Seni mempertahankan diri atau
“silat” telah muncul sejak berabad lamanya. Silat selain daripada
mempertahankan diri juga merupakan aktiviti yang dapat menyihatkan badan. Usia
silat tidak dapat dipastikan dengan jelas kerana terdapat pelbagai tanggapan yang
telah dibuat berkaitan usia ilmu persilatan ini.Ilmu persilatan ini diwarisi
dari generasi ke generasi. Senjata yang digunakan pesilat adalah seperti keris,
badik, kerambit, parang,lading dan banyak lagi. Silat terbahagi kepada dua
jenis iaitu silat bersenjata dan juga silat tempur tangan kosong. Bagi pesilat
yang masih baru belajar, kebiasaanya akan diajar silat tempur tangan kosong
sebelum menggunakan senjata. Pergerakan silat terbahagi kepada bunga iaitu
pergerakan seolah-olah tarian dan buah iaitu pukulan. Silat juga terbahagi
kepada dua iaitu silat tempur dan silat persembahan. Perbezaan kedua-dua ini
adalah silat tempur digunakan untuk pertempuran manakala silat persembahkan
kebiasaanya dipersembahkan ketika majlis keramaian atau majlis perkahwinan.
Dalam Sulalatus Salatin ilmu
persilatan ini digambarkan melalui Watak Hang Tuah dan Hang Jebat yang
dikatakan mempunyai guru yang sama dan telah menjadi sahabat karib hasil dan
mempelajari ilmu persilatan dari guru yang sama. Keris juga merupakan senjata utama
yang digunakan oleh Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Tuah telah menjadi laksama
Melaka disebabkan oleh kemahiranya dalam ilmu persilatan. Dalam peperangan
antara Melaka menentang musuh ketika diserang juga menggunakan silat dalam
pertempuran. Ketika amukan Hang Jebat ketika mengetahui kematian sahabatnya
Hang Tuah juga membuktikan ilmu persilatan dan alam Melayu tidak dapat
dipisahkan. Hingga hari ini, ilmu persilatan masih kekal menjadi warisan yang
berharga kepada masyarakat Melayu. Hal ini diteruskan oleh kerajaan yang telah
mengiktirah silat sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di peringat
dalam dan luar Negara.
PEMBENARAN (PENTAHQIQKAN) SOROTAN PERSILATAN ZOHIRIAH - SILAT LAKSAMANA
HANG TUAH.
Berdasarkan gambaran oleh
pengarang cerita Hang Tuah tentang ilmu dan teknik persilatan Hang Tuah ini
bolehlah dianggap Silat Hang Tuah ini menjadi salah satu induk atau tonggak
utama kepada keberkesanan seni beladiri Melayu bagi pelbagai teknik dan resam silat
silat Melayu asli yang ada pada hari ini di Nusantara Melayu dengan berbagai
namanya dan berbagai corak serta kaedah persilatannya. Namun Silat Melayu yang
betul-betul asli mengikut kaedah Silat Hang Tuah ialah mana-mana silat yang
menggunakan senjata-senjata yang pernah digunakan Hang Tuah dalam pembelajaran
persilatannya seperti pisau, parang, keris pendek (keris pendua), keris Panjang
(keris Utama), kapak, tombak, pedang, lembing – seligi dan panah walaupun
persilatannya tidak menyamai taraf kehebatan Pahlawan Agong Melayu itu. Namun
begitu boleh juga dianggap bahawa Hang Tuah tetap handal berlawan dengan teknik
tangan kosong walaupun dalam cerita-cerita pertempurannya atau pergelutan
beliau dengan para lawannya dalam hikayat ini tiada sekali pun menyatakan
beliau berlawan atau bergelut dengan menggunakan tangan kosong sahaja kerana
sudah lumrah dan ma`alum kepada semua bahawa dalam persilatan Melayu jika
seseorang boleh bertempur dengan menggunakan senjata tradisional maka secara
mudahnya pula ia boleh berlawan atau menguasai teknik menggunakan tangan
kosong. Hal ini terbukti Hang Tuah ada menari tarian silat bertangan kosong
dalam beberapa majlis keraian di istana sama ada di Melaka atau di Majapahit.
Dengan hujah ini tidaklah boleh dianggap jika sesebuah perguruan persilatan
Melayu yang ada hari ini tidak mengajar bagaimana cara menggunakan senjata
senjata tradisional Melayu sebagai bukan silat Melayu yang asli. Namun
berdasarkan sorotan ini, silat Laksamana Hang Tuah melalui gambaran hikayatnya,
penggunaan senjata senjata tradisi dalam persilatan Melayu asli adalah suatu
perkara pepakan malai terutama bagi silat Melayu asli yang berasal dari benih
Silat Laksamana Hang Tuah sendiri.
Gambaran sebenar teknik ilmu
persilatan Melayu Asli zaman Laksamana Hang Tuah dapat dikesani dari riwayat
semua babak-babak pertarungan bersenjata atau pergelutan Hang Tuah secara
perseorangan ataupun babak pertarungan beliau bersama empat sahabatnya dengan
musoh-musoh mereka yang ingin membunoh mereka atau yang ingin memusnahkan misi
para pahlawan Melayu itu iaitu sebagai seorang panglima dan Laksamana dan
sebagai hulubalang hulubalang Melayu zaman kemuncak kegemilangan Empayer Laut
Melayu Melaka di zaman pemerintahan Sultan Mansyur Shah dan Zaman bermula
kejatuhan Melaka ke tangan Portugis (tahun 1511M) iaitu di zaman pemerintahan
Sultan Mahmud Shah.
Para sarjana timur dan barat
ramai yang berpendapat Hikayat Hang Tuah bahagian pertama iaitu bahagian
pertarungan (perlawanan) kerana melaksanakan misi dan zaman menuju puncak
kegemilangan kerajaan Melaka adalah ditulis oleh seorang pengarang tertentu dan
bahagian kedua iaitu bahagian pengembaraan Hang Tuah ke negara-negara besar
zamannya seperti Siam, India, Cina, Turki dan Rom adalah dikarang oleh seorang
pengarang yang lain. Walau bagaimanapun bahagian pengembaraan Hang Tuah ke
India dan Siam masih boleh dianggap ianya ditulis oleh pengarang bahagian
pertama juga kerana gambaran teknik persilatan Hang Tuah dan pertarungan pedang
yang cukup dramatik, mahir dan hebat oleh Hang Tuah menentang pendekar `Benua
Keling` (India) dan menentang pendekar Jepun (Samurai?) lebih kurang sama
dengan kaedah persilatan Laksamana Hang Tuah bahagian pertama hikayat Hang Tuah
ini. Cerita bahagian Pertarungan Hang Tuah dengan musoh-musoh beliau berkemungkinan
besar ditulis selepas sahaja serangan Portugis ke atas Melaka. (Sila rujuk
bahasannya pada buku Hang Tuah. DBP, Ogos 1963 atas tajuk:Pengenalan ms Xii ).
Melalui bahasan itu dapatlah kita
membuat suatu rumusan bahawa pengarang Hikayat Hang Tuah bahagaian pertama
adalah seorang yang arif dalam ilmu persilatan Melayu zamannya (Zaman hikayat
bahagian pertama ini ditulis) sebab gambaran kehebatan persilatan Hang Tuah
yang digambarkan beliau mungkin suatu khayalan minda sedar penulisannya yang memang
dipengaruhi ilmu atau teknik persilatan sama ada yang pernah dialaminya,
dipelajarinya atau yang pernah dilihatnya sendiri atau pun diceritakan orang di
zamannya kepada beliau. Seseorang tidak dapat menulis dengan baik dan tepat
akan sesuatu perkara tampa ada unsur-unsur pengalaman diri seperti perkara yang
tersebut itu. Mengikut sasterawan Negara, Kassim Ahmad dalam aluan kata
pengenalan dalam buku Hang Tuah keluaran DB. 1963 tersebut mengenai kekaliberan
pengarang Hikayat Hang Tuah mengenai ilmu persilatan Melayu seperti berikut:
“…Dan
sesungguhnya, boleh dikatakan semua temasha2 pertikaman antara Hang Tuah atau
Hang Tuah dan teman temannya di satu pehak dengan musoh2 Melaka di pehak yang
lain dilukiskan dengan gaya yang amat menghairahkan. Bukan saja dalam
melukiskan temasha2 pertikaman pengarang ini handal, tangannya tidak kurang
hidup mengendalikan peristiwa yang lebih biasa (luar biasa-p).” (ms. xiv)
Jelas kepada kita sekarang
gambaran teknik persilatan Hang Tuah dan para sahabatnya zaman 500 tahun yang
lampau itu adalah gambaran Seni Silat Melayu Asli yang sejati oleh pengarangnya
kerana pada zaman itu boleh dikatakan belum ada lagi sebarang pengaruh seni
beladiri asing (jika ada) yang dikhuatiri mempengaruhi teknik dan palsafahnya
dalam seni beladiri Melayu iaitu Seni Silat. Oleh yang demikian gambaran
sebenar teknik dan palsafah Seni Silat Melayu Asli yang sejati seperti zaman
Hang Tuah dapat kita ketahui melalui beberapa sudut kajian terhadap babak-babak
pertarungan Hang Tuah dan sahabat-sahabat beliau dengan para pencabar yang
ingin membunuhnya seperti berikut;
BEBERAPA SOROTAN TERHADAP SILAT LAKSAMANA HANG TUAH
ASAS PERSILATAN HANG TUAH LIMA BERSAHABAT
Pada ketika usia meraka baru
belasan tahun telah bermula suatu pengalaman kependekaran oleh Hang Tuah
bersama empat orang sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang
Lekiu keluar mengembara di sekitar Selat Melaka. Beliau dan sahabat sahabatnya
telah dibekalkan oleh bapa bapa mereka senjata dengan sebilah keris dan sebilah
parang. Hal ini andaian yang boleh dibuat ialah Hang Tuah dan
sahabat-sahabatnya telah pun diajar oleh bapa masing-masing ilmu persilatan
kampungan. Jikalau ilmu silat belum diajar kepada mereka bagaimana keris dan
parang yang dibekalkan itu hendak digunakan menentang musoh? Tentulah menjadi
lebih merbahayakan diri sendiri kalau tidak pandai menggunakan senjata yang
dibawa. Sudah menjadi resam tradisi masyarakat Melayu lama pula seseorang
pemuda tidak akan meninggalkan kampong halamannya mengembara tampa sedikit sebanyak
belajar terlebih dahulu ilmu persilatan sebagai bekal menjaga diri dari ancaman
musoh diperantauan.
A. SILAT TARI HANG TUAH (SILAT BUNGA – SILAT TANGAN KOSONG
Silat Tari Hulubalang Melayu atau
Silat Bunga Hang Tuah. Pada zaman ini di utara dan pantai timur Semenanjung
Tanah Melayu corak silat yang semacam ini disebut juga Silat Pulut atau Seni
Silat Tangan kosong. Pada kebiasaanya Silat Tari ini dipersembahkan di
majlis-majlis keraian dalam istana Raja dengan iringan bunyi-bunyian muzik
khas. Seperti mana sekarang ini dipersembahkan dalam majlis-majlis perasmian
atau keraian tertentu dalam masyakat Melayu Nusantara sebagai suatu budaya
tradisi Melayu. Tetapi di zaman ketika dan setelah Negeri-Negeri Melayu
Nusantara dijajah oleh kuasa kuasa barat persembahan Bunga Tari Silat Pendekar
Melayu Asli ini agak berubah sedikit tekniknya kepada menjadi lebih lembut
daripada yang di zaman teradisi Hang Tuah. Ini kerana para pesilat semasa
penjajahan kuasa-kuasa barat dilarang oleh penjajah memakai senjata semasa
persembahan silat walaupun sekurang-kurangnya ada terselit sebilah keris di
pinggang masing-masing ketika pesilat mempamerkan aksi-aksi silat masing-masing
dalam majlis keraian tersebut. (zaman penjajahan untuk bersilat tangan kosong
saja pun mestilah mendapat kebenaran pihak mata-mata kerajaan (polis) terlebih
dahulu. Lalu tradisi begini (kaedah dan gaya tidak memakai senjata dipinggang
ini) di warisi generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. (Sila lihat artikel
Silat Lembing-Tombak Panji Alam Pendekar laman web http://geraksejati.co.cc
sebagai perbincangan tambahan)
TEKS:
1. DI MELAKA-TANAH MELAYU
Hang Tuah digambarkan sangat
mahir dengan tarian silat dalam majlis keraian di istana. Salah satu contohnya
lihatlah petikan berikut di mana Hang Tuah menarikan tarian silat bunga ini
(Bunga Tari Silat Pendekar Hulubalang Melayu) semasa menghadiri majlis keraian
`Menduduki Istana baru` oleh adinda Sultan Melaka iaitu Sang Jaya Nantaka;
“Maka
Tun Tuah pun menyembah kepada raja muda lalu berbangkit serta memegang ulu
keris panjang tempa Melaka itu (yang diselitkan pada pinggangnya-p) terlalu
baik (cantik dan hebat-p) sikapnya (tingkah dan gerakan-p) menari itu (bersilat
tari dengan kedua tangan dan gerakan tubuh dan kaki itu-p), lalu di-lompatkan
dengan lompatan pertikaman (ya`ni cara lompatan beserta aksi menikam-p), serta
menyembah lalu dudok. (Di sini walaupun keterangan yang diberi pendek tetapi
gambaran Tarian silatnya dinamik dan mempunyai klimaksnya – pada babak penyudah
tarian-p). Maka raja muda pun suka melihat dia (Bersilat itu-p), tiada jemu
pada mata baginda (mata melihat sangat tertarik – hati tertawan), maka dalam
hati baginda, sunggoh–lah Tun Tuah ini hulubalang, manis laku-nya (ya`ni
hebatnya perawakan seorang hulubalang). Sa-telah itu maka Tun Jebat pun
menyembah raja muda lalu menari. Maka Hang Lekir, Hang Lekiu pun mengambil
piala daripada tangan orang mengisi piala itu…” (ms.66)
2. DI MAJAPAHIT-TANAH JAWA.
Semasa di Majapahit Hang Tuah
juga ada menari tarian Silat Bunga Hulubalang Melayu Asli ini dalam
majlis-majlis keraian diraja dalam istana Betara Majapahit. Contohnya seperti
petikan berikut:
“Maka
rebana (berserta alatan bunyian dan gendang, gong, serunai dan yang lain
lagi-p) berbunyilah. Maka segala raja-raja itu pun berasa khayal-lah lalu
berbangkit
menari beranggap-anggapan terlalu ramai…”
“..Maka
titah Seri Betara, `Menari apa-lah Kiyai Tuah. Ingin-lah kita hendak melihat-mu
menari.` Maka sembah Tun Tuah, `Daulat tuanku andika, ini menari cara
hulubalang-lah` (tari silat-p). Maka Tun Tuah pun menyembah Seri Betara dan
Raja Melaka lalu bangun menari, serta di-singsing-nya tangan baju-nya lalu
di-pegang hulu keris panjang-nya (yang di selitkan di pinggangnya-p). Maka
tangan kanan di-kedang2-nya (dimainkan bunga tari silat serta gerak pancungan,
tikaman, parasan, tetakan, tangkisan dan lain-lain-p). Apabila tangan-nya kanan
memegang hulu keris panjang-nya, maka tangan-nya kiri di-kedang2kannya, lalu
dilompatkan-nya.” (Ms.126)
3. “Maka titah seri Betara, `Hai kiai Pateh, anggapkan (unjuk sambil
mengajak-p) kepada Laksamana, kerana kita hendak melihat Laksamana menari,
kerana kita dengar Laksamana pandai menari (menari silat kaedah seni tari
hulubalang Melayu-p) cara Melayu. `Maka Pateh pun bangun menari, serta
di-sinsing-nya tangan baju-nya, maka di-anggapkan-nya pada Laksamana. Maka
Laksamana pun menyembah lalu bangun menari, serta di-sinsing tangan baju-nya,
memegang hulu keris panjang-nya (yang di selitkan pada pinggangnya-p). Sa-telah
itu maka di–kedang2kan tangan-nya apabila ia melompat ka-kiri dan ka-kanan,
serta memekis, kata-nya, `Cheh! Mana-tah penjurit Majapahit ? Mari-lah
berhadapan dengan aku..” (ms.245)
ULASAN SILAT : TARI DAN JURUS
Berdasarkan kisah Hang Tuah dalam
petikan di atas, jelaslah kepada kita sekarang bahawa Seni Silat Tari Melayu
atau Silat BungaTari Melayu atau pun jenis Silat Pulut itu adalah juga silat
Melayu Asli semenjak Zaman Hang Tuah atau sebelumnya beribu tahun lagi. Cuma
Silat Tari atau Silat Bunga oleh Hang Tuah ada memakai keris dipinggangnya dan
menari sebelah tangan pada permulaan gerak serta memegang hulu keris sebelah
tangan yang lain (teks 2 dan 3). Lalu menari dengan kedua-dua tangan selepas
memegang ulu keris pada permulaan geraknya (teks 1). Maka jika Silat Tari
Melayu Asli hari ada yang memulakan gerak tari tangan kosongnya dengan satu
tangan diletakkan di paras pinggang seolah-olahnya memegang hulu keris dan
tangannya yang satu lagi dihulurkan ke hadapan dengan gerak tari yang memberi
ma’ana serangan dan belaan – tangkisan dan sebagainya kemungkinan besar benih
asalnya (Bapanya) ialah Silat Hang Tuah. Satu hal lagi adalah jelas sekali
method atau teknik lompatan amat popular kepada beliau (Hal ini ia itu teknik
lompatan-jarang di guna dalam kebanyakan silat pulut pada hari ini tetapi
bukannya mesti tidak ada – Jika benih silat tari atau silat bunga tertentu itu
benihnya berasal dari Silat Hang Tuah tandanya ialah ada aksi lompatannya pada
gerakan penyudah. Sama ada tinggi atau pun rendah lompatannya pasti ada walau
pun tidaklah sehebat lompatan Hang Tuah-p). Namun tarian ini bukanlah pada
praktiknya digunakan untuk bertempur-perang, tetapi untuk keraian atau
perasmian majlis-majlis tertentu. Maka Silat Tari atau Silat Bunga yang
benihnya berasal dari cara Hang Tuah itu sebenarnya lah sejenis kaedah tarian
hulubalang Melayu zaman dahulu. Tarian ini diajar dari generasi ke generasi
untuk memenuhi fungsi-fungsi keraian majlis tertentu tersebut. Oleh itu
kebanyakan perguruan Seni Silat Tari Melayu ini tidak ada mengajar muridnya
bermain senjata, ia hanya banyak menumpukan bermain tarian dan permainan buah
buah silat secara Tanya – jawab pada serangan dan belaan melalui sentuhan
sentuhan ringan pada titik bahaya pada tubuh lawan serta kuncian-kuncian juga
ringan secara teknik bertangan kosong. Walaupun bagitu ia mempunyai potensi
membentuk jurus-jurus pencak ( jurus tempur ) yang hebat dalam pelajaran tempur
penggunaan senjata Melayu tradisional seperti parang, kapak, keris pendek, keris
panjang, pedang, tongkat pendek atau tongkat panjang, tombak, lembing,
seligi-tembong dan panah serta lain-lain lagi. Kerana ia ibaratkan satu pokok :
Tarian silat bunga atau bunga
tarinya itu ibaratkan dedaunan dan rantingnya pokok. Manakala jurus tempur
silat bunga itu adalah dedahannya pokok. Manakala buah pukulan atau serangan
dan belaannya sama ada bertangan kosong atau menggunakan senjata adalah
batangnya pokok. Manakala Iman, Islam, tauhid, maarifat adalah akarnya pokok.
Akar bertunjang dan bertapak paksikan kepada bumi yang teguh berbudi. Pendek
katanya bebunga, dedaun dan rantingnya itu keluar dari dedahan, dedahan keluar
dari batang, batang keluar dari akar, akar keluar dari benih, benih bercambah
dari dalam bumi sejati yang teguh terhampar luas semesta.
Ada pun seni silat Melayu asli
hari ini yang benihnya dari Silat Bunga Hang Tuah dapat kita camkan pada
permulaan seorang pesilatnya memulakan gerak tari iaitu jika salah satu
tangannya berada atau menyentuh pinggangnya (seolah-olah memegang hulu keris)
dan tangan yang satu lagi dikedang atau dihulur ke hadapannya dan ditarikan
dengan apa-apa corak maknawinya serangan atau belaannya maka iaitu
berkemungkinan besar adalah jenis silat yang benih asalnya daripada Silat
Laksamana Hang Tuah. Tetapi kalau permulaan gerak tarinya terus saja dengan
gerakan bunga tari yang istilahnya sama dengan yang disebut ini iaitu: Tebar,
kibor, bedut, besut, pepat gantang, rencong teleng, pedang mengepang, pusaran
ayer, belai bayu, bunga pakma, layangan camar, helang melayang, sikat puan,
cakar beroga, cakar harimau, tampar beruang atau pun seludang jatuh, tapak
rimau, tarik rotan, lenggang janda, merbah berlaga, kayuh sampan, menggalah
canggah ombak, belah udang, sireh junjong, benang kusut, sambar helang segara,
sambar garoda, mengepak bangau, patukan tedong, naga melilit, naga libas, siku
kelawar dan banyak lagi, maka bukanlah asal dari benih Silat Tari Hang Tuah.
Tetapi ia berasal dari para pendekar Melayu yang lain yang memang cukup ramai
yang hebat-hebat, juga para pengasas Silat Silat Melayu Asli Nusantara ini
dengan bermacam-macam gaya dan dan kaedahnya, falsafahnya dan namanya yang
diwarisi bangsa Melayu hingga ke hari ini hingga berpuloh-puloh orang pendekar
malah beratusan yang menjadi pengasasnya. Sebab itu silat pulut atau silat
bunga Melayu cukup banyak dengan pelbagai gaya bunga silatnya tersendiri
terkadang nampak seperti serupa antara satu sama lain kerana tercipta dari
ilham pengasasnya bersumberkan benda-benda alam yang sama antara satu sama
lain. Kaedah Silat Bunga Hang Tuah atau Silat Tari Hang Tuah tariannya
disebutnya tari hulubalang yang dipengaruhi gerak bunga tikaman senjata pendek
dan panjang, libasan.paras, pancong, belah, tangkis, libasan, penggal, tetakan
kiri tetak kanan, tetak depan, tetakan belakang, tetak atas, tetak bawah, paras
atau pacong kiri kanan, belakang, depan, atas, tengah, bawah, tangkisan atas,
tengah, bawah, dalam, luar, kanan, kiri, depan, belakang, berpusing dan
lompatan keris panjang dan pedang mengikut keselesaan gerak sejati manusia.
Dalam gerak jurusnya pula gerakan tubuh adalah bebas saja baik ke hadapan, ke
belakang, ke kanan, ke kiri, dengan gerak lurus atau gerak sendeng atau rencong
semua boleh dan bebas belaka mengikut situasi serta tempat bergelut serta
keselesaan diri manusiawiyahnya. Kedudukan dan pergerakan tuboh juga bebas
tidak terikat dengan satu-satu kaedah kedudukan persilatan sahaja, ia
menggunakan gerak manusia sejatinya – boleh bertukar kapan saja asalkan dirinya
selesa untuk membuat belaan atau serangan atau LARI . Contoh LARI dari Teks:
“Maka
Laksamana pun melompat undur (lari) ka-pintu istana itu, maka lalu terjun
(lari) di atas pintu itu. Maka Hang Jebat di-pertubi-nya tikam belakang
Laksamana, tiada lut, mastul Laksamana pun tanggal (terpecat) dari kepala-nya
lalu berbelit2 pada leher-nya. Maka Laksamana pun berjalan–lah pulang
ka–rumah-nya sambil melambaikan (membuat hayunan dari arah atas ke bawah)
keris-nya.” (ms.323)
Kedudukan tubuh juga mengikut
situasi tempur atau pergelutan dan situasi tempat bertempur samada di kawasan
lapang, kawasan sempit, di darat, di air, di bukit, di lembah dan sabagainya
dengan kedudukan dan gerakan sama ada baring terlentang, terlungkup, berbaring
pada lambong kiri atau kanan, keadaan bersila, bersila panggong atau pun
bertinggong, duduk berlutut, berdiri dalam keadaan berbongkok, berdiri
berkekuda atau berdiri tegak lurus terpacak sahaja atau pun apa saja kedudukan
biasa manusianya ia tetap boleh bergelut atau bertempur jika diserang oleh
musoh ketika itu dengan menggunakan seluruh alam diri persilatannya.
Wallahu`alam.
B. SILAT TEMPUR (MENENTANG MUSOH)
1. PENGGUNAAN SELIGI DAN KERIS
PENDEK
Semasa pengembaraan pertama
mereka di laut Hang Tuah berlima sahabat telah dikejar oleh tiga buah kapal
lanun yang hendak merompak ke Palembang mereka hendak ditawan dan dijadikan
budak suruhan. Oleh kerana jumlah lanun ramai Hang Tuah mengambil keputusan bertempur
di pulau. Sampai di pulau mereka menyediakan seligi tiga bilah pada seorang
untuh menentang musoh yang mengejar mereka:
“Apabila
hampir musoh itu ka-hadapan Hang Tuah, maka ditikam oleh Hang Tuah, kena
pehanya, lalu terdudok tiada dapat bangkit lagi. Maka ditikam pula oleh Hang
Jebat, kena saorang, lalu lari ke perahunya mengambil sumpitan dan seligi…”
(ms:21)
“Maka
kata Hang Jebat sambil menangkiskan seligi dan anak damak yang seperti hujan
datangnya itu dengan seketika pada (dengan seligi-p) tangannya… serta
ditikamnya (dengan seligi-p) oleh Hang Tuah dan Hang jebat kelimanya. Maka kena
pula lima orang musoh itu, lalu rebah terduduk…” (ms:21)
“Maka
Hang Tuah pun menghunus kerisnya (Keris pendek, ukuran kurang daripada 13 inci
panjang-p) dan yang keempat itu pun menghunus kerisnya lalu menyerbu diri pada
musoh yang dua puloh itu. Maka ditikamnya oleh Hang Tuah, dua orang mati. Maka
di-tikam pula oleh Hang Jebat dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, empat
orang mati. Maka yang tinggal lagi sa-puloh orang itu lari-lah…” (Ms.21)
ULASAN SILAT
Jika dibayangkan pertempuran Hang
Tuah dan empat sahabatnya dari petikan diatas kita melihat ada dua kemahiran
persilatan mereka iaitu bagaimana menggunakan seligi yang cukup berkesan dengan
menangkis seligi yang dilancarkan oleh musuh dan juga menangkis sumpitan anak
damak. Kemudian menggunakan seligi di tangan menikam musoh mereka yang
menyerang secara berhadapan dengan lembing seligi. Mereka juga mahir
menggunakan keris pendek dengan cara menyerbu dan menikam. Perbuatan menyerbu
ertinya menerkam (menyerang) dengan deras (dalam bentuk jurus kencang) sambil
menikam musoh dengan tepat. Jelas di sini dalam pertempuran mereka menggunakan
jurus-jurus kencang persilatan berkeris dan tiada di sebut sebarang tarian
silat diaplikasikan semasa mereka bertempur. Memang bila menggunakan jurus
silat, perbuatan tari jika ada pun menjadi berkurangan.
2. PENGGUNAAN KAPAK (AXE-WING)
Selepas peristiwa bertempur
dengan lanun di pulau Selat Melaka, Hang Tuah bersama sahabat-sahabatnya telah
pergi menambahkan lagi ilmu persilatannya dengan seorang ahli pertapaan Aria
Putera di Bukit Panchalusa selama 7 hari 7 malam. Adakah cara ini warisan
kepada Silat Melayu yang terkenal hari ini dengan nama SILAT PUKULAN TUJUH
HARI? Satakat yang penulis tahu Silat Pukulan Tujuh Hari tingkat awal
menitikberatkan puasa putih tiga hari. Pengamalan tidur bertindih nafas.
Mengenal gerak nafas dan menerima buah pukulan dan persenjataan dari guru
selama tujuh hari iaitu sebiji buah sehari dengan keilmuan kaedah belaan dan
serang balik dengan menggunakan kaedah silat bertangan kosong. Pukulan-pukulan
yang terkenal ialah pukulan setungan, tukulan buku lima, tumbuk biring, tumbuk
pepat, pukulan telapak tukul buku lima, tendasan baji, segerak sepukul, pukulan
elakan, pukulan seturut, terjahan dan lompatan. Peringkat dua menggunakan
senjata (ada yang menerima sekali gus dengan peringkat satu ada yang
mengambilnya dari guru setelah mahir tingkat tangan kosong – dan menerimanya
tujuh hari pula untuk tingkatan menggunakan senjata). Pelajaran tingkat senjata
menggunakan parang, pedang, senjata keris panjang juga keris pendek (biasanya
untuk kaedah tikam, hirisan dan lain-lain rahsia penggunaan keris pendek) .
Pelajaran bersenjata Silat Tujuh
hari antaranya seperti berikut;
Hari 1. Serangan bahagian bawah
musoh-guna kaedah memarang atau tebas.
Hari 2. Serangan bahagaian
pinggang-memarang atau tebas.Belah tengah lurus ke atas.
Hari 3. Serangan bahagian perut
hingga sudu hati-dada mengguna teknik tikam.
Hari 4. Serangan daerah kedua
rusok kiri-kanan-paras atau parang, tetak,tikam.
Hari 5. Serangan daerah bahu
sampai lengan dan tangan tetak, paras, pancong.
Hari 6. Serangan daerah leher,
paras, pancong, penggal, tetak dari belakang.
Hari 7. Serangan bahagian muka dan
kepala paras, memarang, membelah, menetak
(Silat Pukulan 7 hari Melayu
dengar ceritanya banyak versi – lain guru lain caranya. Mana yang asal asli?
Wallahu`alam.)
SETELAH balik dari berguru Hang
Tuah menghadapi peristiwa orang mengamuk di tengah pesara (Pasar) ramai orang
yang luka dan mati dibunohnya. Ketika itu Hang Tuah sedang bekerja membelah
kayu api dekat rumahnya dengan kapak.
“…Orang
mengamok itu pun datanglah berlari-lari dengan keris terhunus menuju Hang Tuah…
datanglah ke hadapan Hang Tuah serta ditikamnya dada Hang Tuah. Maka Hang Tuah
pun melompat menyalahkan tikam orang itu, maka salah (tidak mengena-p) tikamnya
itu. Maka Hang Tuah pun melompat, maka diparangnya (dibelah-p) kepala orang
mengamok itu dengan kapak, kena, belah dua, maka lalu larilah. Maka orang
mengamok itu pun rebah lah lalu mati.” (Ms:29)
ULASAN SILAT
Dalam pergelutan silat antara
orang mengamok dengan Hang Tuah tersebut mungkin Hang Tuah duduk dengan langkah
tari menanti serangan atau berdiri terpacak bersahaja tanpa sebarang langkahan
tari. Apabila dadanya ditikam ia mengelak dengan suatu lompatan (mungkin ke
kiri atau ke kanan) sambil dengan cepat membelah kepala musohnya. Ini suatu
gerakan pantas iaitu semasa aksi buangan atau elakan serangan dibuat serentak
dengan melancarkan serangan balik (dikenali dengan istilah satu gerak pada elak
dan pukul – ini adalah resam silat Melayu Pukulan 7 hari. Adakah Silat Melayu
Pukulan Tujuh Hari kini adalah warisan silat Hang Tuah dari Gurunya Aria
Putera? Wallahua`lam.
3. PENGGUNAAN KERIS PENDEK
(PENDEK-PENDUA)
Penggunaan keris pendek atau
keris pendua dalam kisah pertempuran persilatan Hang Tuah tidak banyak. Lima
babak utama sahaja yang ada. Tidak sehebat penggunaan keris panjangnya (Keris
Tempa Melaka – keris utamanya). Kalau diselidiki keris Taming Sarinya pun
adalah keris pendek (tidak melebihi 13 inci panjang mata keris berpepisaunya).
Kaedah penggunaan keris pendek adalah banyak dengan teknik menikam sahaja.
Penggunaan keris pendek ini adalah kebanyakan diajar dalam silat-silat Melayu
Nusantara hari ini. Tapi adakah sama seperti penggunaannya oleh Laksamana Hang
Tuah? Mari kita sama-sama selidiki dan fikirkan.
I. Peristiwa orang mengamok
“Hatta
maka orang yang mengamok empat itu pun datang lah dengan keris bertelanjang
(Tidak bersarung-p) berlari2, barang yang terlintang di-tikamnya. Demi di
dengar oleh orang empat itu (orang mengamok) kata Hang Tuah demikian ia pun
terlalu amarah, serta diusirnya akan Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya
berturut2. Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ka-kiri dan ka-kanan
menyalahkan tikaman orang itu. Satelah lalu, ditikamnya saorang, itu pun rebah
lalu mati. maka melompat pula Hang Kasturi dan Hang Lekir dan Hang Lekiu, lalu
ditikamnya, rebah pula lalu mati. Maka yang dua orang itu pun bertikam dengan
Hang Tuah. Maka keduanya mati ditikam oleh Hang Tuah”. (Ms.30)
ULASAN SILAT
DALAM BABAK ini teknik pertikaman
keris Hang Tuah berserta sahabatnya dengan lawan mereka empat orang yang ingin
membunoh Datok Bendahara Bentan itu ialah teknik TIKAMAN ini biasa dalam kaedah
penggunaan keris pendek. Kaedah utama persilatan ialah ELAKAN dan LOMPATAN.
Mengelak dengan lompatan ke kiri atau ke kanan lalu apabila terluang menyerang
(menikam) lawan. Ini disebut kaedah dua gerak. Setengah guru berpendapat ini
kaedah mengelirukan lawan dan mengintai luang yang baik untuk membinasakan
lawan walaupun ada yang berpendapat ia kaedah yang dikira lambat yang boleh
memberi ruang kepada lawan untuk menangkis balik serangan. Namun kaedah
lompatan adalah popular dalam silat Hang Tuah. Kenyataan ini menolak sesetengah
pendapat guru silat yang mengatakan Silat Melayu tiada lompatan atau merbahaya
jika bergerak dengan melompat (perkara ini penulis pernah dengar masa kecil
kecil dulu – apabila ziarah ke beberapa gelanggang Silat Melayu). Ada juga
sesetengah ahli persilatan Melayu berpendapat teknik mengelak juga boleh
menyebabkan pergerakan menjadi lembab untuk menyerang balas malah ada
sesetengah silat mengatakan jika ia menyerang kalau lawan mengelak pun kena
juga (dimakannya juga). Tetapi kalau mengelak dengan suatu lompatan seperti
silat Hang Tuah ini lalu serentak itu menyerang balas bagaimana?… Hal ini
terbuka untuk dibahaskan lagi.
II. Berkeris pendek (Keris
pendua) melawan penjurit mahir bertombak
Gerak lompat dan tikam juga
digunakan oleh Hang Tuah dalam pertarungannya di babak-babak tempur
persilatannya yang lain. Contohnya:
“Satelah dilepaskannya (Oleh
Pateh Gajah Mada) maka penjurit itu pun segera berlari serta ditikamnya dada
Hang tuah, dipertubi-tubinya tikam, tetapi Tun Tuah orang tahu bermain senjata
pada barang main (pelbagai teknik tempur sebarang senjata-p). Maka Tun Tuah pun
Melompat ka-kiri dan ka-kanan menyalahkan tikam penjurit itu. Maka Tun Tuah pun
melompat ka-hadapan serta menghunus keris penduanya (keris pendek-p), maka
dilompat ka-kanan dan ka-belakang penjurit itu lalu ditikamnya dadanya penjurit
itu terus ka-belakang. Maka Tun Tuah pun melompat serta memekis, katanya,
`Cheh, mati engkau oleh-ku!` Hatta maka penjurit itu pun rebah tersungkor
di-hadapan paseban itu. Maka Tun Tuah pun segera menyarung kerisnya lalu naik
menyembah Seri Betara dan Raja Melaka.”
ULASAN SILAT
Dalam babak pertikaman keris
pendek ini disebut juga gerak lompatan empat pedahat iaitu lompat kekiri,
kekanan, kehadapan dan kebelakang barulah ia menikam. Tikaman yang tepat dengan
sekali tikam sahaja. Gerakan melompat yang terkenal dalam kaedah silat Melayu
banyak sekali ada yang disebutkan istilah lompat harimau, Lompat singa jantan,
lompat tiong, lompat lenting ulat nangka, lompat helang menyambar, lompat
garuda, lompat meninggi, lompat menjarak, lompat lenting kedidi, lompat Jalak
berpupoh taji (ayam sabungan) dan banyak lagi kaedah lompat dalam silat Melayu.
Jikalau begitu Lompat silat teknik apakah yang diguna oleh Hang Tuah dalam
pertikaman ini? Kalau ada yang berkata teknik Silat Hang Tuah ini meniru teknik
lompat Kungfu Cina atau Shaolin Cina sudah tentulah orang itu jenis dungu dan
buta atau cetek dalam kaedah dan sejarah persilatan Melayu asli sebenarnya atau
kajian silatnya tidak mencukupi. Pada hal, malah konon ceritanya, perkataan
Shaolin pada kungfu Cina itu pun asalnya dari perkataan Silat atau Silek
(Minangkabau) dan ianya diperkenalkan oleh Bodhi Dharma dari Palembang yang
bersama Silek itu mengembangkan agama Hindu-Budha ke Tanah Besar Cina beribu
tahun yang lampau kerana pelat sebutan cakap orang Cina akan perkataan silat
atau silek jadilah sebutannya `Shao-lin` dari kata `Si-let` atau` si-lat`.
Sebenarnya anak Melayu Nusantara dalam zaman tradisi atau sampai hari ini juga
pun semenjak kecilnya umur setahun dua telah diajar dan dimasukkan ke dalam
minda mereka perkataan LOMPAT dan pentingnya `Falsafah Perlakuan Lompat` itu.
Hal ini jelas terbukti ketika ibu-ibu Melayu menimang dan melambung-lambung
keatas anak-anak kecil mereka dari pangkuannya dengan maksud menghibur hati
anak dan melatih keyakinan dan keberaniannya dengan satu pantun tradisional
Melayu yang mashor dengan maksud pendidikan dan harapan masa depan yang
cemerlang untuk anaknya iaitu pantun:
Lompat tinggi tinggi
Sampai ke cucur atap
Belum tumboh gigi
Sudah pandai baca kitab
Maksud `lompat tinggi tinggi
sampai ke cucur (tepi) atap rumah` itu ada kaitan dengan falsafah dan fenomena
teknik lompatan dalam ilmu persilatan asli Melayu zaman tradisi atau pun juga
kepada yang hari ini bagi orang yang faham. Iaitu pentingnya berbagai gaya
lompatan tinggi dalam persilatan Melayu. Dalam aspek yang lain maksud suruh
lompat tinggi-tinggi itu menggalakkan atau gempakkan semangat juang dan
semangat kemajuan dan kecerdikan untuk kecemerlangan masa depan si anak
sepertimana istilah moden menyebutnya `membuat lompatan saujana` dalam mengejar
kemajuan diri dan Negara. Maka LOMPATAN dalam seni silat Melayu asli sebenarnya
ada maksud maknawi apabila melompat ke atas merujuk kepada keadaan mengundur
diri dari tahap manusiawi menuju tahap kesatuan memperolehi pengaruh spiritual
dan pertolongan iluminasi (suluhan cahaya-pertolongan) dariNya.
Maksud doa dan harapan ibu `belum
tumbuh gigi sudah pandai baca kitab` itu ialah mengharapkan anaknya menjadi
orang bijaksana tetap sihat, segar, segak, perkasa, cerdas dan cepat besar
untuk sempurna belajar, berilmu dan beramal menjadi seorang pendekar terbilang
membela agama, berjasa kepada masyarakat, bangsa dan tanah air. Tetapi di zaman
moden ini apakah kata-kata asuhan atau didikan ibu semasa menimang anak-anak
kesayangan mereka, adakah masih serupa? Atau pun asyik dengan lagu `Ayat ayat
cinta`? Aduh, kalau asyik begitu saja mendidik anak, inilah yang amat disukai
oleh para seteru dan inilah yang melemahkan dan melalaikan anak Melayu. Awas
Melayu!, jangan layu dan keliru… nanti bangsa kamu lenyap dari dunia ini
(maksudnya Melayu menjadi bangsa terpinggir dan terhina). Hal beginilah yang
dibimbangkan oleh Hang Tuah takut terjadi kepada bangsanya dengan kata-kata
mendidiknya itu untuk kesedaran keseluruhan bagi Melayu iaitu dengan kata
beliau: `Ta`kan Melayu hilang di dunia` itu. Maksudnya jangan kamu biarkan
bangsa kamu, budaya kamu, agama kamu, bahasa kamu, kuasa politik kamu,
institusi raja-raja kamu dan ekonomi kamu terpinggir atau dijajah bangsa lain!!
Fahamkanlah dan sedarlah baik-baik kita semua wahai MELAYU. Jadi kalau Melayu
mahu kuat, dihormati, diikuti, dipatuhi oleh bangsa lain dalam negara ini
Melayu mesti SATU saja iaitu satu bangsa, satu agama, satu parti politik satu
cita-cita dalam perjuangan untuk kecemerlangan bangsa, agama Islam yang suci,
budaya dan negara dan lain-lain. Oleh itu Selagi tidak jadi SATU MELAYU saperti
saranan di atas maka Hang Tuah pun kalau dia masih hidup sampai sekarang ini
tentulah dia rasa malu terhadap bangsa-bangsa mendatang yang sudah pun menjadi
warga negara ini dengan kata-kata beliau itu kerana telan menjadi semacam suatu
kebohongan. Cakapnya saja berdegar-degar bangsanya MELAYU TAK PEDULI SETARANG
(seterangnya = sungguh-sungguh). Sudahlah beliau dahulu menanggung malu akibat
berkelahi dengan sahabat setianya Hang Jebat sehingga terpaksa membunuh sahabat
yang disayanginya itu kerana nafsu serakah ular naga pegawai istana Melaka dan
sikap egoistik rajanya yang tidak mahu mendengar nasihat dan terburu-buru tanpa
selidik usul periksa terlebih dahulu menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang
Tuah yang akibat balasanNya Melaka Hancur oleh Portugis. Sekarang
seolah-olahnya dia (Hang Tuah Baru ini iaitu : Wakil idealisme Melayu murni
sejati) akan bertempur pula dengan lawannya dari tiga penjuru iaitu
sahabat-sahabatnya sendiri yang menjadi musuhnya iaitu Hang jebat, Hang
Kasturi, Hang Lekir… cuma Hang Lekiu (golongan berdiam diri Melayu) sahaja yang
belum hendak memasuki medan laga. Kalau ada empat golongan pahlawan melayu
sahabat Hang Tuah ini menentang Hang Tuah seorang maka Habislah Hang Tuah.
Keris Taming Sarinya pun akan patah tiada berpower lagi. Rakyat Melayu pun
habis huru hara semacam kena AMOK dek Hang Jebat dahulu dan kena serang oleh
portugis. Maka Melaka Baru pun tidak akan aman. Kalau ada yang ingin taklukinya
pun akan senanglah kerana Melaka Baru sudah menjadi tidak stabil lagi. Melayu
yang jadi tonggak kekuatan Negara sudah tidak dituntun oleh pahlawan-pahlawan
berkaliber lagi sebab asyik berperang dan berbunuhan sama sendiri.
Wahai para pemuka pemimpin
perjuangan Melayu sedarlah DARI PARTI APA pun kamu dan apapun gelaran dipangkal
nama-nama kamu atau nama parti perjuangan kamu selagi laungan perjuangan kamu
itu mempunyai unsur-unsur budaya hasad dengki, kepentingan diri dan egoisme
pada hakikatnya adalah hepokrasi `BERTOPENGKAN` atas nama dan cogan katanya
`PARTI…..APA-APALAH` perjuangan kamu tetapi pada realitinya hasrat dalam
perjuangan kamu yang utama sebenarnya ialah untuk mengejar kuasa, merebut
jawatan dan memenuhkan tembolok-tembolok (kepentingan diri sendiri) kamu
sendiri dan membelai serta membesarkan lagi ular naga (nafsu serakah) kamu dan
mendapat pangkat darjat mulia duniawiyah serta egoisma diri bagi mendapat
sanjungan ramai dan serta ketamakan atau kelahapan terhadap materialisme dan
egoisme kamu, maka keikhlasan perjuangan kamu adalah sebenarnya PALSU BELAKA
dan tidak mungkin kamu boleh BERSATU menjadi SATU MELAYU akibatnya perjuangan
kamu tidak boleh mendapat barokah daripada Allah s.w.t. Sebab nenek moyang kamu
yang bijak bistari telah pun lama meninggalkan amanat dan pesan dengan satu
simpulan bahasa yang indah lagi benar iaitu `MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT` yang
selari dengan ajaran agamamu Islam yang syumul dan suci tapi tidak engkau
peduli lagi sebab sifat-sifatmu yang tersebut di atas. Ada pun maksud muafakat
menjadi berkat itu ertinya kalau kamu BERSATU DENGAN KERANA ALLAH DAN IKHLAS
maka kamu akan jadi gagah perkasa kuat dan berkuasa (politik) kamu, rahmat
Allah akan datang menyeluruh atas kamu dan umat Melayu kamu, kamu semua akan
dipandang mulia, dihormati, ditakuti dan dituruti kehendak mu yang betul oleh
orang (bangsa) lain. Engkau boleh buat apa saja untuk kebaikan agama kamu,
bangsa kamu, negara kamu dan agenda agenda kamu yang lain-lain. Kamu tidak akan
berani ditentang oleh bangsa lain atau diperkecilkan wibawa kamu oleh mereka
asalkan kamu berbuat dengan penuh keikhlasan dan keadilan kerana insaAllah
Tuhan akan bersama kamu senantiasa dalam tindak tanduk perjuangan dan tindakan
kamu sebagaimana kejayaan yang pernah dicapai zaman Rasulullah s.a.w., zaman
sahabat sahabat baginda Sayyidina Abu Bakar as-syiddiq, Sayyidina Omar r.a. dan
juga Zaman Sayyidina Omar Abdul Aziz. Justeru kalau tidak demikian kata-kata
keramat yang kononnya oleh Hang Tuah itu diketawakan orang `bukan melayu` saja
dan Melayu yang bermaruah pun amat malu menyebutnya, tambah lagi kata-kata itu
bukanlah kata-kata bijaksana yang selari dengan agama sebagaimana rasionalnya
kata-kata simpulan bahasa tersebut. Kalau betul pun kata-kata itu dari Hang
Tuah ialah katanya yang merujuk kepada keadaan semasanya sahaja bukanlah satu
kata-kata hikmat yang berpepakan malar untuk bangsa Melayu. Kalau begitu Hang
Tuah boleh dianggap bapa persilatan Melayu saja tetapi bukan bapa rasionalisme
Melayu. Maka bilakah akan lahirnya seorang bapa rasionalisme Melayu yang ulong
yang boleh menyatukan Melayu yang sedang berpecah tiga sekarang dan betul-betul
ikhlas memperjuangkan idelisme patriotik bangsa Melayu yang benar-benar
berpaksikan keluhuran nilai nilai Islam sejati yang suci murni? Wallahualam.
[kesinambungan bicara ini baca tajuk: `Konsep Nasionalisme Melayu Sejati` dalam
web ini seterusnya]
Berbalik kita kepada hal
persilatan Hang Tuah. Sudah Jelaslah dis ini bahawa Hang Tuah tidak kempunan
untuk meniru mainan seni beladiri asing baik Kungfu atau kuntau Cina atau Jepun
atau Siam atau Korea mahu pun India dan lain-lain lagi untuk menjadi pendekar
agong Melayu sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak itu. Oleh itu,
Silat Melayu Asli hari ini sudah pun cukup lengkap dengan semua kaedahnya baik
bertangan kosong atau bersenjata dan tetap akan memelihara keasliannya yang
memang cukup berkesan dan canggih dari zaman Laksamana Hang Tuah atau
sebelumnya lagi hingga ke hari ini. Silat Melayu Asli tidak memerlukan bunga
tari dan gerak jurus yang sangat kencang pantas dan ligat kelihatan seperti
`Gerakan Jurus saperti gerakan gila dan mabuk` atau `gerakan jurus dan tarian
yang kusut masai` kononnya terlalulah tangkasnya. Sebenarnya itu hanyalah gimik
kehebatan yang membuang-buang masa dan tenaga saja. Silat Melayu Asli dalam
jurus dan tari seninya perlukan ketenangan dan kewarasan serta ketajaman
penglihatan, firasat dan kebijaksanaan berfikir namun ia bergerak dengan cepat,
pantas dan kencang serta hebat hanya apabila bertindak dalam serangan dan
belaan ketika bergelut berlawan sahaja, sebagaimana contoh Silat Dato`
Laksamana Hang Tuah yang diperkatakan dalam rencana ini.
III. PERTIKAMAN KERIS DENGAN TAMING SARI.
Babak setelah Taming Sari
memberikan kerisnya kepada Hang Tuah (dengan tipu helah Hang Tuah);
“Maka
Tun Tuah pun tersangkut pada birai peseban itu lalu tertelut (terduduk
berlutut). Maka segera ditikam-nya oleh Tameng Sari. Maka oleh Tun Tuah
di-elaknya sambil bertelut menyalahkan tikam Tameng Sari itu, maka kena papan
khambi dinding paseban itu…”. (Ms.136)
“…Maka
Tun Tuah pun melompat ka-kanan ka-kiri menyalahkan tikam Tameng sari itu,
seperti tiada berjejak di-bumi lakunya. Maka Tameng Sari pun lelah ternganga2
seperti anjing lelah. Maka Tun tuah pun melompat serta di-tikam-nya dada Tameng
sari, serta kata-nya, `Cheh, mati penjurit Tameng Sari oleh-ku!`. Maka
di-tikam-nya, kena dada-nya berbayang2 ka-belakang-nya. Maka Tameng Sari pun
rebah tersungkor, lalu mati.” (Ms:136) .
ULASAN SILAT
Dalam babak persilatan berlawan
dengan Taming Sari ini ada teknik bertelut sambil mengelak tikaman. Kaedah
bertelut ini tentulah dengan keadaan duduk berkekuda kaki sebelah (duduk
menggunakan satu lutut sebagai paksi) maka pergerakan mengelak dan menepis atau
menangkap – mengunci masih boleh dilakukan dalam teknik persilatan. Ini
keistemewaan Silat melayu asli. Hang Tuah selalunya mengintai luang yang baik
untuk menyerang lawan ia banyak mengambil sikap tenang ketika menghadapi lawan.
Serangannya jarang hampa atau tidak mengena dengan tepat pada titik bahaya yang
dikehendakinya pada tubuh lawan apabila ia menyerang. Karektornya hebat bersama
ilmu dan firasat. Ia bertindak melompat kencang menikam dada Tameng Sari ketika
penjurit itu telah letih tidak bermaya lagi.
IV. MENIKAM PENJURIT KERTALA SARI
“Maka
Kertala Sari pun berjalanlah ka-tengah pasar itu. Maka tertendang kaki-nya pada
tuboh Laksamana. Maka Kertala Sari pun berdiri-lah atas (sebelah pehak atas)
kepala Laksamana itu, kata-nya, `Tertirek bangkai pula aki ini!` Ada pun akan
Laksamana tidor itu keris-nya sudah terhunus, lalu ia bangun melompat menikam
dada Kartala Sari terus kebelakang-nya.” (ms.336)
ULASAN SILAT
Dalam babak ini menunjukan satu
gerakan pantas silat Hang Tuah dari keadaan tidur iaitu tuboh terbaring atas
tanah, bangun terus melompat menikam dada musoh dengan tepat dan tidak sempat
dielak oleh lawannya. Adakah kecepatan tindakan sabegini pada pesilat pesilat
Melayu hari ini?. Ada pun bangun dan melompat di sini bukanlah dengan gaya
gimnastik yang banyak diaplikasikan dalam seni beladiri asing dunia hari ini
termasuklah juga ditiru oleh setengah-setengah perguruan Silat Melayu Campuran
di Nusantara ini. Maka ini bukan teknik Silat Hang Tuah iaitu melompat seperti
lompatan jimnastik kerana ia tidak berfungsi dengan pantas dalam serangan
terhadap lawan. Kalau tidak begitu ia lompatan apakah namanya lompatan Hang
Tuah itu dalam istilah silat Melayu?
V. PERTIKAMAN DENGAN HANG JEBAT
Babak pertikaman keris pandak
yang paling Hebat dalam sejarah pertikaman keris. Hang Tuah Menggunakan Keris
Parong Sari dan Hang Jebat mulanya menggunakan Keris Taming Sari kurnia raja
Melaka sebagai menggantikan tempat Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka kerana
Hang Tuah telah terfitnah dan disuruh hukum bunuh oleh Sultan Melaka. Tetapi
beliau tidak dibunuh oleh Bendahara Paduka Raja, cuma disembunyikan di hulu
Melaka dan berguru pula dengan seorang Syeikh dan ulama Islam bernama `Syeikh
Mansur’ di hulu Malaka.
PERSEDIAAN HEBAT HANG TUAH
“Maka Laksamana pun meniarap pada
kaki raja, seraya memakai di hadapan raja: pertama dipakainya serual (Seluar
Pendekar-p) beledu hijau sampai kelutut-nya, sudah itu maka berkain hijau
(selempang-p) di-gansi (diukup wangian serta doa-p) yang bertepi emas di-pahat
bersirat, di-ragam dan ikat pinggang khatifah (jenis berbulu domba) tujoh belit
bersurat ayat Quran (sebagai azimat perang-p) dan berbaju kesumba murup
bersurat do`a besar2 (Sebagai azimat perang-p) dan memakai keris Parong sari
itu. Maka mastul (kain ikat kepala dipakai mengambil barokah pesanan gurunya
Syeikh Mansur-P) pemberian Syeikh Mansur itu di-pakai-nya…” (ms.313)
ULASAN
Persediaan hebat ini kerana
secara ma`anawinya hendak diberi tahu oleh pangarang bahawa Hang Jebat itu juga
pahlawan hebat sama seguru ilmu persilatan dengan Hang Tuah, lebih-lebih lagi
Keris Taming Sari yang sakti itu ada di tangan Hang Jebat. Satu lagi
pengajarannya dari peristiwa ini ialah:
Bahawa ikhtiar usahakan sesuatu
hajat itu biar bersungguh-sungguh dengan segala persediaan yang sepatutnya
supaya Berjaya.
TEKS PERTARUNGAN:
I. “Maka kata Hang Jebat, `Silakanlah orang kaya, hamba beri jalan.` Maka
kata Laksamana, `Baik-lah’, serta ia melompat ka-atas tapakan tangga (istana)
itu. Maka baharu hendak melompat kaki-nya sa-belah ka-dalam pintu, maka
di-tikamnya akan Laksamana. Maka di-lepaskan-nya (dielak atau ditepis-p) tikam
Hang Jebat itu salah, (tidak mengenai dirinya-p) maka di-pertubi2-nya tikam
oleh Hang Jebat. Maka Laksamana pun terjun ka-tanah pula.” (ms.316)
II. “Maka Laksamana pun melompat naik ka-atas anak tangga. Maka kata
Laksamana, `Hai Si- jebat undor-lah beri aku berjalan, `Maka Hang Jebat pun
undor dari pintu itu sekira2 sempat melompat menikam, di-sanalah ia menantikan
Laksamana, maka Laksamana pun melangkah naik sakali lagi. Ia melompat lalu
ka-atas anak tangga yang di-atas. Maka Laksamana pun terdiri dudok di-atas ibu
tangga itu, maka Hang Jebat pun melompat, maka di-tikam-nya dada Laksamana.
Maka di-salah-nya (dielak dan tepis) sadikit tikam Hang Jebat, maka Laksamana
pun melompat masok ka-dalam pintu istana itu lima depa jauh-nya daripada pintu
itu.” (Ms.316)
III. “Maka Hang Jebat pun berbangkit lalu di-tikam-nya akan Laksamana,
Laksamana pun tiada sempat berdiri lalu berguling2 di-atas talam itu. Maka
di-tikam oleh Hang Jebat di-pertubi2-nya. Maka Laksamana pun menghunus
keris-nya sambil berguling, seperti jentera ia menyalahkan tikam Hang Jebat
itu. Maka oleh Hang Jebat di-pertubi2-nya tikam berturut2, tiada juga kena.
Maka Hang Jebat pun amarah, maka di-tikam-nya dengan sunggoh2 hati-nya, maka
tersalah daripada Laksamana kena talam itu, lekat keris-nya. Maka
di-sentakkan-nya keris itu tiada tercabut. Maka Laksamana pun berbangkit bangun
berdiri seraya melela (bertingkah-beraksi silat pencak-p) di-hadapan Hang Jebat
itu tertitar2 (bergerak cepat sambil mendekat dengan gerakan pencak-p), seraya
berkata, `Cheh, Si-Jebat! Mati engkau oleh-ku.` Maka Hang Jebat pun amarah
seperti api menyala2. Maka di-tendang-nya talam itu serta di-sentak-nya keris,
keris itu pun tercabut-lah. Maka oleh Hang Jebat di-tikam-nya akan Laksamana,
Laksamana pun melompat ka-kiri dan ka-kanan menyalahkan tikam Hang Jebat itu.
Maka kata Hang Jebat, serta di-tikam-nya akan Laksamana, kata-nya, `Cheh,
Laksamana! Jangan engkau undor. Berdiri-lah engkau.` Maka kata Laksamana, `Hai
Si-Jebat, bukan aku lari membuang belakang. Mana kehendak–mu tikam-lah.` Maka
Hang Jebat pun sa-bagai (berbagai cara-p) menikam, tiada juga kena, saperti
tikam bayang2 laku-nya…” (Ms.318)
IV. “Maka oleh Hang jebat maka di-pertubi2-nya tikam, kerana (tidak
terkena-p) pada tuboh Laksamana, kena talam terus tiada bertahan (tembus-p).
Maka Hang Jebat pun lelah, tetapi sungguh pun Laksamana berguling mata
keris-nya ka-atas juga. Shahadan keris Hang jebat lekat pada talam itu. (Ketika
ini Keris Parung Sari diguna pakai oleh Hang jebat yang dilontar berikan oleh
Hang Tuah kerana Keris Taming Sari telah disambar oleh Hang Tuah ketika Hang
Jebat terlalai seketika-p) Laksamana pun segera berbangkit berdiri, serta
kata-nya, `Cheh, mati engkau oleh-ku!` Maka Laksamana pun melompat serta
di-tikam-nya dada Hang Jebat, kena dada-nya terus bayang2 ka-belakang-nya.”
(Ms.322)
ULASAN TEKNIK PERSILATAN
Dalam petikan teks I, Ada gerak
lompatan meninggi digunakan dalam persilatan Hang Tuah untuk naik ke atas
tapakan tangga istana dan seterusnya melompat masuk ke dalam istana melalui
pintu besar ia diterpa dan ditikam oleh Hang Jebat untuk menyalahkan tikaman
itu. Hang Tuah menggunakan teknik elakan-sendeng beberapa kali lalu terjun ke
tanah semula.
Dalam petikan teks II, Apabila
ditikam Hang Jebat semasa Hang Tuah melompat duduk di atas ibu tangga beliau
menggunakan teknik elakan dan tepisan lalu menggunakan lompatan jauh jarak
lentingannya sejauh lima depa. Calang-calang ilmu silat dan pendekar memang
tidak boleh membuat lompatan sejauh itu. Ini barangkali Hang Tuah menggunakan
ilmu apongan ya`ni ilmu meringankan tubuh. Ilmu apongan tubuh memang ada dalam
ilmu persilatan Melayu Pukulan Tujuh Hari peringkat tinggi yang memerlukan
dalam peramalan berwirid doanya selama 7 malam itu dengan berpuasa mutih selama
tujuh hari. Cara bepuasanya mengikut kata yang empunya ilmu ialah pada hari
pertama berbuka puasa hanya dengan tujuh kepal nasi putih dan air putih, hari
kedua berbuka dengan enam kepal nasi, demikianlah hingga hari ke tujuh berbuka
dengan 1 kepal nasi putih sahaja dan air putih.
Dalam petikan teks III, Apabila
tidak sempat berdiri kerana kencangnya datang tikaman musoh teknik yang
terbaik, memanglah merebahkan diri dan teknik mengelak tikaman lurus semasa
diri di lantai ialah elakan cepat – guling seperti yang digunakan oleh Hang
Tuah itu adalah juga teknik silat berkeris Melayu. Gerak melela ialah satu
ragam seni tari pencak dalam seni silat kependekaran Melayu asli digunakan oleh
Hang Tuah untuk mara mengintai peluang untuk menyerang atau tertitar-titar
(gerak cepat) bagi menyerang lawan. Dalam adat pendekar silat Melayu selagi
seseorang itu tidak berpaling belakang kepada musoh walaupun ia menggunakan
langkah undur bererti ia masih berwaspada menanti terkaman lawan, bukan takut
yang mahu melarikan diri. Langkah undur memang ada dalam teknik Silat Melayu
Asli bagi mengintai ruang untuk menyerang balas.
Dalam petikan teks IV, Teknik
berguling mengelak tikaman lawan semasa tubuh di atas lantai atau atas tanah
tetapi mata keris tetap di halakan ke atas digunakan oleh Hang Tuah dalam gerak
silatnya mempunyai tiga sebab utama. Pertama boleh menghalang terkaman lawan
dengan sawenang-wenangnya. Kedua, supaya keris tidak tertikam diri sendiri.
Ketiga supaya cepat dapat bertindak dari keadaan apabila berpeluang menikam
musuh.
4. SENJATA TOMBAK (SPEAR, LANCE)
DALAM hal bersilat dengan
menggunakan tombak (lebih kecil batang ulunya daripada lembing) pengarang
Hikayat Hang Tuah tidak memberi gambaran jelas mengenai kaedah atau teknik
pergerakannya. Hanya diberi gambaran bahawa Hang Tuah memang seorang pendekar
yang amat handal bersilat menggunakan tombak. Perhatikan petikan berikut;
“…Sa-telah
baginda mendengar sembah Raden Wira Nantaja itu maka titah baginda, ‘Suroh-lah
palu bunyi2an cara Jawa, kita melihat orang saudara kita bermain.` Maka di-palu
orang-lah bunyi2an chara Jawa itu terlalu ramai. Maka Pateh Kerma Wijaya
mendengar bunyi2an itu maka ia pun mengambil tombak lalu turun bermain
(bersilat) tombak, lakunya seperti tidak berjijak di-bumi. Maka Pateh Kerma
Wijaya pun minta lawan (main tombak sacara pesahabatan-p). Maka Tun Tuah pun
menyembah raja kedua itu (Raja Melaka dan Raden Wira Nantaja-Jawa) mengambil
tombak turun berhadapan dengan Pateh Kerma Wijaya bertombak2kan (berlawan
secara persahabatan-p) terlalu ramai, di-lihat oleh Raden Wira Nantaja laku
Hang Tuah bermain tombak itu saperti laku penggawa (hulubalang-laskar
bertombak-p) yang pertikaman (handal atau mahir bertikam tombak-p). Maka di-lihat
oleh raja dan segala orang banyak itu tewas juga Pateh Kerma Wijaya oleh Hang
Tuah. Maka pateh pun meletakkan tombak-nya. Maka Hang Tuah pun sudah-lah
bermain itu lalu dudok menyembah.”
5. BERPEDANG (SWORDMAN)
Bilakah Hang Tuah dan sahabat
sahabatnya belajar bersilat pedang? Adakah dengan bapa-bapa mereka sebagai asas
atau dengan gurunya Aria Putera atau pun dengan Sang Persanta Nala?.
Kemungkinan dengan bapa-bapa mereka sebagai asas bersilat menggunakan semua
senjata Melayu tradisi adalah munasabah. Kemudian ditambah lagi petua-petua
silat dan ilmu-ilmu sakti atau kebatinan oleh guru-guru mereka itu, sebab Hang
Tuah dan rakan-rakannya berguru dengan Sang Persanta Nala di Gunong Wiranapura
semasa di Majapahit hanyalah empat hari empat malam sahaja (Apakah belajar
menggunakan senjata empat hari empat malam boleh menjadi bagitu mahir semua
permainan senjata? Tentu tidak – kecuali sudah sedia ada ilmu dan kemahiran
sebelumnya). Kebarangkalian ini boleh jadi ada kebenarannya sebab boleh
dikatakan semua orang-orang Melayu terhormat zaman tradisi mempelajari silat
semenjak remajanya lagi dengan diajar oleh ibu bapa mereka. Ini adalah suatu
budaya bangsa Melayu tradisional di mana ilmu silat biasanya diperturunkan
kepada anak-anak kecil dan anak remaja mereka. Hal ini dapat diperkuatkan
dengan hujah adanya dialog antara bapa Hang Tuah iaitu Hang Mahmud dengan Datok
Bendahara Seri Paduka Raja seperti berikut;
“…Kata
Bendahara, `Mana-kah bapa-nya budak2 empat orang ini?` Maka sembah Hang Mahmud,
`Ada, tuanku, di-perhamba itu keempatnya.` Maka segera di-suroh panggil,
keempat-nya pun datang mengadap Bendahara. Demi melihat orang empat itu, maka
kata Bendahara, `Wah, ku-sangka orang mana2 gerang empunya anak ini, tidak
ku-tahu anak kak Dollah (Bapa Hang Jebat-p) dan kak Mesamut (Bapa Hang
Kasturi-p) dan Hang Mansor (Bapa Hang Lekir-p) dan Hang Shamsu (Bapa Hang
Lekiu) ada anak. Jika aku tahu akan tuan2 itu ada anak laki2, sa-lama-nya sudah
ku-ambil ku-jadikan biduanda (pengawal dalaman), kerana tuan2 ini pun berasal (keturunan
orang terhormat-handalan) juga.” (Ms:31)
KESIMPULAN DARI SOROTAN SILAT LAKSAMANA HANG TUAH.
Dengan penerangan dan bahasan di
atas Silat Laksamana Hang Tuah bolehlah menjadi sebagai induk untuk membuat
perbandingan kepada berbagai seni silat Melayu yang asli yang lain pada hari
ini. Terutama Silat yang memakai senjata-senjata yang pernah digunakan oleh
Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat, Hang kasturi, Hang Lekir dan Hang
Lekiu iaitu saperti badik, parang, kapak, keris pendek lok 3, lok 5, lok7, lok
9, lok 11, lok 13. Dan keris panjang Lok 13, lok 15, lok 17, lok 21 atau
keris-keris bermata lurus, keris sundang dan lain-lain jenis keris, Pedang,
seligi-tembong, lembing dan tombak (ilmu persilatans lembing tombak Melayu
mungkin diperturunkan oleh Hang Tuah kepada anakandanya Tun Biajid kemudian
diturunkan pula dari generasi hingga ke hari ini. Sila lihat dalam buku Sejarah
Melayu mengenai peristiwa Tun Biajid dan tombaknya dengan Sultan Mahmud Melaka.
Teknik yang paling popular dalam
gerak silat tempur Hang Tuah ialah melompat sambil menyerang atau sebelum
menyerang balas atau lompatan untuk menyalahkan serangan lawan. Lompatan dengan
berbagai gaya mengikut situasi pertarungan atau pergelutan dan tempat. Teknik
keris pendek banyak digunakan untuk menikam sahaja tetapi penggunaan keris
panjang selain dengan cara menikam, yang popularnya apabila menggunakan keris
panjang tempa Melakanya ataupun apabila menggunakan pedang ialah dengan kaedah
memarang atau pun tebasan, memancung-membelah, memenggal bahagian-bahagian
tubuh lawan, ataupun memusnahkan terlebih dahulu bahagian-bahagian bahagian
penggerakan senjata lawan iaitu tangan dan bahu atau merosakkan terlebih dahulu
bahagian pancaindera musuh seperti mata dan telinga, mulut dan lain lain.
Paling jelas membezakan antara
Silat Hang Tuah yang asli dengan silat silat asli Melayu-Nusantara yang lain
ialah Silat Laksamana Hang Tuah tidak menggunakan prinsip teknik dan gaya yang
mengambil sebarang ilham dari gerakan benda-benda alam semula jadi seperti
kebanyakan silat asli Nusantara yang lain samaada dalam prinsip gaya bunga tari
tangan kosongnya atau jurus tempur silatnya dengan teknik yang ditiru atau
diilhamkan oleh gerakan haiwan seperti harimau, monyet, ular tedung, ular
berang, ular naga, kucing, helang laut, helang buana, garoda, burong rajawali,
bangau, merpati, ponggok, kura-kura, penyu dan berbagai-bagai lagi. Tetapi
dalam semua situasi pertarungan silat, Hang Tuah menggunakan kecekapan dan
kepantasan GERAK SEMULA JADI DIRINYA yang selesa, yang sesuai dengan situasi
dan tempat pertarungan serta munasabah dengan teknik yang tidak menyusahkan
diri (tidak melawan fitrah gerak asal manusiawi).
Pendek kata, gerak persilatan
Hang Tuah baik dalam tarian seninya (bertangan kosong) dan gerak jurus silat
pertarungannya adalah mengikut Gerak Sejati Manusia itu sendiri sabagai makhluk
paling istemewa dijadikan Tuhan semesta alam. Dalam gerak sejati semula jadi
manusia itu tentulah kedudukannya lurus ada, kedudukan berkuda kuda ada,
kedudukan sendeng pun ada, seturut ada, sumbang seturut ada, berpusing ke kiri
ke kanan ada, melompat ke depan ke belakang ada, lompat ke kiri ke kanan ada,
melompat ke atas ada, melompat turun pun ada, merendah atau merebahkan tubuh
pun ada, berguling tubuh pun ada, guling kiri guling kanan, guling hadapan ada,
hingga dalam bertenggong atau terlentang pun ada, malah berdiri lurus terpacak
pun sangat praktikal kepadanya untuk menanti serangan lawan dan berbagai
gerakan semula jadi manusia lagi yang mungkin lebih bagus daripada meniru
sebarang gaya gerakan haiwan dan benda-benda alam yang lain yang menjadi
falsafah teknik dalam seni beladiri dunia lain atau dalam pencak silat atau
seni silat asli Melayu-Nusantara yang lain. Hal ini sangat berkesan jika
betul-betul cekap seperti contoh persilatan Laksamana Hang Tuah dan
sahabat-sahabat beliau yang segurunya itu. Beliau menggunakan firasat,
pemikiran yang waras dan kebijaksanaan minda serta hikmah di dalam batin dalam
menghadapi pelbagai suasana dan peristiwa atau pun cabaran di samping ilmu
kebatinan yang pelajari dari guru-gurunya yang sakti pada zamannya. Semangat
juangnya tidak diaplikasikan dari semangat benda-benda alam saperti ular atau
naga, burung helang atau garuda, harimau atau singa, kucing, serigala atau kala
jeking atau pun petir, pusaran air dan banyak lagi, Tetapi beliau
mengaplikasikan semangat keimanan, bertawakkal dan bertauhid bergantung secara
langsung kepada Allah s.w.t.yang menguasai segala takdir dan gerak diam, hidup
atau mati segala makhluk semesta alam ini. Barangkali inilah hasil pengajaran
ilmu hakikat tauhid dan tasawuf dipelajari dari guru terakhirnya iaitu Sheikh
Mansur seorang guru agama yang alimbillah di hulu Melaka, sebab kata-kata Hang
Tuah memang ada yang menyamai pegangan ahlul hakikat dan tasauf terhadap Firman
Allah s.w.t. iaitu;
Falam
taqtuluuhum walaa kina`Llaha qatalahum wa maa ramayta idhz ramayta wa laa
kina`Llaha ramaa.
(Al-Quran, 8:17)
Ertinya: “Tiadalah (kamu) yang membunuh mereka itu. Bermula: akan tetapi Allah
Taala jua yang membunuh mereka itu. Bermula: tiada engkau yang memanah (ya
Muhammad), (apabila engkau memanah) tetapi Allah Taala jua yang memanah.”
Ayat Al-Qur’an ini sesuai sekali
dengan jawapan Hang Tuah terhadap pertanyaan Hang Jebat kepada beliau dalam
dialog ini;
`Maka
kata Hang Jebat, `Hai Laksamana, apa peri mu (`manakan dapat’ – sebab semasa
berdailog itu keris Tameng Sari masih ada di tangan Hang Jebat yang dipercayai
boleh menjadi sebagai pelindong kepadanya-p) akan membunoh aku?` Maka Laksamana
pun berkata, `Hai Si-Jebat, bahawa tiada dengan kuasa-ku membunoh engkau,
bahawa Tuhan-ku yang amat kuasa membunoh engkau. Insha Allah Ta`ala, mati juga
engkau dalam tangan-ku.` (ms:319)
Pendek kata dalam setiap waktu
semasa pertarungan persilatan hebat Hang Tuah dengan lawannya prinsip pakaian
batinnya (semangat) yang hakiki ialah `Tidak ada takdir selain takdir Allah dan
tidak ada zikir (ingatan) melainkan zikir kepada Allah s.w.t.’ seperti mana
petikan dailognya dengan Hang Jebat tersebut itu, Petikan;
“Maka
Laksamana pun melompat undor menyalahkan tikam Hang Jebat itu saperti tiada
berjejak rupa-nya. Maka Hang Jebat pun terlalu lelah terdiri di-atas talam itu
menantikan Laksamana datang. Maka Laksamana pun terdiri (berdiri lurus –
termasuk teknik silat Hang Tuah dalam situasi tertentu-p) pada suatu tempat
menantikan pertandaan alamat (gerak takdir-Maarifat wahdatul af’aal-p) Si-Jebat
itu.” (ms:321)
Dalam gerak silat tempurnya ia
tidak banyak menggunakan gerak bunga tari yang melelahkan semasa atau ketika
menghadapi lawannya tetapi amat pantas dan kencang apabila mengelak atau
menyalahkan serangan lawan dan juga semasa melancar serangan balas mengikut
keselesaan gerak semula jadi manusia dirinya sendiri maka gerak jurusnya semasa
bertarung itulah seninya yang terzahir dengan sendirinya (sejati). Maka seni
yang zahir itu bukan lemah lembut tapi deras, pantas, ligat dan keras serta
Iasak. Tetapi jika berjarak dengan musuh ia tenang, kukuh kedudukan walau dalam
kedudukan yang macam-mana pun mengikut keserasian dan keselesaan badan
manusiawiahnya. Ia tidak menggelabah tetapi yakin serta hatinya kuat bergantung
tauhid kepada Tuhan dan mengharapkan barokah pengajaran gurunya semasa menghadapi
peristiwa genting itu dan selalu awas diri baik dalam masa tidur dan jaganya
saperti petikan berikut;
“Maka
sang Kertaksa masok-lah ka-dalam rumah Laksamana lalu ka-tempat tidor
Laksamana. Maka di-lihat-nya kelakuan Laksamana tidor itu naga kepulir (tidur
bertindih nafas kanan-lambong kanan. Manakala keris panjang diselit di rusuk
kiri dan keris penduanya (keris pandaknya) diselit di rusok kanannya-kedudukan
kedua tangan bersilang (gunanya senang untuk membuat tangkisan mengejut jika
datang serangan semasa dalam berbaringan tidurnya itu-p). Maka dalam hatinya:
`Sunggoh-lah Laksamana ini hulubalang besar lagi penjurit kepetangan
(Kepentangan: erti banyak ilmu dan kemahiran kependekaran -p) dan terlalu
berani, tidor-nya pun terlalu ingat (berjaga jaga-p).” (ms 250)
Beliaulah Pendekar agong dan
pahlawan Melayu Sejati yang paling ulong dalam sejarah kesatriaan bangsa Melayu
Nusantara iaitu selepas runtuhnya kerajaan Agong Melayu Empayer Serivijaya yang
berpusat di Palembang Sumatera. Wallahu`alam.
Sumber dipetik daripada:
http://tenteraberkuda.blogspot.com/2012/09/hang-tuah-bapa-seni-silat-melayu-sejati.html
Antara pautan lain:
http://warisansunankalijaga.blogspot.com/2011/01/hang-tuah-bapa-seni-silat-melayu-%20sejati.html