. Oleh itu kebanyakan perguruan Seni Silat Tari Melayu ini tidak ada mengajar muridnya bermain senjata, ia hanya banyak menumpukan bermain tarian dan permainan buah buah silat secara Tanya – jawab pada serangan dan belaan melalui sentuhan sentuhan ringan pada titik bahaya pada tubuh lawan serta kuncian-kuncian juga ringan secara teknik bertangan kosong. Walaupun bagitu ia mempunyai potensi membentuk jurus-jurus pencak ( jurus tempur ) yang hebat dalam pelajaran tempur penggunaan senjata Melayu tradisional seperti parang, kapak, keris pendek, keris panjang, pedang, tongkat pendek atau tongkat panjang, tombak, lembing, seligi-tembong dan panah serta lain-lain lagi. Kerana ia ibaratkan satu pokok :

Tarian silat bunga atau bunga tarinya itu ibaratkan dedaunan dan rantingnya pokok. Manakala jurus tempur silat bunga itu adalah dedahannya pokok. Manakala buah pukulan atau serangan dan belaannya sama ada bertangan kosong atau menggunakan senjata adalah batangnya pokok. Manakala Iman, Islam, tauhid, maarifat adalah akarnya pokok. Akar bertunjang dan bertapak paksikan kepada bumi yang teguh berbudi. Pendek katanya bebunga, dedaun dan rantingnya itu keluar dari dedahan, dedahan keluar dari batang, batang keluar dari akar, akar keluar dari benih, benih bercambah dari dalam bumi sejati yang teguh terhampar luas semesta.

Ada pun seni silat Melayu asli hari ini yang benihnya dari Silat Bunga Hang Tuah dapat kita camkan pada permulaan seorang pesilatnya memulakan gerak tari iaitu jika salah satu tangannya berada atau menyentuh pinggangnya (seolah-olah memegang hulu keris) dan tangan yang satu lagi dikedang atau dihulur ke hadapannya dan ditarikan dengan apa-apa corak maknawinya serangan atau belaannya maka iaitu berkemungkinan besar adalah jenis silat yang benih asalnya daripada Silat Laksamana Hang Tuah. Tetapi kalau permulaan gerak tarinya terus saja dengan gerakan bunga tari yang istilahnya sama dengan yang disebut ini iaitu: Tebar, kibor, bedut, besut, pepat gantang, rencong teleng, pedang mengepang, pusaran ayer, belai bayu, bunga pakma, layangan camar, helang melayang, sikat puan, cakar beroga, cakar harimau, tampar beruang atau pun seludang jatuh, tapak rimau, tarik rotan, lenggang janda, merbah berlaga, kayuh sampan, menggalah canggah ombak, belah udang, sireh junjong, benang kusut, sambar helang segara, sambar garoda, mengepak bangau, patukan tedong, naga melilit, naga libas, siku kelawar dan banyak lagi, maka bukanlah asal dari benih Silat Tari Hang Tuah. Tetapi ia berasal dari para pendekar Melayu yang lain yang memang cukup ramai yang hebat-hebat, juga para pengasas Silat Silat Melayu Asli Nusantara ini dengan bermacam-macam gaya dan dan kaedahnya, falsafahnya dan namanya yang diwarisi bangsa Melayu hingga ke hari ini hingga berpuloh-puloh orang pendekar malah beratusan yang menjadi pengasasnya. Sebab itu silat pulut atau silat bunga Melayu cukup banyak dengan pelbagai gaya bunga silatnya tersendiri terkadang nampak seperti serupa antara satu sama lain kerana tercipta dari ilham pengasasnya bersumberkan benda-benda alam yang sama antara satu sama lain. Kaedah Silat Bunga Hang Tuah atau Silat Tari Hang Tuah tariannya disebutnya tari hulubalang yang dipengaruhi gerak bunga tikaman senjata pendek dan panjang, libasan.paras, pancong, belah, tangkis, libasan, penggal, tetakan kiri tetak kanan, tetak depan, tetakan belakang, tetak atas, tetak bawah, paras atau pacong kiri kanan, belakang, depan, atas, tengah, bawah, tangkisan atas, tengah, bawah, dalam, luar, kanan, kiri, depan, belakang, berpusing dan lompatan keris panjang dan pedang mengikut keselesaan gerak sejati manusia. Dalam gerak jurusnya pula gerakan tubuh adalah bebas saja baik ke hadapan, ke belakang, ke kanan, ke kiri, dengan gerak lurus atau gerak sendeng atau rencong semua boleh dan bebas belaka mengikut situasi serta tempat bergelut serta keselesaan diri manusiawiyahnya. Kedudukan dan pergerakan tuboh juga bebas tidak terikat dengan satu-satu kaedah kedudukan persilatan sahaja, ia menggunakan gerak manusia sejatinya – boleh bertukar kapan saja asalkan dirinya selesa untuk membuat belaan atau serangan atau LARI . Contoh LARI dari Teks:

“Maka Laksamana pun melompat undur (lari) ka-pintu istana itu, maka lalu terjun (lari) di atas pintu itu. Maka Hang Jebat di-pertubi-nya tikam belakang Laksamana, tiada lut, mastul Laksamana pun tanggal (terpecat) dari kepala-nya lalu berbelit2 pada leher-nya. Maka Laksamana pun berjalan–lah pulang ka–rumah-nya sambil melambaikan (membuat hayunan dari arah atas ke bawah) keris-nya.” (ms.323)

Kedudukan tubuh juga mengikut situasi tempur atau pergelutan dan situasi tempat bertempur samada di kawasan lapang, kawasan sempit, di darat, di air, di bukit, di lembah dan sabagainya dengan kedudukan dan gerakan sama ada baring terlentang, terlungkup, berbaring pada lambong kiri atau kanan, keadaan bersila, bersila panggong atau pun bertinggong, duduk berlutut, berdiri dalam keadaan berbongkok, berdiri berkekuda atau berdiri tegak lurus terpacak sahaja atau pun apa saja kedudukan biasa manusianya ia tetap boleh bergelut atau bertempur jika diserang oleh musoh ketika itu dengan menggunakan seluruh alam diri persilatannya. Wallahu`alam.

B. SILAT TEMPUR (MENENTANG MUSOH)

1. PENGGUNAAN SELIGI DAN KERIS PENDEK

Semasa pengembaraan pertama mereka di laut Hang Tuah berlima sahabat telah dikejar oleh tiga buah kapal lanun yang hendak merompak ke Palembang mereka hendak ditawan dan dijadikan budak suruhan. Oleh kerana jumlah lanun ramai Hang Tuah mengambil keputusan bertempur di pulau. Sampai di pulau mereka menyediakan seligi tiga bilah pada seorang untuh menentang musoh yang mengejar mereka:

“Apabila hampir musoh itu ka-hadapan Hang Tuah, maka ditikam oleh Hang Tuah, kena pehanya, lalu terdudok tiada dapat bangkit lagi. Maka ditikam pula oleh Hang Jebat, kena saorang, lalu lari ke perahunya mengambil sumpitan dan seligi…” (ms:21)

“Maka kata Hang Jebat sambil menangkiskan seligi dan anak damak yang seperti hujan datangnya itu dengan seketika pada (dengan seligi-p) tangannya… serta ditikamnya (dengan seligi-p) oleh Hang Tuah dan Hang jebat kelimanya. Maka kena pula lima orang musoh itu, lalu rebah terduduk…” (ms:21)

“Maka Hang Tuah pun menghunus kerisnya (Keris pendek, ukuran kurang daripada 13 inci panjang-p) dan yang keempat itu pun menghunus kerisnya lalu menyerbu diri pada musoh yang dua puloh itu. Maka ditikamnya oleh Hang Tuah, dua orang mati. Maka di-tikam pula oleh Hang Jebat dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, empat orang mati. Maka yang tinggal lagi sa-puloh orang itu lari-lah…” (Ms.21)

ULASAN SILAT

Jika dibayangkan pertempuran Hang Tuah dan empat sahabatnya dari petikan diatas kita melihat ada dua kemahiran persilatan mereka iaitu bagaimana menggunakan seligi yang cukup berkesan dengan menangkis seligi yang dilancarkan oleh musuh dan juga menangkis sumpitan anak damak. Kemudian menggunakan seligi di tangan menikam musoh mereka yang menyerang secara berhadapan dengan lembing seligi. Mereka juga mahir menggunakan keris pendek dengan cara menyerbu dan menikam. Perbuatan menyerbu ertinya menerkam (menyerang) dengan deras (dalam bentuk jurus kencang) sambil menikam musoh dengan tepat. Jelas di sini dalam pertempuran mereka menggunakan jurus-jurus kencang persilatan berkeris dan tiada di sebut sebarang tarian silat diaplikasikan semasa mereka bertempur. Memang bila menggunakan jurus silat, perbuatan tari jika ada pun menjadi berkurangan.

2. PENGGUNAAN KAPAK (AXE-WING)

Selepas peristiwa bertempur dengan lanun di pulau Selat Melaka, Hang Tuah bersama sahabat-sahabatnya telah pergi menambahkan lagi ilmu persilatannya dengan seorang ahli pertapaan Aria Putera di Bukit Panchalusa selama 7 hari 7 malam. Adakah cara ini warisan kepada Silat Melayu yang terkenal hari ini dengan nama SILAT PUKULAN TUJUH HARI? Satakat yang penulis tahu Silat Pukulan Tujuh Hari tingkat awal menitikberatkan puasa putih tiga hari. Pengamalan tidur bertindih nafas. Mengenal gerak nafas dan menerima buah pukulan dan persenjataan dari guru selama tujuh hari iaitu sebiji buah sehari dengan keilmuan kaedah belaan dan serang balik dengan menggunakan kaedah silat bertangan kosong. Pukulan-pukulan yang terkenal ialah pukulan setungan, tukulan buku lima, tumbuk biring, tumbuk pepat, pukulan telapak tukul buku lima, tendasan baji, segerak sepukul, pukulan elakan, pukulan seturut, terjahan dan lompatan. Peringkat dua menggunakan senjata (ada yang menerima sekali gus dengan peringkat satu ada yang mengambilnya dari guru setelah mahir tingkat tangan kosong – dan menerimanya tujuh hari pula untuk tingkatan menggunakan senjata). Pelajaran tingkat senjata menggunakan parang, pedang, senjata keris panjang juga keris pendek (biasanya untuk kaedah tikam, hirisan dan lain-lain rahsia penggunaan keris pendek) .

Pelajaran bersenjata Silat Tujuh hari antaranya seperti berikut;
Hari 1. Serangan bahagian bawah musoh-guna kaedah memarang atau tebas.
Hari 2. Serangan bahagaian pinggang-memarang atau tebas.Belah tengah lurus ke atas.
Hari 3. Serangan bahagian perut hingga sudu hati-dada mengguna teknik tikam.
Hari 4. Serangan daerah kedua rusok kiri-kanan-paras atau parang, tetak,tikam.
Hari 5. Serangan daerah bahu sampai lengan dan tangan tetak, paras, pancong.
Hari 6. Serangan daerah leher, paras, pancong, penggal, tetak dari belakang.
Hari 7. Serangan bahagian muka dan kepala paras, memarang, membelah, menetak

(Silat Pukulan 7 hari Melayu dengar ceritanya banyak versi – lain guru lain caranya. Mana yang asal asli? Wallahu`alam.)

SETELAH balik dari berguru Hang Tuah menghadapi peristiwa orang mengamuk di tengah pesara (Pasar) ramai orang yang luka dan mati dibunohnya. Ketika itu Hang Tuah sedang bekerja membelah kayu api dekat rumahnya dengan kapak.

“…Orang mengamok itu pun datanglah berlari-lari dengan keris terhunus menuju Hang Tuah… datanglah ke hadapan Hang Tuah serta ditikamnya dada Hang Tuah. Maka Hang Tuah pun melompat menyalahkan tikam orang itu, maka salah (tidak mengena-p) tikamnya itu. Maka Hang Tuah pun melompat, maka diparangnya (dibelah-p) kepala orang mengamok itu dengan kapak, kena, belah dua, maka lalu larilah. Maka orang mengamok itu pun rebah lah lalu mati.” (Ms:29)

ULASAN SILAT

Dalam pergelutan silat antara orang mengamok dengan Hang Tuah tersebut mungkin Hang Tuah duduk dengan langkah tari menanti serangan atau berdiri terpacak bersahaja tanpa sebarang langkahan tari. Apabila dadanya ditikam ia mengelak dengan suatu lompatan (mungkin ke kiri atau ke kanan) sambil dengan cepat membelah kepala musohnya. Ini suatu gerakan pantas iaitu semasa aksi buangan atau elakan serangan dibuat serentak dengan melancarkan serangan balik (dikenali dengan istilah satu gerak pada elak dan pukul – ini adalah resam silat Melayu Pukulan 7 hari. Adakah Silat Melayu Pukulan Tujuh Hari kini adalah warisan silat Hang Tuah dari Gurunya Aria Putera? Wallahua`lam.

3. PENGGUNAAN KERIS PENDEK (PENDEK-PENDUA)

Penggunaan keris pendek atau keris pendua dalam kisah pertempuran persilatan Hang Tuah tidak banyak. Lima babak utama sahaja yang ada. Tidak sehebat penggunaan keris panjangnya (Keris Tempa Melaka – keris utamanya). Kalau diselidiki keris Taming Sarinya pun adalah keris pendek (tidak melebihi 13 inci panjang mata keris berpepisaunya). Kaedah penggunaan keris pendek adalah banyak dengan teknik menikam sahaja. Penggunaan keris pendek ini adalah kebanyakan diajar dalam silat-silat Melayu Nusantara hari ini. Tapi adakah sama seperti penggunaannya oleh Laksamana Hang Tuah? Mari kita sama-sama selidiki dan fikirkan.

I. Peristiwa orang mengamok

“Hatta maka orang yang mengamok empat itu pun datang lah dengan keris bertelanjang (Tidak bersarung-p) berlari2, barang yang terlintang di-tikamnya. Demi di dengar oleh orang empat itu (orang mengamok) kata Hang Tuah demikian ia pun terlalu amarah, serta diusirnya akan Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya berturut2. Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ka-kiri dan ka-kanan menyalahkan tikaman orang itu. Satelah lalu, ditikamnya saorang, itu pun rebah lalu mati. maka melompat pula Hang Kasturi dan Hang Lekir dan Hang Lekiu, lalu ditikamnya, rebah pula lalu mati. Maka yang dua orang itu pun bertikam dengan Hang Tuah. Maka keduanya mati ditikam oleh Hang Tuah”. (Ms.30)

ULASAN SILAT

DALAM BABAK ini teknik pertikaman keris Hang Tuah berserta sahabatnya dengan lawan mereka empat orang yang ingin membunoh Datok Bendahara Bentan itu ialah teknik TIKAMAN ini biasa dalam kaedah penggunaan keris pendek. Kaedah utama persilatan ialah ELAKAN dan LOMPATAN. Mengelak dengan lompatan ke kiri atau ke kanan lalu apabila terluang menyerang (menikam) lawan. Ini disebut kaedah dua gerak. Setengah guru berpendapat ini kaedah mengelirukan lawan dan mengintai luang yang baik untuk membinasakan lawan walaupun ada yang berpendapat ia kaedah yang dikira lambat yang boleh memberi ruang kepada lawan untuk menangkis balik serangan. Namun kaedah lompatan adalah popular dalam silat Hang Tuah. Kenyataan ini menolak sesetengah pendapat guru silat yang mengatakan Silat Melayu tiada lompatan atau merbahaya jika bergerak dengan melompat (perkara ini penulis pernah dengar masa kecil kecil dulu – apabila ziarah ke beberapa gelanggang Silat Melayu). Ada juga sesetengah ahli persilatan Melayu berpendapat teknik mengelak juga boleh menyebabkan pergerakan menjadi lembab untuk menyerang balas malah ada sesetengah silat mengatakan jika ia menyerang kalau lawan mengelak pun kena juga (dimakannya juga). Tetapi kalau mengelak dengan suatu lompatan seperti silat Hang Tuah ini lalu serentak itu menyerang balas bagaimana?… Hal ini terbuka untuk dibahaskan lagi.

II. Berkeris pendek (Keris pendua) melawan penjurit mahir bertombak

Gerak lompat dan tikam juga digunakan oleh Hang Tuah dalam pertarungannya di babak-babak tempur persilatannya yang lain. Contohnya:

“Satelah dilepaskannya (Oleh Pateh Gajah Mada) maka penjurit itu pun segera berlari serta ditikamnya dada Hang tuah, dipertubi-tubinya tikam, tetapi Tun Tuah orang tahu bermain senjata pada barang main (pelbagai teknik tempur sebarang senjata-p). Maka Tun Tuah pun Melompat ka-kiri dan ka-kanan menyalahkan tikam penjurit itu. Maka Tun Tuah pun melompat ka-hadapan serta menghunus keris penduanya (keris pendek-p), maka dilompat ka-kanan dan ka-belakang penjurit itu lalu ditikamnya dadanya penjurit itu terus ka-belakang. Maka Tun Tuah pun melompat serta memekis, katanya, `Cheh, mati engkau oleh-ku!` Hatta maka penjurit itu pun rebah tersungkor di-hadapan paseban itu. Maka Tun Tuah pun segera menyarung kerisnya lalu naik menyembah Seri Betara dan Raja Melaka.”

ULASAN SILAT

Dalam babak pertikaman keris pendek ini disebut juga gerak lompatan empat pedahat iaitu lompat kekiri, kekanan, kehadapan dan kebelakang barulah ia menikam. Tikaman yang tepat dengan sekali tikam sahaja. Gerakan melompat yang terkenal dalam kaedah silat Melayu banyak sekali ada yang disebutkan istilah lompat harimau, Lompat singa jantan, lompat tiong, lompat lenting ulat nangka, lompat helang menyambar, lompat garuda, lompat meninggi, lompat menjarak, lompat lenting kedidi, lompat Jalak berpupoh taji (ayam sabungan) dan banyak lagi kaedah lompat dalam silat Melayu. Jikalau begitu Lompat silat teknik apakah yang diguna oleh Hang Tuah dalam pertikaman ini? Kalau ada yang berkata teknik Silat Hang Tuah ini meniru teknik lompat Kungfu Cina atau Shaolin Cina sudah tentulah orang itu jenis dungu dan buta atau cetek dalam kaedah dan sejarah persilatan Melayu asli sebenarnya atau kajian silatnya tidak mencukupi. Pada hal, malah konon ceritanya, perkataan Shaolin pada kungfu Cina itu pun asalnya dari perkataan Silat atau Silek (Minangkabau) dan ianya diperkenalkan oleh Bodhi Dharma dari Palembang yang bersama Silek itu mengembangkan agama Hindu-Budha ke Tanah Besar Cina beribu tahun yang lampau kerana pelat sebutan cakap orang Cina akan perkataan silat atau silek jadilah sebutannya `Shao-lin` dari kata `Si-let` atau` si-lat`. Sebenarnya anak Melayu Nusantara dalam zaman tradisi atau sampai hari ini juga pun semenjak kecilnya umur setahun dua telah diajar dan dimasukkan ke dalam minda mereka perkataan LOMPAT dan pentingnya `Falsafah Perlakuan Lompat` itu. Hal ini jelas terbukti ketika ibu-ibu Melayu menimang dan melambung-lambung keatas anak-anak kecil mereka dari pangkuannya dengan maksud menghibur hati anak dan melatih keyakinan dan keberaniannya dengan satu pantun tradisional Melayu yang mashor dengan maksud pendidikan dan harapan masa depan yang cemerlang untuk anaknya iaitu pantun:

Lompat tinggi tinggi
Sampai ke cucur atap
Belum tumboh gigi
Sudah pandai baca kitab

Maksud `lompat tinggi tinggi sampai ke cucur (tepi) atap rumah` itu ada kaitan dengan falsafah dan fenomena teknik lompatan dalam ilmu persilatan asli Melayu zaman tradisi atau pun juga kepada yang hari ini bagi orang yang faham. Iaitu pentingnya berbagai gaya lompatan tinggi dalam persilatan Melayu. Dalam aspek yang lain maksud suruh lompat tinggi-tinggi itu menggalakkan atau gempakkan semangat juang dan semangat kemajuan dan kecerdikan untuk kecemerlangan masa depan si anak sepertimana istilah moden menyebutnya `membuat lompatan saujana` dalam mengejar kemajuan diri dan Negara. Maka LOMPATAN dalam seni silat Melayu asli sebenarnya ada maksud maknawi apabila melompat ke atas merujuk kepada keadaan mengundur diri dari tahap manusiawi menuju tahap kesatuan memperolehi pengaruh spiritual dan pertolongan iluminasi (suluhan cahaya-pertolongan) dariNya.

Maksud doa dan harapan ibu `belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab` itu ialah mengharapkan anaknya menjadi orang bijaksana tetap sihat, segar, segak, perkasa, cerdas dan cepat besar untuk sempurna belajar, berilmu dan beramal menjadi seorang pendekar terbilang membela agama, berjasa kepada masyarakat, bangsa dan tanah air. Tetapi di zaman moden ini apakah kata-kata asuhan atau didikan ibu semasa menimang anak-anak kesayangan mereka, adakah masih serupa? Atau pun asyik dengan lagu `Ayat ayat cinta`? Aduh, kalau asyik begitu saja mendidik anak, inilah yang amat disukai oleh para seteru dan inilah yang melemahkan dan melalaikan anak Melayu. Awas Melayu!, jangan layu dan keliru… nanti bangsa kamu lenyap dari dunia ini (maksudnya Melayu menjadi bangsa terpinggir dan terhina). Hal beginilah yang dibimbangkan oleh Hang Tuah takut terjadi kepada bangsanya dengan kata-kata mendidiknya itu untuk kesedaran keseluruhan bagi Melayu iaitu dengan kata beliau: `Ta`kan Melayu hilang di dunia` itu. Maksudnya jangan kamu biarkan bangsa kamu, budaya kamu, agama kamu, bahasa kamu, kuasa politik kamu, institusi raja-raja kamu dan ekonomi kamu terpinggir atau dijajah bangsa lain!! Fahamkanlah dan sedarlah baik-baik kita semua wahai MELAYU. Jadi kalau Melayu mahu kuat, dihormati, diikuti, dipatuhi oleh bangsa lain dalam negara ini Melayu mesti SATU saja iaitu satu bangsa, satu agama, satu parti politik satu cita-cita dalam perjuangan untuk kecemerlangan bangsa, agama Islam yang suci, budaya dan negara dan lain-lain. Oleh itu Selagi tidak jadi SATU MELAYU saperti saranan di atas maka Hang Tuah pun kalau dia masih hidup sampai sekarang ini tentulah dia rasa malu terhadap bangsa-bangsa mendatang yang sudah pun menjadi warga negara ini dengan kata-kata beliau itu kerana telan menjadi semacam suatu kebohongan. Cakapnya saja berdegar-degar bangsanya MELAYU TAK PEDULI SETARANG (seterangnya = sungguh-sungguh). Sudahlah beliau dahulu menanggung malu akibat berkelahi dengan sahabat setianya Hang Jebat sehingga terpaksa membunuh sahabat yang disayanginya itu kerana nafsu serakah ular naga pegawai istana Melaka dan sikap egoistik rajanya yang tidak mahu mendengar nasihat dan terburu-buru tanpa selidik usul periksa terlebih dahulu menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah yang akibat balasanNya Melaka Hancur oleh Portugis. Sekarang seolah-olahnya dia (Hang Tuah Baru ini iaitu : Wakil idealisme Melayu murni sejati) akan bertempur pula dengan lawannya dari tiga penjuru iaitu sahabat-sahabatnya sendiri yang menjadi musuhnya iaitu Hang jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir… cuma Hang Lekiu (golongan berdiam diri Melayu) sahaja yang belum hendak memasuki medan laga. Kalau ada empat golongan pahlawan melayu sahabat Hang Tuah ini menentang Hang Tuah seorang maka Habislah Hang Tuah. Keris Taming Sarinya pun akan patah tiada berpower lagi. Rakyat Melayu pun habis huru hara semacam kena AMOK dek Hang Jebat dahulu dan kena serang oleh portugis. Maka Melaka Baru pun tidak akan aman. Kalau ada yang ingin taklukinya pun akan senanglah kerana Melaka Baru sudah menjadi tidak stabil lagi. Melayu yang jadi tonggak kekuatan Negara sudah tidak dituntun oleh pahlawan-pahlawan berkaliber lagi sebab asyik berperang dan berbunuhan sama sendiri.

Wahai para pemuka pemimpin perjuangan Melayu sedarlah DARI PARTI APA pun kamu dan apapun gelaran dipangkal nama-nama kamu atau nama parti perjuangan kamu selagi laungan perjuangan kamu itu mempunyai unsur-unsur budaya hasad dengki, kepentingan diri dan egoisme pada hakikatnya adalah hepokrasi `BERTOPENGKAN` atas nama dan cogan katanya `PARTI…..APA-APALAH` perjuangan kamu tetapi pada realitinya hasrat dalam perjuangan kamu yang utama sebenarnya ialah untuk mengejar kuasa, merebut jawatan dan memenuhkan tembolok-tembolok (kepentingan diri sendiri) kamu sendiri dan membelai serta membesarkan lagi ular naga (nafsu serakah) kamu dan mendapat pangkat darjat mulia duniawiyah serta egoisma diri bagi mendapat sanjungan ramai dan serta ketamakan atau kelahapan terhadap materialisme dan egoisme kamu, maka keikhlasan perjuangan kamu adalah sebenarnya PALSU BELAKA dan tidak mungkin kamu boleh BERSATU menjadi SATU MELAYU akibatnya perjuangan kamu tidak boleh mendapat barokah daripada Allah s.w.t. Sebab nenek moyang kamu yang bijak bistari telah pun lama meninggalkan amanat dan pesan dengan satu simpulan bahasa yang indah lagi benar iaitu `MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT` yang selari dengan ajaran agamamu Islam yang syumul dan suci tapi tidak engkau peduli lagi sebab sifat-sifatmu yang tersebut di atas. Ada pun maksud muafakat menjadi berkat itu ertinya kalau kamu BERSATU DENGAN KERANA ALLAH DAN IKHLAS maka kamu akan jadi gagah perkasa kuat dan berkuasa (politik) kamu, rahmat Allah akan datang menyeluruh atas kamu dan umat Melayu kamu, kamu semua akan dipandang mulia, dihormati, ditakuti dan dituruti kehendak mu yang betul oleh orang (bangsa) lain. Engkau boleh buat apa saja untuk kebaikan agama kamu, bangsa kamu, negara kamu dan agenda agenda kamu yang lain-lain. Kamu tidak akan berani ditentang oleh bangsa lain atau diperkecilkan wibawa kamu oleh mereka asalkan kamu berbuat dengan penuh keikhlasan dan keadilan kerana insaAllah Tuhan akan bersama kamu senantiasa dalam tindak tanduk perjuangan dan tindakan kamu sebagaimana kejayaan yang pernah dicapai zaman Rasulullah s.a.w., zaman sahabat sahabat baginda Sayyidina Abu Bakar as-syiddiq, Sayyidina Omar r.a. dan juga Zaman Sayyidina Omar Abdul Aziz. Justeru kalau tidak demikian kata-kata keramat yang kononnya oleh Hang Tuah itu diketawakan orang `bukan melayu` saja dan Melayu yang bermaruah pun amat malu menyebutnya, tambah lagi kata-kata itu bukanlah kata-kata bijaksana yang selari dengan agama sebagaimana rasionalnya kata-kata simpulan bahasa tersebut. Kalau betul pun kata-kata itu dari Hang Tuah ialah katanya yang merujuk kepada keadaan semasanya sahaja bukanlah satu kata-kata hikmat yang berpepakan malar untuk bangsa Melayu. Kalau begitu Hang Tuah boleh dianggap bapa persilatan Melayu saja tetapi bukan bapa rasionalisme Melayu. Maka bilakah akan lahirnya seorang bapa rasionalisme Melayu yang ulong yang boleh menyatukan Melayu yang sedang berpecah tiga sekarang dan betul-betul ikhlas memperjuangkan idelisme patriotik bangsa Melayu yang benar-benar berpaksikan keluhuran nilai nilai Islam sejati yang suci murni? Wallahualam. [kesinambungan bicara ini baca tajuk: `Konsep Nasionalisme Melayu Sejati` dalam web ini seterusnya]

Berbalik kita kepada hal persilatan Hang Tuah. Sudah Jelaslah dis ini bahawa Hang Tuah tidak kempunan untuk meniru mainan seni beladiri asing baik Kungfu atau kuntau Cina atau Jepun atau Siam atau Korea mahu pun India dan lain-lain lagi untuk menjadi pendekar agong Melayu sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak itu. Oleh itu, Silat Melayu Asli hari ini sudah pun cukup lengkap dengan semua kaedahnya baik bertangan kosong atau bersenjata dan tetap akan memelihara keasliannya yang memang cukup berkesan dan canggih dari zaman Laksamana Hang Tuah atau sebelumnya lagi hingga ke hari ini. Silat Melayu Asli tidak memerlukan bunga tari dan gerak jurus yang sangat kencang pantas dan ligat kelihatan seperti `Gerakan Jurus saperti gerakan gila dan mabuk` atau `gerakan jurus dan tarian yang kusut masai` kononnya terlalulah tangkasnya. Sebenarnya itu hanyalah gimik kehebatan yang membuang-buang masa dan tenaga saja. Silat Melayu Asli dalam jurus dan tari seninya perlukan ketenangan dan kewarasan serta ketajaman penglihatan, firasat dan kebijaksanaan berfikir namun ia bergerak dengan cepat, pantas dan kencang serta hebat hanya apabila bertindak dalam serangan dan belaan ketika bergelut berlawan sahaja, sebagaimana contoh Silat Dato` Laksamana Hang Tuah yang diperkatakan dalam rencana ini.

III. PERTIKAMAN KERIS DENGAN TAMING SARI.

Babak setelah Taming Sari memberikan kerisnya kepada Hang Tuah (dengan tipu helah Hang Tuah);

“Maka Tun Tuah pun tersangkut pada birai peseban itu lalu tertelut (terduduk berlutut). Maka segera ditikam-nya oleh Tameng Sari. Maka oleh Tun Tuah di-elaknya sambil bertelut menyalahkan tikam Tameng Sari itu, maka kena papan khambi dinding paseban itu…”. (Ms.136)

“…Maka Tun Tuah pun melompat ka-kanan ka-kiri menyalahkan tikam Tameng sari itu, seperti tiada berjejak di-bumi lakunya. Maka Tameng Sari pun lelah ternganga2 seperti anjing lelah. Maka Tun tuah pun melompat serta di-tikam-nya dada Tameng sari, serta kata-nya, `Cheh, mati penjurit Tameng Sari oleh-ku!`. Maka di-tikam-nya, kena dada-nya berbayang2 ka-belakang-nya. Maka Tameng Sari pun rebah tersungkor, lalu mati.” (Ms:136) .

ULASAN SILAT

Dalam babak persilatan berlawan dengan Taming Sari ini ada teknik bertelut sambil mengelak tikaman. Kaedah bertelut ini tentulah dengan keadaan duduk berkekuda kaki sebelah (duduk menggunakan satu lutut sebagai paksi) maka pergerakan mengelak dan menepis atau menangkap – mengunci masih boleh dilakukan dalam teknik persilatan. Ini keistemewaan Silat melayu asli. Hang Tuah selalunya mengintai luang yang baik untuk menyerang lawan ia banyak mengambil sikap tenang ketika menghadapi lawan. Serangannya jarang hampa atau tidak mengena dengan tepat pada titik bahaya yang dikehendakinya pada tubuh lawan apabila ia menyerang. Karektornya hebat bersama ilmu dan firasat. Ia bertindak melompat kencang menikam dada Tameng Sari ketika penjurit itu telah letih tidak bermaya lagi.

IV. MENIKAM PENJURIT KERTALA SARI

“Maka Kertala Sari pun berjalanlah ka-tengah pasar itu. Maka tertendang kaki-nya pada tuboh Laksamana. Maka Kertala Sari pun berdiri-lah atas (sebelah pehak atas) kepala Laksamana itu, kata-nya, `Tertirek bangkai pula aki ini!` Ada pun akan Laksamana tidor itu keris-nya sudah terhunus, lalu ia bangun melompat menikam dada Kartala Sari terus kebelakang-nya.” (ms.336)

ULASAN SILAT

Dalam babak ini menunjukan satu gerakan pantas silat Hang Tuah dari keadaan tidur iaitu tuboh terbaring atas tanah, bangun terus melompat menikam dada musoh dengan tepat dan tidak sempat dielak oleh lawannya. Adakah kecepatan tindakan sabegini pada pesilat pesilat Melayu hari ini?. Ada pun bangun dan melompat di sini bukanlah dengan gaya gimnastik yang banyak diaplikasikan dalam seni beladiri asing dunia hari ini termasuklah juga ditiru oleh setengah-setengah perguruan Silat Melayu Campuran di Nusantara ini. Maka ini bukan teknik Silat Hang Tuah iaitu melompat seperti lompatan jimnastik kerana ia tidak berfungsi dengan pantas dalam serangan terhadap lawan. Kalau tidak begitu ia lompatan apakah namanya lompatan Hang Tuah itu dalam istilah silat Melayu?

V. PERTIKAMAN DENGAN HANG JEBAT

Babak pertikaman keris pandak yang paling Hebat dalam sejarah pertikaman keris. Hang Tuah Menggunakan Keris Parong Sari dan Hang Jebat mulanya menggunakan Keris Taming Sari kurnia raja Melaka sebagai menggantikan tempat Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka kerana Hang Tuah telah terfitnah dan disuruh hukum bunuh oleh Sultan Melaka. Tetapi beliau tidak dibunuh oleh Bendahara Paduka Raja, cuma disembunyikan di hulu Melaka dan berguru pula dengan seorang Syeikh dan ulama Islam bernama `Syeikh Mansur’ di hulu Malaka.

PERSEDIAAN HEBAT HANG TUAH

“Maka Laksamana pun meniarap pada kaki raja, seraya memakai di hadapan raja: pertama dipakainya serual (Seluar Pendekar-p) beledu hijau sampai kelutut-nya, sudah itu maka berkain hijau (selempang-p) di-gansi (diukup wangian serta doa-p) yang bertepi emas di-pahat bersirat, di-ragam dan ikat pinggang khatifah (jenis berbulu domba) tujoh belit bersurat ayat Quran (sebagai azimat perang-p) dan berbaju kesumba murup bersurat do`a besar2 (Sebagai azimat perang-p) dan memakai keris Parong sari itu. Maka mastul (kain ikat kepala dipakai mengambil barokah pesanan gurunya Syeikh Mansur-P) pemberian Syeikh Mansur itu di-pakai-nya…” (ms.313)

ULASAN

Persediaan hebat ini kerana secara ma`anawinya hendak diberi tahu oleh pangarang bahawa Hang Jebat itu juga pahlawan hebat sama seguru ilmu persilatan dengan Hang Tuah, lebih-lebih lagi Keris Taming Sari yang sakti itu ada di tangan Hang Jebat. Satu lagi pengajarannya dari peristiwa ini ialah:
Bahawa ikhtiar usahakan sesuatu hajat itu biar bersungguh-sungguh dengan segala persediaan yang sepatutnya supaya Berjaya.

TEKS PERTARUNGAN:

I. “Maka kata Hang Jebat, `Silakanlah orang kaya, hamba beri jalan.` Maka kata Laksamana, `Baik-lah’, serta ia melompat ka-atas tapakan tangga (istana) itu. Maka baharu hendak melompat kaki-nya sa-belah ka-dalam pintu, maka di-tikamnya akan Laksamana. Maka di-lepaskan-nya (dielak atau ditepis-p) tikam Hang Jebat itu salah, (tidak mengenai dirinya-p) maka di-pertubi2-nya tikam oleh Hang Jebat. Maka Laksamana pun terjun ka-tanah pula.” (ms.316)

II. “Maka Laksamana pun melompat naik ka-atas anak tangga. Maka kata Laksamana, `Hai Si- jebat undor-lah beri aku berjalan, `Maka Hang Jebat pun undor dari pintu itu sekira2 sempat melompat menikam, di-sanalah ia menantikan Laksamana, maka Laksamana pun melangkah naik sakali lagi. Ia melompat lalu ka-atas anak tangga yang di-atas. Maka Laksamana pun terdiri dudok di-atas ibu tangga itu, maka Hang Jebat pun melompat, maka di-tikam-nya dada Laksamana. Maka di-salah-nya (dielak dan tepis) sadikit tikam Hang Jebat, maka Laksamana pun melompat masok ka-dalam pintu istana itu lima depa jauh-nya daripada pintu itu.” (Ms.316)

III. “Maka Hang Jebat pun berbangkit lalu di-tikam-nya akan Laksamana, Laksamana pun tiada sempat berdiri lalu berguling2 di-atas talam itu. Maka di-tikam oleh Hang Jebat di-pertubi2-nya. Maka Laksamana pun menghunus keris-nya sambil berguling, seperti jentera ia menyalahkan tikam Hang Jebat itu. Maka oleh Hang Jebat di-pertubi2-nya tikam berturut2, tiada juga kena. Maka Hang Jebat pun amarah, maka di-tikam-nya dengan sunggoh2 hati-nya, maka tersalah daripada Laksamana kena talam itu, lekat keris-nya. Maka di-sentakkan-nya keris itu tiada tercabut. Maka Laksamana pun berbangkit bangun berdiri seraya melela (bertingkah-beraksi silat pencak-p) di-hadapan Hang Jebat itu tertitar2 (bergerak cepat sambil mendekat dengan gerakan pencak-p), seraya berkata, `Cheh, Si-Jebat! Mati engkau oleh-ku.` Maka Hang Jebat pun amarah seperti api menyala2. Maka di-tendang-nya talam itu serta di-sentak-nya keris, keris itu pun tercabut-lah. Maka oleh Hang Jebat di-tikam-nya akan Laksamana, Laksamana pun melompat ka-kiri dan ka-kanan menyalahkan tikam Hang Jebat itu. Maka kata Hang Jebat, serta di-tikam-nya akan Laksamana, kata-nya, `Cheh, Laksamana! Jangan engkau undor. Berdiri-lah engkau.` Maka kata Laksamana, `Hai Si-Jebat, bukan aku lari membuang belakang. Mana kehendak–mu tikam-lah.` Maka Hang Jebat pun sa-bagai (berbagai cara-p) menikam, tiada juga kena, saperti tikam bayang2 laku-nya…” (Ms.318)

IV. “Maka oleh Hang jebat maka di-pertubi2-nya tikam, kerana (tidak terkena-p) pada tuboh Laksamana, kena talam terus tiada bertahan (tembus-p). Maka Hang Jebat pun lelah, tetapi sungguh pun Laksamana berguling mata keris-nya ka-atas juga. Shahadan keris Hang jebat lekat pada talam itu. (Ketika ini Keris Parung Sari diguna pakai oleh Hang jebat yang dilontar berikan oleh Hang Tuah kerana Keris Taming Sari telah disambar oleh Hang Tuah ketika Hang Jebat terlalai seketika-p) Laksamana pun segera berbangkit berdiri, serta kata-nya, `Cheh, mati engkau oleh-ku!` Maka Laksamana pun melompat serta di-tikam-nya dada Hang Jebat, kena dada-nya terus bayang2 ka-belakang-nya.” (Ms.322)

ULASAN TEKNIK PERSILATAN

Dalam petikan teks I, Ada gerak lompatan meninggi digunakan dalam persilatan Hang Tuah untuk naik ke atas tapakan tangga istana dan seterusnya melompat masuk ke dalam istana melalui pintu besar ia diterpa dan ditikam oleh Hang Jebat untuk menyalahkan tikaman itu. Hang Tuah menggunakan teknik elakan-sendeng beberapa kali lalu terjun ke tanah semula.

Dalam petikan teks II, Apabila ditikam Hang Jebat semasa Hang Tuah melompat duduk di atas ibu tangga beliau menggunakan teknik elakan dan tepisan lalu menggunakan lompatan jauh jarak lentingannya sejauh lima depa. Calang-calang ilmu silat dan pendekar memang tidak boleh membuat lompatan sejauh itu. Ini barangkali Hang Tuah menggunakan ilmu apongan ya`ni ilmu meringankan tubuh. Ilmu apongan tubuh memang ada dalam ilmu persilatan Melayu Pukulan Tujuh Hari peringkat tinggi yang memerlukan dalam peramalan berwirid doanya selama 7 malam itu dengan berpuasa mutih selama tujuh hari. Cara bepuasanya mengikut kata yang empunya ilmu ialah pada hari pertama berbuka puasa hanya dengan tujuh kepal nasi putih dan air putih, hari kedua berbuka dengan enam kepal nasi, demikianlah hingga hari ke tujuh berbuka dengan 1 kepal nasi putih sahaja dan air putih.

Dalam petikan teks III, Apabila tidak sempat berdiri kerana kencangnya datang tikaman musoh teknik yang terbaik, memanglah merebahkan diri dan teknik mengelak tikaman lurus semasa diri di lantai ialah elakan cepat – guling seperti yang digunakan oleh Hang Tuah itu adalah juga teknik silat berkeris Melayu. Gerak melela ialah satu ragam seni tari pencak dalam seni silat kependekaran Melayu asli digunakan oleh Hang Tuah untuk mara mengintai peluang untuk menyerang atau tertitar-titar (gerak cepat) bagi menyerang lawan. Dalam adat pendekar silat Melayu selagi seseorang itu tidak berpaling belakang kepada musoh walaupun ia menggunakan langkah undur bererti ia masih berwaspada menanti terkaman lawan, bukan takut yang mahu melarikan diri. Langkah undur memang ada dalam teknik Silat Melayu Asli bagi mengintai ruang untuk menyerang balas.

Dalam petikan teks IV, Teknik berguling mengelak tikaman lawan semasa tubuh di atas lantai atau atas tanah tetapi mata keris tetap di halakan ke atas digunakan oleh Hang Tuah dalam gerak silatnya mempunyai tiga sebab utama. Pertama boleh menghalang terkaman lawan dengan sawenang-wenangnya. Kedua, supaya keris tidak tertikam diri sendiri. Ketiga supaya cepat dapat bertindak dari keadaan apabila berpeluang menikam musuh.

4. SENJATA TOMBAK (SPEAR, LANCE)

DALAM hal bersilat dengan menggunakan tombak (lebih kecil batang ulunya daripada lembing) pengarang Hikayat Hang Tuah tidak memberi gambaran jelas mengenai kaedah atau teknik pergerakannya. Hanya diberi gambaran bahawa Hang Tuah memang seorang pendekar yang amat handal bersilat menggunakan tombak. Perhatikan petikan berikut;

“…Sa-telah baginda mendengar sembah Raden Wira Nantaja itu maka titah baginda, ‘Suroh-lah palu bunyi2an cara Jawa, kita melihat orang saudara kita bermain.` Maka di-palu orang-lah bunyi2an chara Jawa itu terlalu ramai. Maka Pateh Kerma Wijaya mendengar bunyi2an itu maka ia pun mengambil tombak lalu turun bermain (bersilat) tombak, lakunya seperti tidak berjijak di-bumi. Maka Pateh Kerma Wijaya pun minta lawan (main tombak sacara pesahabatan-p). Maka Tun Tuah pun menyembah raja kedua itu (Raja Melaka dan Raden Wira Nantaja-Jawa) mengambil tombak turun berhadapan dengan Pateh Kerma Wijaya bertombak2kan (berlawan secara persahabatan-p) terlalu ramai, di-lihat oleh Raden Wira Nantaja laku Hang Tuah bermain tombak itu saperti laku penggawa (hulubalang-laskar bertombak-p) yang pertikaman (handal atau mahir bertikam tombak-p). Maka di-lihat oleh raja dan segala orang banyak itu tewas juga Pateh Kerma Wijaya oleh Hang Tuah. Maka pateh pun meletakkan tombak-nya. Maka Hang Tuah pun sudah-lah bermain itu lalu dudok menyembah.”

5. BERPEDANG (SWORDMAN)

Bilakah Hang Tuah dan sahabat sahabatnya belajar bersilat pedang? Adakah dengan bapa-bapa mereka sebagai asas atau dengan gurunya Aria Putera atau pun dengan Sang Persanta Nala?. Kemungkinan dengan bapa-bapa mereka sebagai asas bersilat menggunakan semua senjata Melayu tradisi adalah munasabah. Kemudian ditambah lagi petua-petua silat dan ilmu-ilmu sakti atau kebatinan oleh guru-guru mereka itu, sebab Hang Tuah dan rakan-rakannya berguru dengan Sang Persanta Nala di Gunong Wiranapura semasa di Majapahit hanyalah empat hari empat malam sahaja (Apakah belajar menggunakan senjata empat hari empat malam boleh menjadi bagitu mahir semua permainan senjata? Tentu tidak – kecuali sudah sedia ada ilmu dan kemahiran sebelumnya). Kebarangkalian ini boleh jadi ada kebenarannya sebab boleh dikatakan semua orang-orang Melayu terhormat zaman tradisi mempelajari silat semenjak remajanya lagi dengan diajar oleh ibu bapa mereka. Ini adalah suatu budaya bangsa Melayu tradisional di mana ilmu silat biasanya diperturunkan kepada anak-anak kecil dan anak remaja mereka. Hal ini dapat diperkuatkan dengan hujah adanya dialog antara bapa Hang Tuah iaitu Hang Mahmud dengan Datok Bendahara Seri Paduka Raja seperti berikut;

“…Kata Bendahara, `Mana-kah bapa-nya budak2 empat orang ini?` Maka sembah Hang Mahmud, `Ada, tuanku, di-perhamba itu keempatnya.` Maka segera di-suroh panggil, keempat-nya pun datang mengadap Bendahara. Demi melihat orang empat itu, maka kata Bendahara, `Wah, ku-sangka orang mana2 gerang empunya anak ini, tidak ku-tahu anak kak Dollah (Bapa Hang Jebat-p) dan kak Mesamut (Bapa Hang Kasturi-p) dan Hang Mansor (Bapa Hang Lekir-p) dan Hang Shamsu (Bapa Hang Lekiu) ada anak. Jika aku tahu akan tuan2 itu ada anak laki2, sa-lama-nya sudah ku-ambil ku-jadikan biduanda (pengawal dalaman), kerana tuan2 ini pun berasal (keturunan orang terhormat-handalan) juga.” (Ms:31)

KESIMPULAN DARI SOROTAN SILAT LAKSAMANA HANG TUAH.

Dengan penerangan dan bahasan di atas Silat Laksamana Hang Tuah bolehlah menjadi sebagai induk untuk membuat perbandingan kepada berbagai seni silat Melayu yang asli yang lain pada hari ini. Terutama Silat yang memakai senjata-senjata yang pernah digunakan oleh Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat, Hang kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu iaitu saperti badik, parang, kapak, keris pendek lok 3, lok 5, lok7, lok 9, lok 11, lok 13. Dan keris panjang Lok 13, lok 15, lok 17, lok 21 atau keris-keris bermata lurus, keris sundang dan lain-lain jenis keris, Pedang, seligi-tembong, lembing dan tombak (ilmu persilatans lembing tombak Melayu mungkin diperturunkan oleh Hang Tuah kepada anakandanya Tun Biajid kemudian diturunkan pula dari generasi hingga ke hari ini. Sila lihat dalam buku Sejarah Melayu mengenai peristiwa Tun Biajid dan tombaknya dengan Sultan Mahmud Melaka.

Teknik yang paling popular dalam gerak silat tempur Hang Tuah ialah melompat sambil menyerang atau sebelum menyerang balas atau lompatan untuk menyalahkan serangan lawan. Lompatan dengan berbagai gaya mengikut situasi pertarungan atau pergelutan dan tempat. Teknik keris pendek banyak digunakan untuk menikam sahaja tetapi penggunaan keris panjang selain dengan cara menikam, yang popularnya apabila menggunakan keris panjang tempa Melakanya ataupun apabila menggunakan pedang ialah dengan kaedah memarang atau pun tebasan, memancung-membelah, memenggal bahagian-bahagian tubuh lawan, ataupun memusnahkan terlebih dahulu bahagian-bahagian bahagian penggerakan senjata lawan iaitu tangan dan bahu atau merosakkan terlebih dahulu bahagian pancaindera musuh seperti mata dan telinga, mulut dan lain lain.

Paling jelas membezakan antara Silat Hang Tuah yang asli dengan silat silat asli Melayu-Nusantara yang lain ialah Silat Laksamana Hang Tuah tidak menggunakan prinsip teknik dan gaya yang mengambil sebarang ilham dari gerakan benda-benda alam semula jadi seperti kebanyakan silat asli Nusantara yang lain samaada dalam prinsip gaya bunga tari tangan kosongnya atau jurus tempur silatnya dengan teknik yang ditiru atau diilhamkan oleh gerakan haiwan seperti harimau, monyet, ular tedung, ular berang, ular naga, kucing, helang laut, helang buana, garoda, burong rajawali, bangau, merpati, ponggok, kura-kura, penyu dan berbagai-bagai lagi. Tetapi dalam semua situasi pertarungan silat, Hang Tuah menggunakan kecekapan dan kepantasan GERAK SEMULA JADI DIRINYA yang selesa, yang sesuai dengan situasi dan tempat pertarungan serta munasabah dengan teknik yang tidak menyusahkan diri (tidak melawan fitrah gerak asal manusiawi).

Pendek kata, gerak persilatan Hang Tuah baik dalam tarian seninya (bertangan kosong) dan gerak jurus silat pertarungannya adalah mengikut Gerak Sejati Manusia itu sendiri sabagai makhluk paling istemewa dijadikan Tuhan semesta alam. Dalam gerak sejati semula jadi manusia itu tentulah kedudukannya lurus ada, kedudukan berkuda kuda ada, kedudukan sendeng pun ada, seturut ada, sumbang seturut ada, berpusing ke kiri ke kanan ada, melompat ke depan ke belakang ada, lompat ke kiri ke kanan ada, melompat ke atas ada, melompat turun pun ada, merendah atau merebahkan tubuh pun ada, berguling tubuh pun ada, guling kiri guling kanan, guling hadapan ada, hingga dalam bertenggong atau terlentang pun ada, malah berdiri lurus terpacak pun sangat praktikal kepadanya untuk menanti serangan lawan dan berbagai gerakan semula jadi manusia lagi yang mungkin lebih bagus daripada meniru sebarang gaya gerakan haiwan dan benda-benda alam yang lain yang menjadi falsafah teknik dalam seni beladiri dunia lain atau dalam pencak silat atau seni silat asli Melayu-Nusantara yang lain. Hal ini sangat berkesan jika betul-betul cekap seperti contoh persilatan Laksamana Hang Tuah dan sahabat-sahabat beliau yang segurunya itu. Beliau menggunakan firasat, pemikiran yang waras dan kebijaksanaan minda serta hikmah di dalam batin dalam menghadapi pelbagai suasana dan peristiwa atau pun cabaran di samping ilmu kebatinan yang pelajari dari guru-gurunya yang sakti pada zamannya. Semangat juangnya tidak diaplikasikan dari semangat benda-benda alam saperti ular atau naga, burung helang atau garuda, harimau atau singa, kucing, serigala atau kala jeking atau pun petir, pusaran air dan banyak lagi, Tetapi beliau mengaplikasikan semangat keimanan, bertawakkal dan bertauhid bergantung secara langsung kepada Allah s.w.t.yang menguasai segala takdir dan gerak diam, hidup atau mati segala makhluk semesta alam ini. Barangkali inilah hasil pengajaran ilmu hakikat tauhid dan tasawuf dipelajari dari guru terakhirnya iaitu Sheikh Mansur seorang guru agama yang alimbillah di hulu Melaka, sebab kata-kata Hang Tuah memang ada yang menyamai pegangan ahlul hakikat dan tasauf terhadap Firman Allah s.w.t. iaitu;

Falam taqtuluuhum walaa kina`Llaha qatalahum wa maa ramayta idhz ramayta wa laa kina`Llaha ramaa.
(Al-Quran, 8:17)

Ertinya: “Tiadalah (kamu) yang membunuh mereka itu. Bermula: akan tetapi Allah Taala jua yang membunuh mereka itu. Bermula: tiada engkau yang memanah (ya Muhammad), (apabila engkau memanah) tetapi Allah Taala jua yang memanah.”

Ayat Al-Qur’an ini sesuai sekali dengan jawapan Hang Tuah terhadap pertanyaan Hang Jebat kepada beliau dalam dialog ini;

`Maka kata Hang Jebat, `Hai Laksamana, apa peri mu (`manakan dapat’ – sebab semasa berdailog itu keris Tameng Sari masih ada di tangan Hang Jebat yang dipercayai boleh menjadi sebagai pelindong kepadanya-p) akan membunoh aku?` Maka Laksamana pun berkata, `Hai Si-Jebat, bahawa tiada dengan kuasa-ku membunoh engkau, bahawa Tuhan-ku yang amat kuasa membunoh engkau. Insha Allah Ta`ala, mati juga engkau dalam tangan-ku.` (ms:319)

Pendek kata dalam setiap waktu semasa pertarungan persilatan hebat Hang Tuah dengan lawannya prinsip pakaian batinnya (semangat) yang hakiki ialah `Tidak ada takdir selain takdir Allah dan tidak ada zikir (ingatan) melainkan zikir kepada Allah s.w.t.’ seperti mana petikan dailognya dengan Hang Jebat tersebut itu, Petikan;

“Maka Laksamana pun melompat undor menyalahkan tikam Hang Jebat itu saperti tiada berjejak rupa-nya. Maka Hang Jebat pun terlalu lelah terdiri di-atas talam itu menantikan Laksamana datang. Maka Laksamana pun terdiri (berdiri lurus – termasuk teknik silat Hang Tuah dalam situasi tertentu-p) pada suatu tempat menantikan pertandaan alamat (gerak takdir-Maarifat wahdatul af’aal-p) Si-Jebat itu.” (ms:321)

Dalam gerak silat tempurnya ia tidak banyak menggunakan gerak bunga tari yang melelahkan semasa atau ketika menghadapi lawannya tetapi amat pantas dan kencang apabila mengelak atau menyalahkan serangan lawan dan juga semasa melancar serangan balas mengikut keselesaan gerak semula jadi manusia dirinya sendiri maka gerak jurusnya semasa bertarung itulah seninya yang terzahir dengan sendirinya (sejati). Maka seni yang zahir itu bukan lemah lembut tapi deras, pantas, ligat dan keras serta Iasak. Tetapi jika berjarak dengan musuh ia tenang, kukuh kedudukan walau dalam kedudukan yang macam-mana pun mengikut keserasian dan keselesaan badan manusiawiahnya. Ia tidak menggelabah tetapi yakin serta hatinya kuat bergantung tauhid kepada Tuhan dan mengharapkan barokah pengajaran gurunya semasa menghadapi peristiwa genting itu dan selalu awas diri baik dalam masa tidur dan jaganya saperti petikan berikut;

“Maka sang Kertaksa masok-lah ka-dalam rumah Laksamana lalu ka-tempat tidor Laksamana. Maka di-lihat-nya kelakuan Laksamana tidor itu naga kepulir (tidur bertindih nafas kanan-lambong kanan. Manakala keris panjang diselit di rusuk kiri dan keris penduanya (keris pandaknya) diselit di rusok kanannya-kedudukan kedua tangan bersilang (gunanya senang untuk membuat tangkisan mengejut jika datang serangan semasa dalam berbaringan tidurnya itu-p). Maka dalam hatinya: `Sunggoh-lah Laksamana ini hulubalang besar lagi penjurit kepetangan (Kepentangan: erti banyak ilmu dan kemahiran kependekaran -p) dan terlalu berani, tidor-nya pun terlalu ingat (berjaga jaga-p).” (ms 250)

Beliaulah Pendekar agong dan pahlawan Melayu Sejati yang paling ulong dalam sejarah kesatriaan bangsa Melayu Nusantara iaitu selepas runtuhnya kerajaan Agong Melayu Empayer Serivijaya yang berpusat di Palembang Sumatera. Wallahu`alam.

Sumber dipetik daripada:
http://tenteraberkuda.blogspot.com/2012/09/hang-tuah-bapa-seni-silat-melayu-sejati.html

Antara pautan lain:
http://warisansunankalijaga.blogspot.com/2011/01/hang-tuah-bapa-seni-silat-melayu-%20sejati.html