“RELEVANKAH SULALATUS SALATIN
DINILAI BERDASARKAN CIRI PENSEJARAHAN MODEN. BINCANGKAN.”
1.0 PENDAHULUAN:
Kajian kali ini adalah berkaitan
dengan teks Salalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Saya
akan mendiskusikan teks ini dalam kadar yang serelevan mungkin. Bagi mencapai
maksud itu, saya akan membuat penilaian dan kajian terhadap teks ini
berdasarkan pelbagai aspek. Aspek yang akan ditekankan dalam kajian teks ini
adalah berkaitan dengan penggunaan pandangan dan kaedah pensejarahan barat
terhadap teks Salalatus Salatin ini. Persoalannya kini, layakkah karya
pensejarahan tradisional umumnya dan Salalatus Salatin khususnya dinilai dan
dikaji dengan mengaplikasikan teori-teori dan kaedah-kaedah yang dikemukakan
oleh para sarjana barat. Oleh yang demikian, kajian ini akan mengupas perihal
ini dengan lebih lanjut untuk mencapai solusi yang bernas dalam menjawab
persaolan ini.
2.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN MODEN:
Penggunaan konsep pensejarahan
yang lebih saintifik dilihat bermula hasil daripada cetusan idea yang
dicanang-canangkan oleh Bapa Pensejarahan Moden iaitu Leopold von Ranke pada
abad ke-19.[1] Konsep yang agak sinonim dengan diri beliau dalam dunia
pensejarahan ialah konsep yang berbunyi “Saya hanyalah berhajat semata-mata
untuk memperlihatkan bagaimana keadaannya yang sebenar” (wie es eigentlich
gewesen).[2] Menurut Profesor Leonard Krieger, Ranke merupakan seorang yang
memulakan sains tentang sejarah yang berdasarkan kajian yang lebih kritikal
terhadap sumber-sumber. Beliau juga telah memperkenalkan beberapa lagi konsep
pengkajian sejarah. Antaranya ialah konsep “Historicism” dan
“Quellinkritik”.[3]
Selain itu, sejarah yang
dikatakan sebagai suatu displin ilmu yang ilmiah menurut pandangan
R.G.Collingwood haruslah mempunyai empat ciri. Pertama, sejarah yang bersifat
ilmiah ialah sejarah yang bersifat saintifik iaitu bermula dengan mengemukakan
pelbagai persoalan. Persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh ahli sejarah
adalah bertujuan mencari jawapan terhadap setiap perkara yang dikaji oleh
mereka. Kedua, sejarah juga perlulah merupakan suatu bidang tentang kemanusiaan
iaitu mengemukakan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada
waktu-waktu tertentu pada masa lalu. Ketiga, sejarah perlulah merupakan suatu
bidang kajian yang rasional dan memerlukan bukti-bukti tertentu dalam
penyelidikannya. Akhirnya, sejarah juga perlulah bersifat menjelaskan diri
iaitu dapat memberi pengetauhan dan penerangan tentang sesuatu perkara yang
telah berlaku dan mungkin berlaku.
Selanjutnya, sejarah sebagai sains juga
memperlu mempunyai empat ciri yang tertentu iaitu berdasarkan penyelidikan,
menunjukkan kebenaran, membantu dalam membuat ramalan dan perlu bersifat
objektif.[4]Selain itu juga, isu pengadilan moral juga ditekankan dalam bidang
pensejarahan moden. Menurut Kasim Ahmad, pengadilan moral ialah perlakuan
menjatuhkan hukuman, ataupun mengenakan penilaian tertentu kepada peristiwa
sejarah atau kepada seorang pelaku dalam sejarah.[5] Semua teori dan kaedah ini
diaplikasikan dalam bidang pensejarahan bertujuan memastikan sejarah yang
ditulis itu benar-benar objektif dan berdasarkan konsep saintifik. Perkara
inilah yang mencetuskan sedikit permasalahan dalam mengkaji karya pensejarahan
tradisional di negara ini. Hal ini kerana, kebanyakan isi kandungan yang
tersurat dalam teks-teks ini sememangnya mempunyai percanggahan yang agak lebar
umpama “langit dan bumi”. Justeru itu, timbullah persoalan iaitu adakah layak
karya-karya pensejarahan tradisional Melayu dinilai dan dikaji berdasarkan
teori-teori dan kaedah-kaedah ini.
3.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN TRADISIONAL:
Terdapat beberapa ciri khusus
dalam karya pensejarahan tradisional. Kebanyakan ciri yang terkandung dalam
karya pensejarahan tradisional kelihatannya begitu bertentangan dengan
ciri-ciri pensejarahan moden. Menurut Ismail Hussein, pensejarahan tradisional
ialah sejarah atau historiografi yang berdasarkan dakyah politik untuk
diperturunkan kepada generasi akan datang dan mengandungi unsur-unsur
kesusasteraan. Unsur-unsur sasteranya dilihat dalam bentuk puisi, syair, mitos,
lagenda dan sebagainya.[6] Selain itu, pensejarahan tradisonal juga dipengaruhi
oleh unsur penaungan iaitu kebanyakan penulisnya menulis dalam keadaan yang
tidak bebas kerana dikongkong oleh kuasa pemerintah. Ciri lain pula ialah
terdapatnya unsur anakronistik iaitu kesilapan atau percanggahan untuk
menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[7]
Seterusnya, unsur mitos, lagenda, dongeng merupakan unsur yang kerapkali
mewarnai karya-karya pensejarahan tradisional yang akhirnya menyebabkan
karya-karya ini dihurungi pelbagai konterversi jika dilihat berdasarkan konsep
pensejarahan moden.
4.0 KELEMAHAN SULALATUS SALATIN UNTUK BERDIRI SEBAGAI SUMBER SEJARAH:
Antara faktor yang menyukarkan
karya Salalatus Salatin untuk berdiri sebagai sumber sejarah ialah kerana karya
ini tidak mempunyai ciri-ciri sebuah hasil penulisan yang bercorak sejarah.
Menurut R.G. Collingwood, sebuah hasil penulisan sejarah perlu merangkumi empat
ciri iaitu bersifat saintifik, bersifat kemanusiaan atau mengemukakan
perkara-perkara yang tertentu pada masa yang lalu, bersifat rasional dengan
berdasarkan kepada bukti yang sahih dan perlu bersifat menjelaskan diri.[8]
Kaedah penulisannya yang
dikatakan tidak rasional adalah disebabkan pengarangnya mengaplikasikan
pelbagai unsur magis yang bercorak mitos, dongeng dan lagenda dalam karyanya.
Hal ini berlaku kerana pengarangnya menulis bukan atas maksud untuk
menghasilkan karya yang bersifat ilmiah bahkan hanya untuk menyukakan kuasa
sang pemerintah. Hal ini dapat difahami berdasarkan petikan ini:
“Setelah
fakir allazi murakabun ‘ala jahili (mendengar titah yang Maha Mulia itu), maka
fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia, syahdan memohonkan taufik
ke hadrat Allah, Tuhan sani’il alam, dan minta huruf kepada Nabi sayyidil-anam,
dan minta ampun kepada sahabat yang akram; maka fakir karanglah hikayat ini,
kama sami’tuhu min jaadi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda.
Maka fakir namai hikayat ini “Sulalatus Salatin”, yakni pertuturan segala
raja-raja, hazihi durratul-akhbar wal-amsal, inilah mutiara segala ceritera dan
cahaya segala peri umpamanya. Maka barang siapa membaca dia, jangan dibicarakan
dengan sempurna bicara….”[9]
Berdasarkan wacana ini, “sudah
terang lagi bersuluh” bahawa motif utama penulisan Tun Seri Lanang adalah
semata-mata untuk menyukakan hati pemerintah Johor yang pada ketika itu di
bawah pimpinan Sultan Alauddin Riayat Syah. Memang bangsa Melayu pada ketika
itu sangat berpegang kuat pada konsep taat, setia dan patuh kepada segenap
suruhan pemerintah. Hal ini diwarnai lagi dengan pengamalan konsep daulat dan
tulah dalam suasana persekitaran masyarakat Melayu lama.
Selain itu, antara isu yang mencetuskan
konterversi terhadap karya ini adalah disebabkan penggunaan kaedah pensejarahan
yang dipraktikkan oleh penulisnya. Persoalannya kini, adakah Tun Seri Lanang
mengaplikasikan lunas-lunas kaedah pensejarahan seperti yang kebanyakan
sejarahwan fahami masa kini?. Ternyata Tun Seri Lanang hanya menggunakan sumber
bertulis dan sumber lisan dalam skop penulisannya. Antara sumber bertulis
paling pokok yang digunakan ialah teks Sejarah Melayu induk sendiri yang dibawa
dari Goa. Hikayat ini kemudiannya diperbaiki dan disunting semula sehingga
akhirnya teks ini dinamakan dengan istilah ‘Sulalatus Salatin”.[10] Sumber lain
yang digunkan ialah Hikayat Iskandar Dzulkarnain yang berkaitan tentang tradisi
dan naratif Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hmazah yang mengisahkan Raja
Suran yang mendirikan negeri di benua Keling dan Hikayat Raja-Raja Pasai
tentang kerajaan tua Pasai. Selain sumber ini, pengarang juga menggunakan
kaedah sumber lisan. Penggunaan kaedah ini sememangnya popular pada abad ke-16
dan abad ke-17.[11] Penggunaan sumber lisan ini ternyata mempunyai pelbagai
kelemahan kerana kaedah ini secara lazimnya mudah dicemari dengan unsur-unsur
tokok-tambah yang akhirnya mencemarkan sifat sejarahnya. Hal inilah yang
menyukarkan karya ini untuk layak berdiri sebagai sumber sejarah. Sedangkan
“Bapa Sejarah Dunia” iaitu Herodotus juga seringkali dikecam oleh beberapa
sarjana tentang gelarannya sebagai pelopor sejarah dunia walaupun beliau telah
menjalankan beberapa kaedah penyelidikan iaitu kaedah temuduga dan pemerhatian
dalam penghasilan karya beliau yang berjudul “Sejarah Perang Parsi”.[12]
Selanjutnya, persoalan mungkin boleh ditimbulkan dalam nada yang berbunyi
adakah Tun Seri Lanang membuat kaedah kritikan luaran dan kritikan dalaman
sewaktu penghasilan penulisan beliau. Jika beliau dikatakan ada mengaplikasikan
kaedah tersebut, sudah sepastinya unsur-unsur yang berbentuk magis dan
anankronistik tidak akan wujud dalam karya tersebut. Disamping itu, untuk
sesuatu sumber itu diiktiraf sebagai sumber sejarah perlulah dijalankan
aktiviti penafsiran sumber berdasarkan logik akal bagi menentukan kewarasan
sumber tersebut.
Sementelahan itu, Salalatus
Salatin juga dilihat hanya mampu berdiri sebagai sebuah karya sastera.
Salalatus Salatin adalah sebuah hasil sastera sejarah iaitu sebuah karya
ciptaan berjasadkan sejarah. “Sejarah” yang dipaparkan dibentuk oleh
matlamat-matlamat di luar sejarah dan dibungai dengan pelbagai gejala yang
mencairkan sifat kesejarahannya.[13] Menurut Ahmad Mahmood Musanif, Salalatus
Salatin hanya layak dilihat sebagai hasil sastera sejarah. Hal ini dapat
difahami berdasarkan petikan ini.
“Sejarah
Melayu hanya lebih sesuai diklafikasikan dalam kategori hasil sastera sejarah
kerana karya ini hanya mengambil bahan-bahannya dari peristiwa-peristiwa
sejarah, baik sejarah mengenai sebuah negeri maupun sejarah mengenai seseorang
pahlawan atau raja serta kandungannya pula dipenuhi oleh unsur dongeng dan
puisi yang indah.”[14]
Kelihatannya, faktor utama yang
menyebabkan sesetengah sarjana agak sukar untuk mengiktiraf Sulalatus Salatin
sebagai sumber penulisan sejarah adalah disebabkan isi kandungannya yang lebih
kerap menampilkan elemen-elemen kesuasasteraan seperti puisi yang bercorak
pantun, gurindam dan syair. Kandungan Sulalatus Salatin mempunyai pengaruh
sastera dan budaya asing iaitu Hindu dan Islam. Pengarang Sulalatus Salatin
telah memperpadukan kedua-dua unsur seperti unsur emas dan unsur perak yang
merupakan unsur Hindu dengan unsur tempatan iaitu padi.[15] Keadaan sama juga
muncul pada nama-nama tempat dan watak yang digunakan seperti Malini dalam
bahasa Sanskrit yang berertti mengulungkan bunga.[16] Selain itu, Bat dalam
tradisi agama Hindu merujuk kepada suatu upacara mensucian seseorang
Brahmin.[17] Namun terdapat perubahan yang ditonjolkan dalam teks Salalatus
Salatin iaitu Bat digamnbarkan sebagai seorang manusia suci yang lahir daripada
muntah lembu putih untuk memahkotakan kelahiran Parameswara. Walaupun terdapat perubahan
yang ditonjolkan, namun konsep yang digunapakai masih lagi sama. Selain itu,
contoh lain yang adalah seperti penggunaan konsep devaraja. Penggunaan konsep
devaraja telah diubahsuai dan digantikan dengan penggunaan konsep khalifah.[18]
Dengan cara ini, Tun Seri Lanang telah mengambarkan unsur-unsur keislaman dalam
karya beliau. Bukan itu sahaja, pemaparan upacara waadat sememangnya mempunyai
serba sedikit persamaan dengan konsep baiah dalam ajaran Islam. Baiah dalam
Islam diaplikasikan sewaktu perlantikan seseorang khalifah. Maka mungkin kerana
ini terdapat sesetengah sarjana yang lebih berpendapat bahawa Sulalatus Salatin
yang bermaksud Salasilah Raja-Raja atau Jurai Keturunan Raja-Raja lebih layak
untuk dilabelkan sebagai Kisah Raja-Raja Melayu seperti Kisah Raja-Raja Pasai.
[19]
Seterusnya, sebab utama yang
menyebabkan karya ini kurang layak untuk berdiri sebagai sumber sejarah adalah
kerana isi kandungannya yang lebih banyak mengandungi percampuran unsur-unsur
mitos, lagenda, khayalan dan hiburan. Menurut R.O.Winstedt, Wilkinson, John
Crowfort mengatakan: “Sejarah Melayu adalah karya dimana pengarangnya telah
mengkahwinkan keadaan semasa dengan dongeng-dongeng dan legenda-legenda yang
terdapat dalam cerita dewa-dewi”.[20] Manakala J.C.Bottom pula mengatakan,
“…history as the Malay has seen it – a mixture of truth and legend, fantasy and
fact, entertainment and instruction.”[21] J.C.Bottom menyatakan bahawa sejarah
bagi orang Melayu bukanlah sains atau kesenian tetapi adalah hiburan oleh
penulis sastera yang berbentuk sejarah yang tidak mengutamakan penyusunan fakta
dan konkrit.[22] Ternyata, pandangan ini mempunyai kerelevanannya yang
tersendiri. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan petikan ini: “… a demon
with eyes as red as flame, with creel- like matted hair and a beard down to his
waist”.[23] Petikan memaparkan bahawa Badang telah berdepan dengan sejenis
makhluk yang mempunyai paras rupa yang menakutkan. Persoalannya, adakah
benar-benar wujud makhluk yang sedemikian rupa atau hanya sekadar tokok-tambah
daripada sang penulis.
Selain itu, tiada konsep
pentarikhan yang tepat dalam teks Salalatus Salatin. Ada yang berpendapat
bahawa Salalatus Salatin dikarang pada hari Khamis iaitu yang terdapat dalam
pendahuluan hikayat yang berbunyi “…seribu dua puluh satu tahun kepada tahun
Dal, pada dua belas haribulan Rabi’ul Awal kepada hari Khamis…” iaitu bersamaan
13hb Mei 1612.[24] Tetapi ada juga tokoh yang mengatakan Salalatus Salatin
dikarang pada hari Ahad. Selain itu juga, sesuatu peristiwa yang berlaku
mestilah mengikut kronologi. Namun begitu, dalam teks ini, perkara yang
mengikut kronologinya adalah sesuatu peristiwa yang berlaku tetapi masa dan
juga tahun sesuatu peristiwa yang berlaku tidak dapat diperoleh. Kronologi
sejarah juga dikaitkan dengan rentetan peristiwa yang teratur mengikut urutan
masa dari awal hingga yang terakhir.[25] Misalnya seperti kisah pelayaran Sri
Tri Buana dari Bentan ke Temasik yang tarikhnya tidak dicatatkan. Maka tanpa
kewujudan tarikh dalam peristiwa, sesuatu peristiwa itu sukar untuk dianggap
sebagai sumber sejarah. Teks Salalatus Salatin juga mengandungi unsur
anankronistik iaitu kesilapan atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu
peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[26]
5.0 KEBENARAN DAN KEUNIKAN YANG TERSELINDUNG DISEBALIK SULALATUS
SALATIN:
Sulalatus Salatin
walaubagaimanapun menyemat 1001 macam kebenaran dan keunikannya yang
tersendiri. Kebenaran dan keunikannya perlu dikaji dan diselidiki dalam
pelbagai aspek yang meluas dan universal. Hal ini kerana, keunikan dan
kebenarannya terselindung disebalik isinya yang tersurat. Antara peranan
penting yang dimainkan oleh karya ini adalah bertindak sebagai salah satu
rujukan penting dalam mengkaji perihal suasana kehidupan masyarakat Melayu
zaman dahulu terutamanya pada abad ke-14 dan ke-15. Hal ini kerana, jika
menulis berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu berdasarkan
sumber barat terutamanya sumber yang dihasilkan oleh sarjana kolonial seperti
R.O.Winstedt, Frank Swettenhem dan lain-lain lagi sepastinya akan menimbulkan
masalah. Hal ini kerana, kebanyakan tafsiran ataupun interpretasi yang
dikemukakan oleh sarjana ini lazimnya berdasarkan kaca mata barat. Kebanyakan
mereka dilihat memanipulasikan soal entosentrisme. Entnosentrisme secara
mudahnya ialah kepercayaan bahawa kebudayaan sendiri lebih unggul, tinggi
nilainya dari kebudayaan lain.[27] Konsep ini juga mendorong kepada menilai
kebudayaan lain berdasarkan kepada standard kebudayaan sendiri. Contohnya,
seperti orang Eropah yang melihat masyarakat Asia dengan persepsi yang ganjil
apabila masyarakat Asia makan dengan menggunakan tangan dan memasuki rumah
mereka tanpa alas kaki sedangkan kebanyakan masyarakat Eropah makan dengan
menggunakan sudu dan garpu serta memasuki rumah mereka dengan menggunakan alas
kaki. Oleh sebab itulah, terdapat sarjana seperti Zainal Abidin Wahid yang
menekankan pensejarahan peribumi ditulis oleh penulis peribuminya kerana hanya
masyarakat peribumi itu sahaja yang dapat memahami suasana kehidupan masyarakatnya.
Hal inilah yang membawa kepada kemunculan konsep Malaysia-sentrik iaitu karya
sejarah atau apa-apa karya yang mempunyai nilai sejarah tentang negara ini atau
satu bahagian yang dahulunya terangkum dalam entiti Melayu. Berdasarkan konsep
ini, hanya sarjana tempatan sahaja dilihat lebih layak menulis tentang sejarah
Malaysia. Menurut Zainal Abidin Wahid lagi :
“Sejarah
Melayu benar-benar merupakan satu sumber terpenting bagi pengkajian Sejarah
Alam Melayu umumnya dan Melaka khususnya pada zaman sebelum kejatuhan Melaka ke
tangan Portugis. Tidak ada buku atau manuskrip lain yang boleh menggambarkan
masyarakat Melaka dengan cara yang lebih baik dan jelas dari Sejarah
Melayu”.[28]
Selain itu, keunikan teks ini
juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya. Kita
dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif,
bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri.[29] Mereka mampu berfikir
melalui bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal
dan melalui fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif. Jikalau
kita belajar daripada sejarah budaya dan tamadun bangsa Melayu itu, kita akan
dapati bahawa tiga akar tunjang iaitu bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama
Islam itulah “model” yang membentuk pandangan dan jati diri atau identiti
Melayu sebagai suatu bangsa yang bebas, berdaulat, bermaruah, berakal budi,
bijaksana dan bermoral tinggi sepanjang zaman. Selama lebih 430 tahun dunia
Melayu-Indonesia berada dalam zaman globalisasi penjajahan yang dibawa oleh
tiga kuasa Barat, Portugis, Belanda dan Inggeris. Hal yang sangat menakjubkan
ialah bangsa Melayu itu masih mengekalkan kedaulatan bangsanya kekal hingga
hari ini. Kita tidak menjadi suku kaum yang lemah seperti suku kaum peribumi di
Amerika yang tamadun mereka, budaya mereka dan bahasa mereka dimusnahkan oleh
kuasa penjajah dari Eropah. Orang Melayu terus dapat berkembang menjadi bangsa
atau nation yang mempunyai kerajaan, agama, budaya dan kesusasteraan yang
tinggi.
Sementelahan itu, kajian terhadap
karya pensejarahan tradisional perlu dilihat berdasarkan kajian yang tersirat.
Kajiannya tidak boleh dilihat secara mata kasar sahaja kerana kebenarannya
tersirat disebalik yang tersurat. Contohnya seperti membincangkan tentang faktor
yang memudahkan masyarakat Tanah Melayu memeluk Islam walaupun kepercayaan
Hindu-Buddha telah lama menapak dalam hati dan sanubari mereka. Dalam isu ini,
kita dapat melihat bahawa betapa terbukanya minda Melayu.[30] Kita melihat
apabila budaya Hinduisme dan Islam yang datang secara aman, tidak melalui
paksaan, tidak melalui pedang dan peperangan, maka budaya dan kepercayaan ini
mudah berkembang di rantau ini. Keterbukaan orang Melayu dapat dilihat apabila
orang Melayu sanggup melakukan suatu proses tranformasi budaya, tamadun dan
pemikiran yang cukup revolusioner. Namun, apabila budaya atau tamadun dari luar
itu cuba dipaksakan kepada orang Melayu melalui keganasan, peperangan dan
penjajahan, maka mereka akan menolaknya. Orang Melayu menolak budaya Portugis
kerana bangsa Eropah datang secara agresif; mereka memerangi orang Melayu dan
merampas kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Itulah sebabnya mengapa orang
Melayu “tidak masuk Kristian” dan tidak menerima bahasa Portugis dan budaya
mereka, padahal Portugis memerintah di Melaka selama lebih seratus tahun
(hingga tahun 1641).
Selanjutnya, kita juga akan
melihat bahawa lokasi-lokasi yang dinyatakan dalam teks Sulalatus Salatin
seperti Temasik atau Singapura, Palembang, Pulau Bentan, Tanjung Bemban, Minangkabau,
Tanjung Pura, Srivijaya, Majapahit, Siam dan lain-lain lagi masih wujud
sehingga kini. Berdasarkan hujah ini, ternyata menilai karya pensejarahan
tradisional Melayu berdasarkan kaca mata barat adalah suatu kesilapan. Hal ini
didorong oleh beberapa faktor seperti faktor perbezaan budaya, tujuan penulisan
teks dan kaedah penulisan. Pensejarahan moden yang menggunakan rujukan atau
sumber barat tidak sesuai untuk menilai karya pensejarahan tradisional. Hal ini
hanya mendorong kepada isu berat sebelah dan akhirnya pensejarahan baratlah
yang akan mendominasi pensejarahan tradisional. Selain itu, perbezaan tujuan
penulisan yang berbeza juga menyebabkan pensejarahan tradisional tidak relevan
dinilai berdasarkan kaca mata barat.
Karya pensejarahan tradisional lazimnya
bertujuan memaparkan sejarah keagungan negara,pemerintah dan bangsanya
sedangkan pensejarahan moden ditulis dengan tujuan untuk memaparkan penulisan
sejarah yang bersifat saintifik. Seterusnya, kaedah dan gaya penulisan juga
berbeza. Kebanyakan karya pensejarahan tradisional diwarnai dengan unsur-unsur
kesusasteraan seperti sajak,puisi,gurindam dan mitos.[31] Unsur-unsur ini
diaplikasikan untuk memenuhi sifat masyarakat yang menyanjung raja. Unsur-unsur
tersebut juga penting sebagai hiburan atau penarik serta kritikan terhadap
pihak tertentu secara sinis, halus tetapi penuh simbolik. Namun, jika isu ini
dilihat berdasarkan sudut pandangan barat, ternayta ia sungguh bercanggah
sekali. Menurut Leopold von Ranke, sejarah mestilah berlandaskan bukti sahih
dan buannya daya imaginasi semata-mata seperti mana yang dilakukan oleh
penulis-penulis beraliran sastera.[32] Seterusnya, penulisan sejarah pada hari
ini yang dianggap moden dan saintifik mungkin juga akan dianggap sebagi
ketinggalan zaman dan tidak saintifik pada masa akan datang.
6.0 KESIMPULAN:
Jelasnya, karya pensejarahan
tradisional umunya dan karya Sulalatus Salatin khususnya tidak layak untuk
diukur atau dinilai berdasarkan kaca mata barat. Hal ini kerana, terdapat
perbezaan yang amat ketara antara pensejarahan tradisional dengan pensejarahan
moden yang dibentuk barat. Justeru itu, karya pensejarahan tradisional
sememangnya layak untuk dijadikan sumber dalam penulisan sejarah kerana
kandungannya yang lebih memaparkan dan memahami suasana kehidupan masyarakat
peribumi pada masa silam berbanding dengan sumber asing yang kebanyakannya
ditulis oleh para sarjana kolonial. Hal ini kerana, kebanyakan para sarjana
kolonial menulis dengan persepsi yang kurang menyenangkan terhadap suasana
kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam dan akhirnya hal ini membawa
kepada unsur berat sebelah kepada sejarah masyarkat peribumi. Jelasnya, untuk
mengenepikan karya pensejarahan tradisional sebagai rujukan sejarah adalah
suatu perkara yang tidak relevan walaupun kebanyakannya isi kandungannya
bercanggah dengan konsep dan teori pensejarahan moden.
BIBLIOGRAFI.
BUKU:
Ahmad Mahmood Musanif. 1992.
Pemahaman dan Penghayatan Sejarah Melayu.
Selangor: Masa Enterprise.
Ali Ahmad. 1987. Karya-Karya
Sastera Bercorak Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arbai'yah Mohd Noor.2002. Ilmu
Sejarah dan Pensejarahan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Brown, C.C. 1970. Sejarah Melayu
or Malay Annals (terj.). London: Oxford University Press.
Flaron bin Daud. 1985. Sejarah
Melayu: Satu Kajian Dari Aspek Pensejarahan Budaya. Bangi: Institusi Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhd. Yusoff Hashim. 1988.
Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber, Penghayatan Masalah dan
Tafsiran Naskah-Naskah Terpilih Sejarah Melayu. Singapura: Gaints Prints Sdn.
Bhd.
Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin
Haji Yahaya. 1988. Sejarahwan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheikh Othman bin Sheikh Salim
(eds.). 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suntharalingam, R. 1985.
Pengenalan kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Marican.
Suntharalingam, R. 1987.
Pensejarahan Barat. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
The Colombia Encyclopedia, 6th
Edition. 2001. Colombia: University Press.
Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman
Kaeh. 1978. Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang. Kuala
Lumpur: Heineman Educational Book (Asia) Ltd.
ARTIKEL:
Abdul Rahman Haji Ismail. 1985.
"Sejarah Melatyu: Antara dan Dakyah". Kajian Malaysia, Jilid III,
NO.2.
Bottom, J.C. 1962. "Malay
Historical Works" dalam K.G.Tregonning (ed.). Singapore: Malaysian
Historical Sources.
Hassan Ahmad. 2007. "Makna
Sebuah Kedaulatan: Pandangan Melayu Terhadap Dirinya", dalam Dewan Budaya.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Thilagavathi Gunalan, V. 2005.
"Dari Bukit SiGuntang ke Bukit Larangan: Parameswara dalam teks Sejarah
Melayu" dalam Prof.Emeritus Dato’Dr. Mohd Yusoff Hashim (penyt.),
Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia (IKSEP) GRAHA IKSEP.
Yusoff Iskandar. 1986.
"Sejarah Melayu Sastera yang Bercorak Sejarah", dalam Zahrah Ibrahim
(penyt.), Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment