Tuesday, 7 May 2013

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU


MAKSUD KARYA AGUNG

Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

KARYA AGUNG MELAYU

Karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.

Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.

KARYA AGUNG DUNIA MELAYU

Karya agung dunia Melayu dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranyaNagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.

(Sumber dipetik daripada: http://www.yayasankaryawan.com/index.php)

Apa Itu Falsafah?

Istilah falsafah berasal dari bahasa Yunani “philien” dan “sophia”. “philien” bermaksud “mencintai” atau “sahabat” dan “Sophia” adalah “kebijaksanaan” atau “pengetahuan”. Menurut Robert Zeuscher, ahli – ahli falsafah merupakan orang yang mencintai kebijaksanaan dan mempunyai minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.

            Plato mengatakan bahawa falsafah merupakan ilmu yang sedia ada atau wujud, Manakala Aristotle pula mengatakan bahawa falsafah itu adalah kebijaksanaan atau hikmah atau ilmu pengetahuan yang menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.

            Rumusan daripada pendapat tokoh-tokoh di atas, dapat disimpulkan bahawa falsafah merupakan ilmu pengetahuan, yakni disiplin untuk menyelidik asas dan sebab dan akibat sesuatu perkara. Falsafah dianggap sebagai pokok kepada segala ilmu, kerana dari falsafah, maka lahirnya pelbagai cabang ilmu yang lain seperti ilmu sains, matematik, sains sosial,kemanusiaan dan lain-lain.

            Menurut Zaini Abdullah(2001), falsafah adalah mengenai pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan tersebut. Falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti ilmu dan nilai. Falsafah juga merupakan pendekatan rasional terhadap sesuatu masalah dan persoalan, di samping merupakan suatu penyiasatan yang komprehensif dan logik mengenai asas-asas pemikiran semua aktiviti manusia.

Tujuan falsafah adalah untuk mencari kebenaran tentang sesuatu permasalahan dengan cara berfikir secara radikal,sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu akan menjadi persoalan falsafah apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah dan pengamatan sains. Persoalan falsafah juga biasanya melibatkan perkara-perkara yang abstrak seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara rumusannya, falsafah merupakan suatu pemikiran yang amat mendalam dan menyeluruh terhadap sesuatu perkara dalam usaha mencari kebenaran.

Apakah Karya Agung?

Karya agung merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut.

            Dunia ketamadunan Melayu telah memperlihatkan, terdapat banyak karya-karya agung yang telah dihasilkan. Karya – karya agung ini melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Karya agung dapat membuatkan kita mengenali dan mengetahui sejarah dan kehebatan tamadun – tamadun dunia, seperti tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain. Melalui penghasilan karya seni, pemikiran, falsafah, sastera yang cetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman. Hasil kepengarangan ini dipelajari, dijadikan panduan, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

            Karya agung Melayu ialah karya yang dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Pelbagai persoalan kehidupan dan masyarakat terangkum indah dalam sesuatu karya.

            Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan dalam bentuk pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Persoalan sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.

Contoh karya agung :

HIKAYAT HANG TUAH

            Hikayat Hang Tuah merupakan salah satu karya agung Melayu yang amat berpengaruh.Hikayat ini merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita. kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.

            Laksamana Hang Tuah ialah seorang yang berhati waja, berani, gagah, taat dan bijaksana. Walaupun berbeza-beza corak penceritaan, kepahlawanan Hang Tuah tetap ada dan sering menjadi simbol kekuatan masyarakat Melayu. Dari sudut falsafah pula, Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi kekuatan yang menjadi pujaan masyarakat terutamanya Melayu kerana keberanian dan budi pekerti yang ditunjukkan.

            Sepertimana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, penonjolan Hang Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah serta berani merupakan satu makna falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai salah satu lambang kekuatan kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Sebenarnya, dalam Hikayat Hang Tuah, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki pelbagai kelebihan. Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki makna yang tersendiri serta yang tersirat.

            Selain itu, Hikayat Hang Tuah banyak menceritakan kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa satu pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat termasuk sistem sosial, struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama juga merupakan dua aspek sosial yang menjadi pegangan masyarakat. Masyarakat pada masa itu menganuti agama Islam dan mengamalkan dua bentuk kepercayaan [bukan agama] iaitu berunsurkan animisme dan Hindu-Buddha.

         Jelas, betapa pengarang hikayat ini mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin. Perkara inilah yang dikatakan bahawa karya agung ini melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya.

No comments:

Post a Comment